Wednesday, June 03, 2009

Jauh...

Alhamdulillah, saya dah present keenam-enam case yang wajib untuk dibentangkan di dalam posting ini. Sememangnya ia satu kelegaan. Sekarang ini, saya hanya perlu perlu memprint kesemua case tersebut dan boleh fokus pada revisi. Minggu depan exam dan kemudian cuti.

Tadi pagi, ada bedside teaching. Bila berada di alam klinical, pesakit adalah guru kita. Guru saya tadi adalah seorang pesakit kanser perut yang kini menunggu saat-saat akhir usianya. Kansernya telah merebak (metastasize) ke hati. Rasa sayu sangat melihat pakcik tersebut. Keadaannya semakin teruk dengan bertambahnya hari. Dalam kesakitan tersebut, dia masih memberi peluang pada pelajar untuk melakukan pemeriksaan.

(Susahnya mahu menjadi doktor. Susahnya apabila ia melibatkan perasaan. Susahnya mahu menerima kenyataan apabila melihat pesakit-pesakit yang saya temui akan pergi meninggalkan dunia ini dalam seminggu dua sahaja lagi. Afeera, Allah sudah mengakui kekuatan kamu, mengapa kamu harus meraguinya?)

Saya rasa pakcik itu hebat sangat sebab dia adalah guru kepada 16 orang pelajar perubatan. Kami tahu cara memeriksa ketumbuhan darinya. Meskipun pakcik tersebut akan pergi meninggalkan dunia dalam masa beberapa minggu sahaja lagi, dia telah meninggalkan amal jariah yang besar. Dia akan mendapat saham apabila setiap dari kami berbakti sebagai doktor kelak. Bestkan jadik pakcik itu? Dia masih mampu memberi sumbangan di akhir-akhir hayatnya. Saya rasa sayu sangat setiap kali pakcik tersebut menyalam tangan setiap pelajar lelaki apabila kami sudah mahu pergi meninggalkannya. Dia adalah antara pesakit-pesakit yang terlalu baik yang saya temui.

Ada satu kisah mengenai seorang tukang paip. Satu hari dia sedih sangat sebab gajinya tidak pernah bertambah meskipun dia telah bekerja selama puluhan tahun dan tiada sesiapa menghargainya. Sehinggalah datang seorang pemuda menyedarkannya. ”Pakcik, setiap kali ada insan yang mengambil wudu’, bergembira kerana bertemu dengan RabbNya, pakcik mendapat pahala. Setiap kali ada insan yang membuka paip tersebut dan dapat menghilangkan kehausannya, pakcik mendapat pahala. Pakcik mendapat pahala apabila setiap manusia menggunakan paip tersebut”.

Bestkan kalau semua manusia mampu memandang akhirat melebihi dunia? Tiadalah kerisauan apabila tidak dihargai manusia. Tiadalah kerisauan apabila tidak mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Kadangkala bukanlah menjadi keinginan seorang pelajar perubatan untuk melihat kemaluan seorang wanita saat melahirkan anak atau melihat kemaluan lelaki (testicular swelling, inguinal hernia dll), tapi kalau tidak melihat semua itu, bagaimana caranya kami akan belajar?

Saya pernah jumpa seorang aunty Cina yang amat baik. Aunty tersebut menghidap kanser payu dara. Dia meminta setiap dari kami untuk memeriksanya. “Come on examine me so that you don’t forget it for the rest of your life”. Apabila kami berjumpa pesakit seperti ini, kami rasa terhutang budi. Merekalah guru kami.

Andainya setiap manusia mampu melihat jauh setiap amalnya, alangkah indahnya.

Entahlah, saya tidak pasti mengenai entri ini. Saya akhiri dengan petikan dari muqaddimah fi zilalil Quran.

”Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan”.

No comments: