Teringat program yang saya hadiri minggu lepas. Murabbi membentangkan suatu topik bertajuk “Dakwah kita adalah dakwah kebangkitan semula dan penyelamat”. Dia benar-benar mahu memahamkan kami perenggan pertama yang tercatat pada helaian kertas sehinggakan dia mengambil masa hampir berjam. Pada saya, itulah bezanya pengisian yang membentuk kefahaman berbanding pengisian untuk menghabiskan silibus semata-mata.
Dia benar-benar mahu kami faham. Perenggan pertama itu perlu dihayati sehingga lahir amal dari diri kami. Antara catatan perenggan pertama kertas tersebut - “Kita ditakdirkan hidup di zaman kemerosotan umat yang sangat dahsyat. Aqidah, politik, ekonomi, budaya, sosial, ilmu, harta, mentaliti dll. Beban adalah berat. Mesti lakukan dakwah dalam erti kata yang amat luas”. Dia membentangkan satu persatu kemerosotan umat yang menyedarkan kami akan hakikat ketenatan dan penyakit yang menimpa ummah ini. Katanya, andai kami boleh terfikir untuk duduk bersantai dan berehat tanpa kerja, kunjungi Bukit Bintang dan lihatlah realiti umat agar kami tersedar dari lena.
Saya tatap kembali helaian kertas tersebut tadi di wad. Bagai mahu menangis kerana saya mula memahami catatan di dalam kertas tersebut dengan lebih mendalam. Keberadaan saya di wad ginekologi yang saya anggap sebagai membosankan pada mulanya menjadi sangat bermakna. Bertemu dengan remaja berusia 16 tahun yang menghidap penyakit Pelvic Inflammatory Disease membuatkan empang air mata seakan tidak mampu ditahan lagi. Ummah sudah begitu tenat..
Pengakuan remaja itu menyesakkan hati dan nurani saya. Seolah-olah saya mahu teman dakwah untuk saya ajak berbicara. Saya seakan-akan memerlukan seorang pendokong saat itu. Namun saya sedar Allah ada di sisi. Cukuplah Dia bersama saya dalam mengharungi kefasadan ummah ini.
Mengenali seks seawal usia 14 tahun, mempelajari teknik melakukan seks dengan menonton video, membenci Tuhan kerana merasakan Tuhan tidak adil, mahukan kematian dan rasa hatinya yang lain menghiris hati saya sendiri. Seolah-olah saya mahu menjerit saat itu. Ya Rabb, ummahku terlalu tenat… Penyakitnya sememangnya disebabkan oleh perlakuannya sehari-hari.
Saya mengajaknya berbicara. Saya perlu berdakwah padanya. Saya katakan padanya bahawa saya menyayanginya. Islam menemukan kami. Pertemuan kami adalah tanda kasihNya.
Saya mahu bercerita kisah sahabat padanya. Namun dia tidak memahami hatta makna ‘sahabat Rasulullah”. Dia benar-benar tidak mengenali Islam. Ya Allah, sukarnya... Bagaimana saya mahu memulakan dakwah ini? Namun teringat lagi kata-kata murabbi – “Kita membawa dakwah terbaik, terkuat dan paling adil!!” Saya wajib mengimani semua itu.
Teringat nasyid Arruhul Jadid. Lagu tersebut diambil dari kata-kata Assyahid Imam Hassan Albanna - ayyuhal ikhwan, antum lastum jami'yah khairiyyah, wa la hizban siyasiya, wa la maudhaiyah liagradhi mahdudatil maqasid..wa lakinnakum ruhu jadid yasri fi qalbi hazihilummah. ..dan seterusnya..
Kata-kata tersebut bermaksud - Wahai saudaraku, kamu bukanlah persatuan kebajikan, ataupun parti politik atau pun persatuan untuk melaksanakan maqasid tertentu, tetapi kamu adalah ROH BARU yang berjalan di dalam hati ummah ini..
Assyahid menggunakan kalimah ROH kerana roh akan berjalan di dalam hati-hati manusia tanpa mengira fikrah dan kefahaman mereka dan roh sifatnya boleh memasuki mana-mana jasad.
Kerana mempercayai semua itu, saya masih di sini. Mempercayai dakwah ini dan insya Allah mahu terus berkerja. Saya percaya bahawa dakwah ini mampu mengubahnya 360 darjah seandainya dia memahami Islam sepertimana kefahaman Saidina Umar, Sumayyah dan lainnya. Saya mahu menjadi Ansarullah dan mati sebagai Ansarullah. Saya mahu melakukan sesuatu buat ummah ini. Segalanya biiznillah…
1 comment:
assalamu'alaikum feera...klu ada pape program lg bgtau la gak pd kyg ye..=) dh lama x join prgrm...
Post a Comment