Saturday, October 03, 2009

Bayang-bayang...

Dia merenungi kembali muqaddimah Fi Zilalil Quran. Seakan hembusan bayu menerpa kamar hati. Quran itu teman dan sahabat yang memahami.

Sebahagian petikan itu dihadam kembali.

Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada- Nya dengan penuh khusyu’.
15. “Hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi sama ada dengan sukarela atau terpaksa dan bayang bayang mereka (juga turut sujud) di waktu pagi dan petang.” (Surah Arra’d)
44 . “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada suatu kejadian pun melainkan seluruhnya bertasbih memuji Allah.” (Surah Al Isra’)

Manakah kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan (yang lebih besar) dari kerehatan, keselesaan kemesraan dan kepercayaan, yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh kefahaman yang syumul, sempurna, luas dan betul ini?

Adakalanya kita perlu berseorangan merasai tarbiahNya. Adakalanya alam akan melagukan cintaNya buat kita. Kekasih-kekasih Allah dalam kalamNya seperti Hud, Ibrahim, Nuh dan lainnya adakalanya berseorangan di dalam menyampaikan deen ini. Tapi mereka punya teman yang akan menghiburkan kamar hati. Siapa? Alam ini yang sentiasa bertasbih padaNya. Berada di lembayung Quran membuatkan hati merenungi bahawa alam ini berzikir menyanyikan kalimah memujiNya. Alam inilah ubatnya.

Tadabbur ayat 15 Surah Arra’d itu juga membuktikannya. Sungguh mengasyikkan sekali merenungi kalamNya. Mengapa ayat itu menyentuh tentang bayang-bayang? Mengapa perlu dikatakan bahawa bayang-bayang itu bersujud pada waktu pagi dan petang?

Cuba renungi sahaja bayang-bayang. Ambil pen dan cuba lihat bayang-bayangnya. Kemudian alihkan pen tersebut. Bandingkan bayang-bayang yang pertama dan kedua. Adakah bayang-bayang tersebut adalah bayang-bayang yang sama? Pen masih sama tetapi bayang-bayang adalah tidak sama. Bayang-bayang yang pertama dan kedua adalah makhluk yang berbeza.

Renungi hutan. Lihat sahaja bayang-bayang sebatang pokok. Setiap saat matahari begerak dan bayang-bayang yang terhasil adalah bayang-bayang yang berbeza. Andai angin menerpa, bayang-bayang juga berubah. Maka bayang-bayang yang pertama kali dilihat tidak akan mampu dilihat lagi sampai bila-bila. Setiap saat atau masa yang lebih singkat dari itu menunjukkan bayang-bayang yang berbeza. Dan ketahuilah bahawa Allah mengungkapkan bahawa bayang-bayang ini yang bertukar setiap masa semuanya bersujud dan bertawajjuh, mengadapkan diri padaNya.

Lantas usah bersedih andai ada yang menolak seruanmu kerana mereka pada hakikatnya mengingkari alam ini. Bukan kau yang asing sebaliknya mereka yang asing kerana tidak memahami tasbih semesta alam ini.

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah Isra’:44)

No comments: