Saturday, June 06, 2009

Hilang...


Ayat-ayat dari hadis ke 19 di dalam sususan hadis 40 itu diingatinya. “Rufi’atil aqlam wa jaffatissuhuf”. Pena-pena telah diangkat dan dakwat menjadi kering. Dia sudah tidak mahu menitiskan lagi air mata di atas peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam hidupnya. Namun hari ini dia menangis. AlQuran yang sering dibawa bersama telah pun hilang.

Mungkin ada yang menganggap bahawa itu bukanlah hal yang besar tapi tidak bagi dirinya. Dia terlalu menyayangi Quran tersebut. Quran tersebut adalah temannya di kala bahagia dan derita. Quran tersebut bersamanya dalam suka duka perjuangan. Quran tersebut menjadi saksi atas segalanya. Bukan mudah mendapat segala hikmah. Mutiara-mutiara berharga yang diperolehi seakan-akan hilang dalam sekelip mata.

Dia ingat lagi di dalam satu program saat dia melihat Kak Ar menanda Qurannya dengan tag yang berwarna warni. ”Bagusnya kak buat macam itu. Senang nak refer nanti”. Kak Ar terus menghulurkan tag berwarna warni miliknya. Dia rasa malu untuk mengambilnya namun teruja untuk menggunakan tag tersebut. Sejak saat itu, dia menanda Quran dengan tag berwarna warni. Pemberian tag berwarna-warni pemberian Kak Ar masih lagi diselitkan di dalam Quran tersebut.

Jalan ini telah mengajar dirinya bahawa Quran itu lebih berharga dari buku-buku perubatan yang beratus-ratus harganya atau mana-mana buku di dunia ini. Jalan ini telah mengajarnya untuk membawa Quran tersebut kemana-mana sahaja.

Kak S pernah bercerita di dalam satu program bahawa Qurannya hilang di dalam kapal terbang. Saat dia mendengar cerita tersebut, dia tidak mahu nasib yang sama menimpanya kerana dia terlalu menyayangi Quran miliknya. Tapi hari ini Quran tersebut hilang saat jururawat mengalihkan barang miliknya dari bilik seminar.

Dia bertanyakan Allah asbabnya. Seakan-akan bicara seorang ukhti mengenai peperangan Uhud menggamit hatinya.

Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar) kamu berkata: "Dari mana datangnya (kekalahan) ini?" (3:165)

Para sahabat yang hebat ditarbiah juga bertanyakan asbab di sebalik yang terjadi. Mengapa mereka diuji sedangkan mereka berada di jalan kebenaran. Dia juga bertanyakan hal yang sama kepada Allah, mengapa dia ditimpakan dengan ujian ini?

Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (3:165)

Memang segala yang terjadi adalah kerana kesalahan dirinya sendiri. Mungkin ada riya’ dan ujub saat dia menggunakan Quran tersebut. Mungkin hatinya tidak bersama dengan Quran tersebut sehingga hanya tersedar di rumah bahawa Quran tersebut telah tiada. Mungkin kerana dia terlalu bergantung pada Al Quran tersebut dan tidak menyerahkan seluruh pergantungan pada Allah. Apabila dia melakukan refleksi, dia sedar bahawa segala yang terjadi adalah dari kesilapannya sendiri.

Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan , maka kekalahan itu adalah dengan izin (takdir) Allah,(3:166)

Dia bagai tersentak saat membaca ayat tersebut. Meskipun segala yang terjadi adalah kerana kesilapannya sendiri tapi Allah tegaskan padanya bahawa semua yang terjadi tetap berlaku dengan izin (takdir) Allah. Kisah perang Uhud menerpa fikirannya. Bukankah Allah berkuasa memenangkan para sahabat meskipun mereka melakukan kesalahan dan tidak mematuhi arahan Rasulullah SAW? Tapi mengapa Allah masih menguji mereka dengan kekalahan? Mengapa Allah masih memberi mereka ujian? Dia bermuhasabah. Allah berkuasa untuk tidak menghilangkan Quran tersebut tapi mengapa hal itu yang berlaku?

..agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman, dan untuk menguji orang-orang yang munafik..(Ali-Imran:165-167)

Semua ini adalah ujian buatnya. Adakah dia mampu bersabar dengan ujian ini? Sejauh mana dia memahami perjalanan takdir yang ditentukan oleh Allah SWT? Sejauh mana dia memahami setiap butir kata yang pernah dititipkannya pada insan lain?

Sentuhan Allah begitu hebat. Adakalanya membuatkan dirinya tersentak dan adakalanya merawat dirinya yang bersedih. Dia seakan-akan terasa pujukan Allah.

Dan janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.(3:139)

Air matanya terus-terusan menitis. Hebatnya Allah memujuknya.

Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, (3:140)

Andai peristiwa itu tidak terjadi, mungkin dia tidak akan melakukan refleksi ke atas niatnya. Mungkin dia akan terus-terusan mengumpulkan dosa yang bertimbun. Dia mengimbau kembali peperangan Uhud. Di saat segala yang terjadi seakan-akan kerugian buat para tentera Islam, tetapi Al Quran memberi sentuhan yang berbeza. Di sebalik ujian, ada yang lebih hebat yang Allah sediakan. Kekalahan yang dilihat dari kaca mata manusia tidak dilihat sebagai kekalahan. Mereka gugur syahid. Apakah ada pengiktirafan yang lebih besar berbanding syahid di jalan Allah? Itulah ganjaran yang Allah berikan di sebalik ujian.

..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.(3:141-142)

Dia mengadu pada Allah. Dia tersedar bahawa semua ini adalah ujian buat dirinya. Adakah dia masih mampu bersabar?

Ingatlah ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasul yang ada diantara kamu yang lain memanggil kamu (dari kelompok yang lari), kerana itu Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan, agar kamu tidak bersedih hati (lagi) terhadap apa yang luput dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan. Kemudian setelah kamu ditimpa kesedihan, Dia menurunkan rasa aman kepadamu (berupa) kantuk yang meliputi segolongan dari kamu, sedangkan segolongan lain telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyah.(3:153-154)

Air matanya tidak henti-henti tumpah saat membaca ayat tersebut. Allah sedang mengujinya dengan ujian-ujian yang tiada henti agar suatu masa nanti dia tidak akan bersedih hati lagi dengan sebarang kehilangan. Pasti ada sinar mentari di sebalik hujan yang menitis.

2 comments:

- ismisyakila - said...

Assalamualaikum wbt.

Ingatlah ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasul yang ada diantara kamu yang lain memanggil kamu (dari kelompok yang lari), kerana itu Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan, agar kamu tidak bersedih hati (lagi) terhadap apa yang luput dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan. Kemudian setelah kamu ditimpa kesedihan, Dia menurunkan rasa aman kepadamu (berupa) kantuk yang meliputi segolongan dari kamu, sedangkan segolongan lain telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyah.(3:153-154)

Terkadang diri malu sendiri kerana tidak mengambil hikmah dari setiap apa yang berlaku.

Sehingga hati terketuk, adakah aku hamba yang tidak bersyukur? Sedangkan apa yang diberi dan dikurnia-Nya merupakan yang terbaik buat diri.

Apabila diberi betis, aku mahukan peha. Apabila diberi peha, aku mahukan lebih dari itu.

Apabila diberi ujian aku menyalahkan takdir. Apabila diberi kesusahan aku mengeluh.

Susah sangatkah untuk aku bersyukur?

Betul-betul malu dengan-Nya.

Kisah perang Uhud ni, beri pengajaran pada saya. Terima kasih kak kerana berkongsi :)

Ummu Afeera said...

mak akak kata dia tak faham baca tulisan akak..

alhamdulillah apabila ada yang memahami...

segala yang baik dari Allah:)