Thursday, October 15, 2009

Inferior...

Tahun 4 ini pastinya merupakan tahun yang paling mencabar bagi saya. Ramai bijak pandai di dalam kumpulan saya. 3 orang pelajar yang pernah mendapat dean’s list ada dalam kumpulan saya. Jujur saya rasa inferior dengan kumpulan ini. Pembentangan saya juga dipandang sepi. Seakan-akan rasa tidak layak untuk berada di dalam kumpulan ini. Saya rindukan kumpulan saya yang dahulu yang banyak membantu saya.

Tapi kita diajar untuk yakin bahawa Allah hanya menjanjikan yang terbaik. Saya rasa saya menjadi lebih sensitif sejak akhir-akhir ini tetapi saya juga belajar hikmah yang lain. Dalam tekanan ini, AlQuran itu sebenarnya lebih menyentuh hati.

Tadi saya baca lagi Surah AlKahfi. Saya pernah ceritakan kisah tentang dua pemilik kebun yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah ini di sini. Tapi kehebatan AlQuran adalah bila mana kita membacanya untuk kali yang seterusnya, sentuhannya sentiasa berbeza. Dua tahun yang lalu pemahaman saya berkenaan ayat ini lebih kepada persahabatan tapi kali ini pemahamannya adalah berbeza. Dan kadangkala keadaan dan peritiwa yang terjadi membuatkan kita lebih menghayati ayat-ayatNya.

Bicara dua pemilik kebun ini memberi satu kekuatan buat saya untuk terus melangkah.

[34] Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai.

Kadangkala kelebihan yang ada pada orang lain membuatkan mereka memandang sepi sahaja kita yang kerdil ini. Tapi usah bersedih, dengarlah kalimah yang dituturkan oleh seorang pemilik kebun yang beriman yang mana mengandungi motivasi yang tiada taranya untuk kita bangkit kembali.

[37] berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? [38] Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. [39] Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandang aku sangat kurang tentang harta dan anak berbanding denganmu. [40] Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu…

Apa yang dikatakan oleh pemilik kebun yang beriman ini? Ingatlah Allah yang berkuasa, sungguh kita sebagai manusia adalah makhluk yang lemah walau sehebat mana pun kita. Pemilik kebun itu bertanya, kenapa kau tidak menyebut masya Allah, la haula wa la quwatta illa billah. Sungguh atas kehendak Allah semua ini wujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Hebatnya kata-kata itu. Hakikatnya kita sebagai manusia terlalu lemah. Kita tidak memiliki sebarang kekuatan melainkan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa lagi yang dikatakan oleh pemilik kebun ini? Ya, harta dan anak-anakmu lebih banyak dariku tapi mudah-mudahan Allah memberikanku sesuatu yang lebih baik dari itu.

Kita kecewa dengan benda yang remeh temeh. Apakah ilmu perubatan itu lambang kasih sayang Allah? Tidak! Allah beri dunia ini untuk semua manusia tapi Allah beri deen ini hanya pada insan yang Dia sayang. Bukankah Allah telah memberikan kita deen ini? Banyak lagi kebaikan yang Allah titipkan buat kita lantas mengapa kita perlu bersedih dengan sedikit cubaan yang diberikanNya?

Pandangan Allah dengan pandangan manusia begitu berbeza. Tarbiah Quran mengajar kita untuk melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza. Bukankah hati menjadi tenang dengan membaca kalamNya? Dia memujuk kita untuk lebih kuat. Dia mendengar suara hati dan menuntuni kita untuk memahami kalamNya. Berbahagialah wahai hati saat diuji kerana kau sedang mencari kekuatan dari Zat yang agung.

p/s – Saya rasa terharu membaca luahan hati seorang adik yang mungkin juga diuji dengan perasaan yang sama dengan saya. Dia kuat untuk bertanya Abi, murabbi kami semasa di matrikulasi dahulu tentang rasa inferiority complex ini. Dan jawapan Abi juga begitu menyentuh hati saya. Andai ada yang berminat, boleh sahaja membacanya di sini.

No comments: