Thursday, October 29, 2009

Pahit..

Semasa usrah yang lalu, tiba-tiba air mata saya mengalir. Mungkin saya dalam tekanan. Dalam kepenatan yang ada itu, saya terkenangkan matrikulasi sebenarnya. Saya teringatkan abi (murabbi), umi (murabbiah) dan semua sahabat saya di matrikulasi dahulu.

Kalau saya penat, abi dan umi lagi penat. Mereka dah menyumbang segalanya pada jalan dakwah ini. Sehinggakan kesemua harta yang ada telah mereka infaqkan. Sahabat-sahabat saya juga berjuang di setiap penjuru bumi di mana mereka dicampakkan.

Tadi saya meluahkan rasa hati di hadapan kelas. Saya tidak sanggup lagi melihat apabila seorang lelaki yang belajar di sekolah agama suatu ketika dahulu, yang duduk di dalam usrah boleh menjadi seseorang yang memulakan prentation ‘jahiliah’ dengan menayangkan video AF, dan kemudian perkara tersebut berlanjutan. Saya benar-benar tidak mampu lagi menanggung segalanya.

Kekuatan yang saya ada hanyalah ingatan pada Allah, kenangan di matrikulasi dan akhawat di sini. Saya perlu berbicara meskipun ianya terlalu pahit. Saya teringatkan Rasulullah SAW. Dialah yang telah menanggung seserius sengsaranya emosi dan fizikal di jalan dakwah ini. Lantas saya perlu bangkit. Sesungguhnya peringatan itu bermakna bagi orang beriman.

Jujur saya kecewa dengan pelajar lelaki di sini. Kalau tak nak berdakwah, itu tanggungjawab kamu dengan Allah. Tapi usahlah menyesatkan manusia pula. Teringat semasa jahiliah dulu saya begitu bencikan lelaki tapi semasa di matrikulasi saya belajar bahawa ada lagi lelaki baik di dunia ini. Kerana semua itu, saya masih lagi kuat bertahan meskipun adakalanya hati begitu tercalar dengan segala tindakan pelajar lelaki di sini.

Matrikulasi juga tempat saya belajar bahawa komponen dakwah ada dua – amar maaruf dan nahi mungkar. Keduanya tidak boleh dipisahkan. Segala maksiat itu perlu ditegur. Pernah sekali di dalam peringatan yang Rasulullah SAW sampaikan, dia berbicara bekali-kali, “Jauhkanlah dirimu dari neraka”. Rasulullah SAW mengulang kata-kata tersebut dengan suara yang kuat sehinggakan sahabat yang ada di pasar juga mendengar suara Rasulullah SAW.

Adakalanya kita keseorangan tetapi sebuah kenangan mampu menguatkan kita untuk melalui jalan dakwah ini. Jalan dakwah ini mengajar kita hakikat bahawa kita tidak keseorangan. Lahiriah mungkin kita keseorangan tapi zahiriahnya kita punya Allah dan sahabat-sahabat yang lain yang turut berjuang meskipun kita tidak melihat mereka.

Teringat doa rabitah yang dibacakan oleh akhi dari Palestin baru-baru ini. Doa yang kita amalkan turut diamalkan oleh pejuang di sana. Kita tidak pernah berseorangan.

Moga Allah mengurniakan hidayah buat mereka dan kekuatan buat kita untuk terus berada di jalan dakwah ini.

1 comment:

laily said...

yup...ukhwah yg terbina atas rasa matlamat Islam yg sama lain rasa nya...die mcm satu kelainan...semoga Allah trus bg kekuatan...