Saturday, July 05, 2008

Racun...


Seolah-olah Allah menunjukkan jalanNya saat saya mendengar kuliah Sheikh Anwar Al Awlaki berkenaan dengan kisah Nabi Lut. Pada permulaan kuliahnya lagi saya sudah terasa. Saya bukan seperti dulu. Saya yang kini adalah insan yang kononnya cuba mencari sesuatu yang disukai manusia dan saya berdakwah ke arahnya. Konon-kononnya dengan cara itu saya dapat mendekati manusia. Konon-kononnya itu adalah hikmah.

Saya ingat lagi saya pernah bertanya seseorang yang hebat dalam dunia dakwah mengenai nahi munkar. Katanya, menegur maksiat dengan mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak boleh adalah ’silly thing’. Dan saya sentiasa merasa bersalah atas apa yang pernah saya lakukan di matrikulasi suatu ketika dulu. Terasa bahawa saya melakukan ’silly thing’ saat saya menegur maksiat dan pasangan couple dulu.

Lantas saya berada dalam konflik diri yang tidak terhingga. Saban waktu apabila saya melihat pasangan couple dan maksiat, saya jadi penasaran. Andai saya tegur, saya melakukan ’silly thing’. Tidak tegur membuatkan saya terasa bahawa saya ’redha’ dengan maksiat tersebut. Dan perasaan tersebut lebih menyesakkan jiwa. Dosa mereka membuatkan saya terasa bahawa saya yang melakukan dosa tersebut. Hingga akhirnya berlaku sesuatu yang meragut ketenangan saya.

Tapi tadi baru saya memahami bahawa apa yang pernah saya lakukan di matrikulasi dahulu adalah betul. Bukan apa yang saya lakukan kini. Dakwah bukanlah mengajak manusia kepada sesuatu yang disukai mad’u semata-mata. Dakwah juga bermakna menyentuh hal-hal yang menjadi racun dalam suatu komuniti. Andai ada insan yang tidak bertudung, menjadi kewajipan untuk berbicara mengenai aurat. Andai ada kezaliman dalam sistem politik, kita perlu menegur hal-hak tersebut. Bila ada yang merokok menjadi kewajipan untuk menyentuh isu tersebut. Bukan melarikan diri. Saya yang kini adalah saya yang melarikan diri dari masalah ummah. Saya cuba menarik manusia ke arah yang disukainya. Saya cuba menyentuh segala macam perkara yang dirasakan ‘best’ oleh manusia. Saya tidak mahu menyentuh mengenai isu politik kerana saya merasakan bahawa hal itu boleh menyebabkan mad’u saya lari. Saya tidak mahu menyentuh hal-hal kontroversi. Astaghfirullah, moga Allah mengampunkan dosa saya atas apa yang telah saya lakukan.

Kata Sheikh Anwar Al Awlaki, manusia akan menyukai daie yang menyentuh hal-hal yang disukainya. Tapi itu bukan cara para anbiya’ utusan Allah. Utusan Allah adalah mereka yang menyentuh isu tertentu yang menjadi permasalahan dalam masyarakat. Dan itu yang menyebabkan para nabi utusan Allah berdepan dengan onak duri perjuangan dakwah kerana manusia-manusia engkar tidak akan sesekali mahu mendengar sesuatu yang tidak enak pada telinga mereka. Manusia tidak menginginkan daie yang akan bercakap mengenai masalah mereka. Manusia tidak menginginkan daie yang akan menegur kesalahan mereka. Manusia hanya mahukan daie yang akan membuatkan mereka berasa selesa. Semua anbiya’ utusan Allah adalah mereka yang menyentuh racun yang ada dalam komunitinya. Tapi kata Sheikh, jarang sekali kita mengikuti metod yang ditunjukkan oleh para anbiya’ utusan Allah kerana kita lemah. Tapi menjadi tanggungjawab kita untuk berdepan dengan realiti dan mengikuti method para anbiya’. Agama Allah diturunkan untuk menyelesaikan permasalahan yang ada. Dan dia meneruskan kuliahnya berkenaan dengan Nabi Lut yang menegur persoalan masyarakat ketika itu yang menyebabkan dia dibenci dan diuji.

Alhamdulillah, Allah masih memberikan saya peluang untuk menambah kefahaman. Moga Allah mengampunkan dosa saya yang hadir disebabkan kejahilan saya.

No comments: