Monday, October 19, 2009

Niat...


Setiap kali kami nyanyi lagu Muadz ini kat rumah, mesti mak ingatkan kami panggil dia. Mula-mula itu mak ingatkan kami adik beradik mainkan dia. Sebabnya awal lagu ini kan ada disebut ‘innama-sesungguhnya’, dalam bahasa kami “ennama” itu membawa maksud ‘kenapa mak?”..Huhu..

Ada satu lagi cerita menarik pasal hadis ini. Selalunya orang sebut hadis ini di permulaan bicara mereka. Tapi brother dari Palestin yang berikan tazkirah kat kami mengakhirkan ucapannya dengan hadis ini. Macam pelik tapi cukup membuatkan kami terasa dan berfikir panjang.

Begitulah peranan niat dalam setiap amalan kita. Niat yang tersemat di lubuk dada itu pastinya mampu dirasai oleh hati-hati yang lain dan sudah pastinya Allah mengetahui lebih mendalam lagi tentang rahsia hati.

Setiap kali saya menulis di sini, tujuan utamanya adalah peringatan buat diri saya yang sering terlupa. Semua yang saya tulis di blog saya ini adalah refleksi saya tentang kehidupan yang menemukan saya dengan sejuta hikmah. Dan jujur saya akui bahawa saya ini penuh dengan kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini juga saya luahkan di sini sebagai peringatan buat saya. Saya tidak sempurna pastinya. Tapi mungkin saya perlu sedar bahawa pembaca-pembaca blog ini mengharapkan kesempurnaan dan mungkin saya perlu berhati-hati dalam melahirkan kelemahan.

Tulisan Ustaz Pahrol membuat saya termenung seketika.

“Penulis sejati memang menulis dirinya. Tetapi dia juga manusia… yang punya kekuatan dan kelemahan, kebaikan dan keburukan, pada hal khalayak pastinya inginkan yang baik-baik dan indah-indah sahaja. Lalu dia terus bermujahadah… menulis kebaikan sekalipun belum sepenuh dimilikinya dan dia akan “memendamkan” kejahatan dengan penuh kesedaran bahawa dia sedang berjuang untuk membuangnya. Dia ingin menghidangkan yang terbaik tanpa menjadi seorang munafik!”

Kata-kata yang sememangnya perlu menjadi renungan setiap penulis yang menulis kisah kehidupannya.

No comments: