Friday, January 29, 2010

Insiden...

Sejujurnya saya terasa seperti kehilangan sesuatu. Entah, sukar saya pastikan hal itu. Kata sahabat, bacalah AlQuran sehingga perasaan itu hilang. Barangkali saya kepenatan. Semalam memang hari yang terlalu memenatkan. Saya tidak berehat dari pagi sehingga tengah malam.

Terlalu banyak yang perlu kita penuhi. Tadi kelas Anaesthesiology. Saya belajar mengenai ubat yang begitu banyak sehingga terpinga-pinga. Saya juga begitu gelisah dan tiada keyakinan diri saat membentangkan topik sendiri. Saya tidak sukakan topik berkaitan pharmacology dan anatomy. Banyak yang perlu diingat dan terlalu sukar untuk saya fahami.

Semalam pun saya sedih. Saya tidak hafal hadis yang ditugaskan oleh naqibah. Terasa saya tidak serius dengan urusan tarbiah sendiri. Hal-hal yang perlukan kepada mengingat benar-benar bukan kemampuan saya. Saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Allah pastinya tidak menilai sejauh mana hadis dan ayat Quran yang yang dihafal, tapi Dia melihat pada usaha saya. Duhai diri, berusahalah..

Kadangkala manusia terlalu mengharapkan sesuatu dari kita. Kalau pun manusia tidak mengharap, hal itu menjadi tugasan dan tanggungjawab kita. Tadi semasa kelas, Prof bercerita mengenai seorang pesakit. Doktor MO yang baru bekerja terlupa memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit. Sedangkan ubat untuk merehatkan otot (muscle relaxant), yang tidak memungkinkan pesakit berbicara atau membuka matanya dan ubat pelali sudah diberikan. Apa yang terjadi sepanjang pembedahan? Pesakit merasai kesakitan yang tiada taranya tapi tidak dapat menjerit atau berbicara kerana sudah dibius. Bayangkan sahaja setiap proses pembedahan dirasainya. Ngeri. Saya sendiri tidak dapat membayangkannya. Setiap lapisan kulit yang dipotong dan disiat dirasainya. Ngeriiii.. Dan sebaik dia sedar dari bius, dia menangis teresak-esak. Betapa ngerinya perasaan yang perlu dilalui oleh pesakit tersebut.

Teringat juga pengalaman sendiri saat pembedahan. Otot pernafasan saya belum pulih, tapi proses extubation (keluarkan tiub) sudah dilakukan. Saya tidak dapat bernafas. Hanya saya yang melalui hal itu sahaja yang tahu betapa ngerinya pengalaman itu. Sehingga kini saya masih dihantui rasa trauma.

Semalam saya lihat seorang doktor memberikan Combined Spinal Anesthesia. Tempat yang perlu dicucuk adalah kawasan di atas punggung. Berkali-kali doktor tersebut melakukan prosedur tersebut kerana hal itu adalah terlalu sukar. Tapi melihat pesakit tersebut, saya dapat membayangkan kesakitan yang tiada taranya. Pernah juga semasa sunathon, saat saya sedang menjahit, adik tersebut cuba untuk melompat dari meja kerana kesakitan yang dirasainya tiba-tiba.

Saya dihantui oleh dua perasaan. Saya perlu menjadi doktor dan dalam masa yang sama saya pernah menjadi pesakit. Kedua-dua perasaan ini kadangkala bertindan. Ada ketakutan. Di ketika yang lain, saya akan mula memikirkan - Boleh ke belajar setakat cukup makan dan lulus peperiksaan? Tidak. Belajar perubatan tidak sama dengan belajar hal lain kerana ia berkaitan dengan manusia. Seandainya manusia asyik berbicara mengenai pahala menjadi seorang doktor, saya pula tidak menafikan bahawa profesyen ini juga boleh menjadikan seseorang itu begitu berdosa. Arghh..beratnya ya Allah profesyen ini..

Oklah, insiden lain. Seperti yang saya katakan, semalam saya tidak menghafal hadis yang ditugaskan untuk naqibah. Seakan-akan saya tidak serius dengan urusan tarbiah saya. Seusai kelas semalam, saya bersiap untuk preparation usrah. Saya hadam balik usul yang akan dibincangkan, saya membaca tugasan sendiri. Hal itu bukan mudah. Pagi di hospital (Anaesthesiology), petang kelas Ophthalmology, pulang dari kelas perlu menyediakan tugasan usrah dan malam usrah. Dan esok pula iaitu hari ini saya perlu membentangkan tugasan akademik yang diberikan. Minda saya sudah terlalu penat. Kata naqibah, takkanlah orang muda boleh penat. Tapi jujur saya penat dan dalam masa yang sama saya masih perlu menjadi seorang yang serius dengan hal tarbiah saya.

Ok, insiden lain lagi. Semasa meeting baru-baru ini, seorang adik meluahkan perasaannya terhadap usrah. Katanya, usrah dirasakan hambar dan tidak membina. Meskipun dia bukan anak usrah saya, saya dapat merasakan itulah luahan anak usrah saya juga. Pernah seorang anak usrah saya meluahkan perasaan setelah kembali dari mukhayyam. Katanya, dia cemburu dengan rakannya di kolej lain yang menerima sentuhan Islam yang lebih hebat sedang dia terkapai-kapai di kolej. Ya Allah, tersentak hati saya. Dia tanggungjawab saya dan saya tidak pernah berjaya memenuhi haknya.

Ok, insiden lain lagi. Pernah saya memandu pulang ke Johor selepas kelas. Saat itu cuti perayaan. Dan saya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Kaki saya kepenatan. Saya terlupa melihat telefon bimbit saya. Ayah menelefon berkali-kali dan saya tidak melihatnya. Setibanya di rumah, saya dimarahi. Dalam kepenatan itu, saya gagal menjadi anak yang baik.

Ok, insiden lain lagi. Hal ini mengenai sahabat. Seorang sahabat saya menghidap SLE. Minggu lepas saya menemuinya. Jujur saya tidak pernah menjadi sahabat yang baik buatnya. Jarang saya bertanya khabar kerana kesibukan sendiri. Hak-hak sahabat yang lain juga jarang saya lunasi.

Ok, contoh lain lagi. Semalam naqibah saya memberi komen mengenai doktor. Katanya, ada doktor yang terlalu baik dengan pesakit tetapi begitu masam dengan anak dan suami di rumah. Huhu, dapat bayangkan tak bila kamu terlalu penat bekerja dan kamu masih perlu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak kamu?

Lama saya berfikir mengenai semua ini. Bagaimana saya boleh menjadi doktor, anak, murabbi, mutarabbi, pelajar yang super segalanya? Kadangkala bila saya gagal menjalankan tanggungjawab saya, saya akan menangis sendirian. Kadangkala saya akan termenung sendirian memikirkan harapan manusia terhadap saya dan tanggunjawab saya sendiri.

Tapi dengan izinNya saya menemukan jawapan kepada persoalan ini. Hal-hal itu adalah kecil. Ada hal yang lebih besar dan utama. Saya perlu menjadi HAMBA Allah terlebih dahulu. Ya, saya perlukan Allah dan terlalu memerlukannya dengan segala kekerdilan diri ini. Saya perlukan Allah setiap saat dan ketika. Saya mengenaliNya kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada diri saya.

Tidak mungkin ada yang faham segala kesukaran kita. Mahu cerita dengan prof yang belajar perubatan susah? Mereka sudah terlalu hebat dan tidak akan faham saya yang tidak pandai ini. Nak cerita dengan keluarga yang kita terlalu penat? Tidak mungkin kerana mereka tidak melihat diari kehidupan seharian kita? Mahu cerita dengan teman? Mereka juga tidak akan memahami kesukaran kita.

Yang saya ada cuma Allah. Allah.. Allah… Allah….Allah. Dia yang mengetahui segala kelemahan hambaNya.

Pernah saya tadabbur Asma Allah. Salah satunya adalah Addhar – Maha Pemberi Derita. Hanya Allah yang berhak menguji hambaNya. Segalanya juga adalah untuk kebaikan hambaNya.

God didn't promise days without pain, laughter without sorrow, sun without rain, but He did promise strength for the day, comfort for the tears, and light for the way.

1 comment:

Anonymous said...

semoga terus thabat dlm perjuangan
(^_^)

ALLAH menilai usaha kita..