Tuesday, January 12, 2010

Kepungan...

Terharu apabila terjumpa blog arwah di laman maya. Mengapa entah saya begitu takutkan kematian saat ini.

Mentadabbur tafsir Fi Zilalil Quran berkenaan Surah AlQiyamah menimbulkan keinsafan. Benarlah kematian itu begitu menakutkan.

"Di antara hakikat-hakikat yang besar yang dikumpulkan oleh surah ini dalam menghadapi hati manusia dan mengenakannya dengan satu kepungan yang ketat yang tidak dapat dihindari olehnya itu ialah hakikat maut yang kejam, yang amat ditakuti oleh setiap yang hidup. Tiada siapa yang berkuasa menolak maut yang berlaku pada setiap detik itu. Ia dihadapi semua orang, orang-orang dewasa dan kanak-kanak, orang-orang kaya dan miskin, orang-orang gagah dan lemah. Mereka semuanya sama sahaja di depan maut. Tiada sebarang helah dan ikhtiar, tiada berguna sebarang kekuatan dan pertolongan dan kesempatan untuk tempoh menempoh. Semuanya itu menunjukkan bahawa maut itu datang dari pihak yang tertinggi yang tidak mampu ditolak dan dihindarkan manusia".

Di dalam muqaddimahnya pula, Syed Qutb menulis:

"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’".

Banyak yang perlu saya hayati dan begitu banyak yang perlu saya baiki. Moga Allah memberi kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang.

No comments: