Thursday, July 03, 2008

Dr Fatma..

Salah satu penceramah kegemaran saya ialah Dato’ Dr Fatma El Zahraa Mohd Ramadhan. Badannya comel juga dan ada kalanya hadir menghiasi rancangan Motivasi Pagi, AlKuliyyah dan lain-lain. Saya pernah terbaca bahawa dia adalah cucu Assyahid Hassan Al Banna. Saya pernah mencari tentangnya beberapa kali tapi seringkali hampa. Tapi tadi Allah menemukan saya dengan biodata ringkasnya. Masya Allah, rupanya dia berkelulusan dalam bidang pergigian dari Universiti Cairo. Dia menyambung pengajian dalam bidang Master di London dalam bidang oral surgery. Dia juga mempunyai kelulusan di dalam Higher Islamic Studies dari Universiti Al Azhar, Cairo.

Kata-katanya pasti menyentuh hati. Dengan lenggok arabnya, dia berjaya menarik hati saya untuk mendengar. Dia membaca ayat-ayat AlQuran dengan penuh makna. Seringkali saya mencari-cari kuliahnya. Hati pasti terpaut untuk mendengar kuliah tafsirnya tapi sayang rancangan-rancangan seperti ini ada kalanya ditayangkan di saat-saat manusia lain sudah berada di alam mimpi.

Sungguh tadi saya terpana seketika mengikuti rancangannya di saluran astro Oasis di dalam rancangan Al-Rayyan. Topiknya berkisar mengenai rezeki. Dia menyebut juga hadis kesukaan saya. Allah tahu sesetengah manusia akan rosak sekiranya dia miskin, dan Allah akan memberikannya harta. Ada pula yang akan rosak dengan harta lantas Allah menjadikannya miskin. Ada yang rosak apabila sakit, maka Allah memberikannya kesihatan. Dan ada pula yang akan rosak dengan kesihatan, maka Allah memberikannya sakit.

Tetamu jemputannya tadi adalah Mawi. Masya Allah, Dr Fatma begitu berani untuk bertanyakan soalan-soalan yang agak mengejutkan. Saya percaya tiada penceramah seberaninya. Dengan lenggok arab dan gaya keibuannya, soalan-soalan tersebut kelihatan sesuai. Namun hakikat di sebalik soalannya pasti menyentak hati sesiapa yang memahaminya.

“Mawi tak rasa ke rezeki yang Allah beri ini adalah istidraj?” Dr Fatma kemudiannya menghuraikan makna istidraj.

“Saya selalu dengar world..world..(Mawi world)..Apa maksudnya world ni??” Mawi menjawab bahawa world adalah gempak ataupun bagus. Dr Fatma menjawab kembali, “Dunia mana ada gempak atau bagus”. Mawi terpaksa rephrase semula kata-katanya.

Antara soalan lainnya berkenaan solat.

”Mawi jaga solat ke?”

”Jaga”.

”Jaga waktu solat ke?” Ada qadha’ ke?”

”Dulu memang jaga. Sekarang ni dah tak dengar azan. Nak cuci make-up. Sebenarnya boleh buat. Tiada alasan”.

Soalan berkenaan dengan perkahwinan:

”Ada perancangan untuk berkahwin?”

”Semua orang pastinya ingin berkahwin dan memiliki keluarga”

”Kalau isteri kamu artis?”

”Kalau Allah takdirkan isteri saya artis, saya redha”.

”Ada syarat ke nak pilih isteri?”

”Syarat?” (saya pun tertanya-tanya juga dengan maksud syarat yang Dr Fatma maksudkan)

“Tutup aurat?”

“Oo.. Kalau boleh, biar solehah”.

”Balik selalu jumpa mak?”

”Dua kali sebulan”

”Telefon selalu?”

”Selalu”

”Kena jaga hubungan dengan keluarga. Insya Allah murah rezeki.”

Semua dialog tu bukan bulat-bulat. Itu yang saya ingat. Tapi cukup untuk saya katakan, Dr Fatma sungguh berani bertanya soalan. Soalan berkenaan istidraj tu menyentak hati saya. Moga Allah memberkati perjalanan dakwahnya dan merahmatinya.

(Istidraj = perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang fasik atau kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.)

2 comments:

Unknown said...

assalamualaikum..ada email dr fatma tak? puas sudah saya cari, tapi tak jumpa.. harap dapat membantu.terima kasih.

Ummu Afeera said...

waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh...hmm..tade...agak sukar juga sebenarnya untuk mencari maklumat berkenaan dengan dr fatma...maaf..