Tangan kanan saya sakit. Hmm...merangkak-rangkak saya menaip entri ini. Moga Allah mentakdirkan yang terbaik buat tangan kanan saya.
---------------------------------
Hari ini kita akan belajar satu lagi teori. Teori pokok kelapa. Teori ini pada asalnya dinamakan teori pokok getah, tapi disebabkan tiada gambar pokok getah di dalam simpanan, jadilah teori ini teori pokok kelapa.
Gambar ini diambil di Perak.
Gambar ini pula diambil di Sabah.
Cuba tengok gambar ni betul-betul. Bayangkan ada pengait kelapa di dalam gambar ini.
Ceritanya begini. Pada suatu hari, datang seorang doktor bertemu dengan pengait-pengait kelapa ni. Doktor ni pun tunjuklah gambar ni. Doktor ni pun memberikan pidatonya.
“Wahai pengait-pengait kelapa sekalian. Ini adalah gambar pokok kelapa. Pokok kelapa ini warnanya hijau dan pastinya pengait-pengait kelapa sekalian lebih arif dari saya mengenai pokok kelapa. Cuba lihat gambar ini betul-betul. Ada seorang pengait kelapa di tengah-tengah rimbunan pokok kelapa. Pengait kelapa ini perlulah menjaga kesihatan. Pengait kelapa perlulah menjaga kesihatan kerana dibimbangi pengait kelapa boleh terkena penyakit seperti diabetes mellitus, hypertension, carpal tunnel syndrome...bla..bla..bla..”.
Doktor tersebut dengan gaya syok sendirinya membuatkan para pengait kelapa tercengang-cengang mendengar segala macam istilah perubatan yang entah apa-apa itu.
Cuba kita tukar situasi pula. Bayangkan seorang ahli fizik pula yang berjumpa dengan pengait kelapa ini.
“Wahai pengait-pengait kelapa sekalian. Ini adalah gambar pokok kelapa. Pokok kelapa ini warnanya hijau dan pastinya pengait-pengait kelapa sekalian lebih arif dari saya mengenai pokok kelapa.Tahukah pengait-pengait kelapa sekelian bagaimana kelapa boleh jatuh dari pokoknya? Ini disebabkan oleh hukum Newton. Hukum ini diasaskan oleh Isaac Newton...bla..bla..bla..”.
Ternganga mulut pengait-pengait kelapa mendengar istilah-istilah yang pelik-pelik itu.
Itu adalah dua cerita ringkas. Berlaku tak situasi-situasi ini dalam kehidupan kita?
Ya, berlaku. Contohnya, kalau kita buat survey dan tanya kat adik-adik atau sahabat-sahabat kita, kenapa kamu nak jadi doktor / jurutera / ahli matematik dan lain-lain, antara jawapan yang akan kita dengar ialah kerana ingin berdakwah. Kenapa tak jadi ustaz? Jawapannya, ilmu ini adalah ilmu Islam. ”Saya nak ajak orang memahami ciptaan Allah pada diri mereka dengan memperkenalkan ilmu perubatan. Saya ingin mereka memahami ciptaan kornea, fornix, hippocampus dan lain-lain.”
Kita akan berjumpa dengan ramai golongan yang ingin berdakwah dengan ilmu perubatan, kejuruteraan, matematik, farmasi dan lain-lain. Salah ke? Tak salah. Tapi siapa yang akan faham? Kalau dengan rakan-rakan sekuliah dan sekursus, mungkinlah mereka akan faham. Tapi kalau dengan pakcik-pakcik, makcik-makcik, mat rempit, bohsia, bohjan, kanak-kanak sekolah, pelajar-pelajar di sekolah menengah dan lainnya, adakah mereka akan memahami dakwah yang berlatarbelakangkan ilmu perubatan, kejuruteraan, matematik dan yang lain-lain? Bimbang sekiranya mad’u kita menjadi seperti pangait-pengait kelapa yang tercengang itu.
Hakikatnya tidak ramai yang faham. Lain tu mengapa perlu belajar perubatan, matematik, kejuruteraan dan lain-lain? Salah ke kalau belajar dalam kursus tersebut?
Tak salah. Ingat lagi tak kisah hadis ghulam? Kalau terlupa, boleh sahaja sahabat-sahabat mencarinya di bahagian message di laman yahoogroup. Kenapa ghulam tu belajar lagi ilmu sihir sedangkan dia tahu ilmu rahib yang betul? Sebabnya ilmu tu digunakan untuk menyihir hati manusia, bila orang dah percaya, ghulam tu cakap Allah yang sembuhkan.
Macam tu juga dengan kita. Nak jadi doktor sebab nak ‘sihir’ hati manusia. “Saya adalah Dr Z”. Gempak tak di mata pakcik-pakcik, pelajar-pelajar matrikulasi yang memang bercita-cita nak buat medic? Insya Allah, gempak. Nak sombong ke dengan pangkat doktor tu? Tak. Nak buat apa dengan pangkat doktor tu? Bila dah dapat tawan atau ‘sihir’ hati manusia tu, kamu dakwahlah dia pada Islam. Dengan ilmu medic ke? Tak. Dengan apa? Dengan AlQuran.
“...dan berjuanglah terhadap mereka dengannya (AlQuran) dengan semangat perjuangan yang besar”. (AlFurqan – 25:52)
Kenapa kena dakwah dengan AlQuran? Sebabnya Allah jamin AlQuran ni untuk semua. Tidak kiralah dia petani ke, pengait kelapa ke, doktor ke, jurutera ke, angkasawan ke, insya Allah semua orang pasti tertarik dengan AlQuran. Tidak kira siapapun, hatinya pasti tersentuh dengan AlQuran. Macam kitalah jugak, kalau ada masalah, kita akan ambil Quran tafsir, buka mana-mana muka surat dan Insya Allah, pasti Allah temukan penyelesaian, jawapan dan ketenangan hati dengan membaca Al Quran.
Menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajari AlQuran. AlQuran adalah sumber rujukan kita. Walau macam mana besar pun masalah kita, sebolehnya kita nak rujuk AlQuran. Kalau kita imbas waktu zaman Rasulullah SAW dulu, kalau ada hakim pun, hakim tu macam tiada kerja. Sebabnya semua masalah, orang rujuk AlQuran.
Dalam satu kisah benar tu, seorang Muslim ni naik kapal terbang. Duduk pasangan mat saleh di sebelahnya. Dia cakap dengan mat saleh tu, boleh tak kalau dia nak cerita tentang Islam? Pasangan mat saleh tu kata, boleh. Dan waktu mat saleh ni turun dari kapal terbang, Masya Allah dia telah menjadi Muslim.
Berdasarkan ayat di atas berjihad dengan AlQuran adalah jihad yang besar. Dakwah ini dimulakan oleh Rasulullah SAW dengan AlQuran. Modalnya hanya air liur sahaja. Kalau tidak pandai bercakap? Cubalah gunakan apa sahaja kelebihan yang ada demi dakwah ini.
Kenapa nak jadi doktor, jurutera dan lainnya? Sebabnya perkara-perkara itu yang dipandang oleh masyarakat hari ini. Apabila kita dah dapat ’menyihir’ hati masyarakat dengan pangkat doktor, jurutera dan lainnya, kita akan berdakwah dengan Al Quran. Di saat kita mengutip mutiara-mutiara ilmu dalam bidang masing-masing, jangan lupa untuk mempelajari ilmu berkenaan dengan AlQuran. Sebabnya? Kita akan gunakan AlQuran untuk berjihad =)
No comments:
Post a Comment