Wednesday, January 28, 2009

Deja vu..

Sering saya tertanya-tanya misteri deja vu, hikmah dan ilham yang hadir dalam kehidupan saya. Terlalu banyak rahsia dan misteri yang sukar saya khabarkan. Allah sahaja yang mengerti segala rahsia.

Ayat ini pernah saya hadami saat mendengar kuliah tafsir Ustaz Zahazan dan hal itu telah lama berlalu. Dalam seminggu dua ini, ayat ini bermain-main kembali di fikiran.

“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam:25)

Ayat ini menceritakan mengenai sunnatullah. Pohon tamar tidak akan jatuh dengan sendirinya. Manusia perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Saya memotivasikan diri dengan ayat ini saat melalui kesukaran.

Ayat ini kembali pada saya semalam dengan satu cara yang amat cantik sehinggakan saya menangis. Saya merasakan kejadian itu sebagai misteri. Betapa Allah mengerti rahsia hati. Allah mendengar bicara hati.

Ayat Quran sering memberi khabar dan rasa yang berbeza saat menghadamnya buat kali yang kedua dan seterusnya.

”(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam: 23-25)

Kamu pernah melihat pohon tamar?
Seorang peninju yang handal juga mungkin mengalami kesukaran untuk menggoncangkan pohon tamar. Kamu tahu bila saatnya Allah meminta Maryam menggoncangkan pohon tamar tersebut? Di saat kesakitan yang terlalu dahsyat untuk melahirkan anak. Di saat dia dalam keadaan yang sangat lemah. Di saat dia dalam kemuncak kesakitannya. Mengapa? Allah mahu mengajarkan sesuatu. Allah membantu Maryam setelah dia melakukan tanggungjawabnya sebagai manusia. Pertolongan Allah ada. Boleh sahaja buah tamar itu turun seperti magic tapi Allah mengajar manusia bahawa mereka perlu melakukan urusan mereka terlebih dahulu dan kemudian pertolonganNya akan tiba. Allah membantunya. Inilah yang diajar oleh Islam.

Di satu sudut yang lain, kisah ibu nabi Musa juga meruntun hati saya. Di saat Firaun merancang untuk membunuh setiap anak lelaki bani Israel, Allah juga merancang dengan perancangan yang sangat hebat. Di dalam spesifik tempoh masa tersebut, Allah mentakdirkan ibu nabi Musa mengandung. Meskipun perisikan Firaun begitu hebat, namun kuasa Allah menyebabkan kandungan tersebut berjaya dirahsiakan sehingga kepada kelahiran nabi Musa. Ibu tersebut barangkali boleh merahsiakan kandungannya, tapi bagaimana mahu merahsiakan anak yang telah dilahirkan itu?

Allah memberi ilham padanya. Apa yang Allah khabarkan padanya?

”Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut;...” (Surah Al Qasas:7)

Sekiranya dia bimbang, Allah memintanya menghanyutkan bayi tersebut ke laut.

Laut apa? Laut Nil. Pernah kamu melihatnya? Saya kongsikan sebuah video mengenai Laut Nil ini. Kamu boleh sahaja melihat discovery berkenaan Mystery of Nile River dalam 11 siri di youtube untuk merasai kisah ini.



Setelah kamu menonton video ini, cuba ajukan sedikit persoalan pada diri. Seandainya kamu adalah seorang ibu, mampukah kamu melakukannya? Mampukah kamu menghanyutkan anak yang kamu sayangi dalam lautan yang bergelora itu, yang dikenali sebagai ”the world's greatest and most deadly river”? Adakah kamu berupaya melakukannya?

Walau seselamat mana sebuah peti, amat sukar untuk memastikan keselamatan si bayi terjaga kerana lautan tersebut sungguh menggerunkan. Amat sukar bagi seorang dewasa yang gagah untuk merentas lautan itu, inikan pula seorang bayi yang mulus.

Bagaimana mungkin ibu nabi Musa bersetuju untuk menghanyutkan anak yang disayanginya dengan tangannya sendiri?

Apa yang Allah janjikan padanya?

”....dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.” (Surah Al Qasas:7)

Allah memberi dua janji kepada ibu nabi Musa. Pertamanya, bayi tersebut akan dipulangkan padanya pada suatu hari dan keduanya bayi tersebut akan menjadi utusan Allah. Inilah janji Allah pada ibu Nabi Musa. Perjanjian ini tiada tandatangan, tiada bukti. Semuanya berdasarkan ilham yang Allah kurniakan pada ibu ini tadi (wa auhaina).

Janji Allah kepada ibu nabi Musa adalah seperti janjinya pada kita.

Dan persoalan yang disebutkan di awal tadi, bagaimana seorang ibu yang begitu mengasihi anaknya boleh pergi menghampiri Laut Nil, melihat sendiri kerakusan Laut Nil dan kemudian menghanyutkan bayi tersebut dengan tangannya?

Apa yang cuba ayat ini buktikan kepada kita? Ibu Nabi Musa memiliki iman yang terlalu mantap. Apa yang dilakukannya adalah bukti dan testimoni keimanannya kepada Allah. Inilah bukti ’yaqin’ (conviction). Ini adalah janji Allah dan ia akan berlaku. Tiada keraguan padanya. Dia sanggup mengenepikan perasaan keibuannya dan melihat sendiri anaknya hanyut dibawa Laut Nil yang bergelora. Dia percaya pada janji Allah.

Apa yang terjadi kepada Nabi Musa? Ibu Nabi Musa meminta saudara perempuan Musa mengikuti peti tersebut. Dari semua tempat yang ada di Mesir, peti tersebut menghala ke istana Firaun.

Cuba fikirkan seketika, mengapa ibu Nabi Musa sanggup menghanyutkan bayinya? Untuk melarikan bayinya dari siapa? Semata-mata untuk melarikan bayinya itu dari Firaun. Tapi Allah mentakdirkan bayi tersebut menuju kepada Firaun. Di saat Allah menjanjikan bayinya akan selamat, segala yang dilihatnya seakan-akan bertentangan dengan janji tersebut. Apa perasaanya saat itu? Dia mula berasa goyah dengan janji Allah saat melihat bayinya diambil oleh tentera-tentera Firaun. Inilah ujian Allah buat ibu nabi Musa. Ini adalah ujian yang sangat hebat dan dia nyaris gagal dalam ujian tersebut. Bukan gagal dalam iman, tetapi dia seakan gagal untuk merahsiakan mengenai anaknya. Dia mahu memberitahu mengenai hakikat anaknya kepada Firaun. Dia mahu merayu kepada Firaun agar memulangkan bayinya semula.

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah). (Surah Qasas:10)

Tapi Allah menguatkan hatinya agar dia tetap menjadi orang yang beriman. Bagaimana Allah boleh intervene dan menguatkan hati ibu ini tadi di dalam spesifik waktu itu? Bagaimana Allah miraculously menguatkan hati ibu nabi Musa? Dalam keadaan yang normal, tanpa bantuan Allah, nescaya ibu tadi akan berputus asa dan membongkarkan segala rahsia dan seterusnya Nabi Musa akan dibunuh.

Mengapa Allah menguatkan hatinya? Sebab dia telah percaya pada janji Allah dan mengambil langkah pertama untuk mendekati Allah dan sudah pasti Allah akan mengambil jutaan langkah untuk mendekatinya. Bukankah di dalam satu hadis Qudsi, Allah memberitahu bahawa sekiranya kita berjalan kepada Allah, Allah akan berlari kepada kita? Bukankah selangkah kita melangkah kepada Allah, seribu langkah Allah akan mendekati kita? Allah hanya mahu kita mengambil langkah pertama dan insya Allah urusan seterusnya akan berada di tanganNya.

Sesiapa yang menginginkan cahaya petunjuk Allah, nescaya Allah akan menuntuninya. Kita yang harus mencarinya. Kita yang perlu mengambil langkah pertama.

Saya tinggalkan dulu catitan ini. Masih banyak yang ingin dibicarakan, insya Allah mungkin di dalam kesempatan yang lain. Allahu A’lam. Moga kita sama-sama dapat mengorak langkah pertama untuk mendekati Allah.

3 comments:

sHi said...

salam ziarah ummuafeera,
benar, buleh saja Allah itu makbulkan doa kita, wat magic sekelip mata, namun Allah Maha Sweet, Maha Penyayang, Dia beri kita peluang untuk kutip segala pahala usaha, doa dan tawakkal kita kepadaNya. maka, pinjaman mana lagi yang lebih baik selain pinjaman Allah kan?

laily said...

byk kali aku dgr citer ni..tp kali ini benar2 membuat aku berfikir...

sakeenah said...

Feera,keenah baru bace ni.best!tq:)