Saturday, October 31, 2009

Afrigh...

Al Quran adalah satu realiti. Cerita-cerita di dalam Quran itu bukanlah fantasi untuk kita. Buat mereka yang berada di jalan dakwah, Quran mengubat kelelahan. Kadangkala kita tidak tahu cara terbaik untuk menyampaikan cerita-cerita di dalam Quran itu untuk semua orang kerana kebanyakan ceritanya hanya relevan untuk mereka yang berada di jalan dakwah ini. Tapi kita meyakini bahawa setiap saat akan ada manusia yang terus menyahut seruan dakwah ini dan kita mampu menceritakan kepada mereka semua ini.

Membaca ayat-ayat Allah bermula dari ayat 246 Surah Al Baqarah membuat hati merenungi realiti.

Tidakkah engkau ketahui, tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (Surah Al Baqarah:246)

Ini adalah realiti. Setiap masa kita nak sangat semua orang pikul kerja dakwah ini sama-sama. Kita memanggil manusia untuk menyahut seruan ini. Ramai yang akan bersemangat. “Jom berperang. Jom berdakwah”. Sama seperti ayat tersebut – “Mengapa kita tidak berperang? Kita mesti berperang punyalah. Keadaan kita dah macam gini, macam gini dan gini. Ummah dah semakin teruk. Semua harta kita dah dirampas”. Semua orang bersemangat. Tapi dakwah bukan kerja sehari dua, atau setakat satu atau dua program, tapi dakwah adalah perjuangan jangka masa panjang. Kerana panjangnya perjalanan dakwah ini, yang memerlukan pengorbanan sepanjang masa, setiap saat dan ketika, di saat beban akademik semakin bertambah, di saat masa kian suntuk, maka angka-angka yang akan terus bekerja itu terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kerja yang ada.

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan fizikal". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (Surah Al Baqarah: 247)

Ini pun adalah realiti. Mereka tidak bersetuju nak lantik Talut sebagai pemerintah sebab Talut tiada pengaruh dan tiada kekayaan. Selalunya kita pandang sesetengah orang sebab pengaruh yang dia ada atau kekayaan yang dia ada. Zaman ini kalau kat kampus, kita pandang orang yang hebat gila akademik, kita pandang orang yang boleh mempengaruhi orang lain. Tapi nabi Allah membetulkan persepsi ini. Pemilihan ini akan dilakukan oleh Allah SWT dan apa dia dua ciri yang perlu ada sebagai pemimpin? Ilmu dan kekuatan. Tapi kekuatan yang diterangkan oleh ayat ini bukan kekuatan fizikal semata-mata tapi kekuatan untuk memegang post tersebut. Sebabnya kalau kita tengok sirah, Khalid al Walid memiliki fizikal yang kuat dan dia dilantik menjadi jeneral peperangan, tetapi kenapa dia tidak dilantik menjadi khalifah? Sebabnya setiap post memerlukan kekuatan tertentu. Kalau kita masih lagi ingat kisah Sheikh Ahmad Yassin, dia adalah seorang yang buta, lemah fizikal, perlu disorong dengan kerusi roda, tapi dialah yang mengobarkan semangat pejuang-pejuang Hamas untuk terus berjuang. Musuh menggeruninya dan akhirnya dia syahid.

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Surah al Baqarah: 248-249)

Kalau kita tengok ayat ini, kita akan faham bahawa jalan dakwah akan sentiasa dibersihkan. Mereka-mereka yang tidak layak akan diuji sehingga mereka gugur dari jalan ini. (Ya Allah, janganlah kau sesekali menjadikan kami dari kalangan yang gugur.) Peperangan Hunain mengajar kita bahawa di kalangan 12 000 tentera Islam, hanya 100 sahaja yang bertahan. Hanya 0.1% sahaja yang bertahan.

Di dalam kisah ini juga begitu. Dari 80 000 orang, 76 000 meminum air tersebut. Hanya 4000 sahaja yang bertahan. Bukan senang ujiannya. Cuba bayangkan kalau kita kena berjalan di padang pasir yang sangatlah panas. Tiba-tiba kita ternampak sungai. Kita diberi pilihan, tidak minum atu hanya minum menggunakan dengan satu tangan. Nak minum dengan satu tangan pun bukan senang. Kalau dah minum, syaitan akan buatkan kita rasa air itu sangatlah nikmat, mampukah kita nak menahan godaan? Betapa susahnya pilihan yang kita ada. Tetapi itulah realiti di jalan dakwah. Ujiannya bukan biasa. Kita terlalu memerlukan Allah untuk terus istiqamah. Dan dalam 4000 orang, ada yang bercakap, mana mungkin bilangan yang sedikit ini nak mengalahkan Jalut? Inilah realiti. Angka-angka yang nak memikul kerja dakwah ini terlalu sedikit dan mad’u pula adalah terlalu ramai. Kita pun kadang mula menyoal, boleh ke kita bertahan? Boleh ke kita nak sebar luaskan lagi dakwah ini? Akhirnya kerana tekanan yang ada dan bayang-bayang kemenangan itu kadangkala tidak mampu dilihat, maka akan ada yang gugur juga di jalan ini.

Lepas itu, hanya 300 lebih sahaja yang bertahan. Apa yang dikatakan oleh mereka yang beriman ini? Apa kualiti iman mereka? Allah kata mereka ini adalah orang yang meyakini pertemuan denganNya. Dakwah bukan diukur dengan kejayaan di dunia atau diukur dengan kemenangan. Tapi sejauh mana kita meyakini hari akhir, hari pertemuan kita dengan Allah SWT. Apa kata orang yang meyakini pertemuan dengan Allah ini – “Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah”. Masya Allah. Inilah kekuatan kita. Allah bersama dengan orang yang sabar.

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir". (Surah Al Baqarah: 250)

Ayat ini best sangat. Bila mereka bertemu dengan musuh, mereka berdoa. Apa doa mereka? Rabbana afrigh alaina sabran. Kalimah yang digunakan adalah afrigh. Dalam bahasa Arab, kita guna afrigh/ifragh ini contohnya macam nak describe bahawa kita menuang air baldi ke atas seseorang. Dan mereka meminta agar disimbah atau dituang dengan kesabaran. Kenapa? Sebab jalan yang kita pilih bukan setakat memerlukan kesabaran yang biasa-biasa sahaja tetapi terlalu luar biasa. Doa ini terlalu hebat untuk kita hayati.

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah. (Surah Al Baqarah:251-252)

Janji Allah tetap benar. Deen ini pasti menang akhirnya! Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran yang panjang dan jadikanlah kami istiqamah sehingga kami bertemuMu.

3 comments:

Edaran Husna (KT 0386368-K) said...

Allah..

al-akh said...

memandangkan afrigh adalah kemuncak & cerita utama dlm entry ini.. jadi ada signifikannya saya minta pencerahan pada kalimah afrigh tu..

mana ukhti dapat syarahan menyimbah dengan baldi tu ye? sbb kalau ikut wazan bahasa arab.. afrigh tu diambil dari kata dasar 'faragha' yang bermaksud.. kosong

kalau ukhti tafsirkan sabar seperti mengisi air ke dalam baldi yang kosong mungkin lebih dekat kpd maksudnya.. namun sebaliknya yang ukhti nyatakan dalam ni

Ummu Afeera said...

lives of the prophets - imam anwar awlaki