Tadi saya menemankan sahabat saya membawa remaja perempuan tersebut dan anaknya bertemu ustaz. Syukur padaNya sebab perjalanan tadi cukup mendidik saya. Betapa tarbiah Allah itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.
Ustaz yang kami temui merupakan seorang yang arif dalam bidang ilmu perbandingan agama. Dia begitu pandai mendekati mad’unya. Ya, saya perlu belajar berkenaan hal itu kerana itu titik kelemahan saya. Saya begitu kaku apabila bertemu dengan manusia yang tidak saya kenali buat pertama kali. Saya melihat kebanyakan mereka yang arif dalam ilmu perbandingan agama ini adalah mereka yang bijak mencari peluang. Mereka tidak melihat sesuatu sebagai kelemahan tetapi sebagai satu peluang yang perlu digunakan.
Contohnya, kami bertanyakan ustaz mengenai seorang kawan bukan Muslim kami. Dia seorang yang suka menyebarkan berkenaan dengan agama Kristian tetapi menutup ruang untuk belajar tentang Islam. Dia tidak sesekali membuka hatinya untuk membaca tentang Islam kerana bimbang terpengaruh. Kami bertanyakan pada ustaz berkenaan hal itu kerana kami melihat hal itu sebagai kelemahan. Tetapi ustaz melihatnya sebagai peluang. Kata ustaz, itu lebih mudah. Hanya perlu gunakan Bible sahaja untuk berdialog dengannya dan bukan membandingkan agama Kristian dengan agama lain.
Saya teringat juga salah satu ceramah Dr Zakir Naik. Dia melihat golongan atheist sebagai peluang. Katanya, golongan atheist ini sudah beriman dengan separuh kalimah syahadah – tiada tuhan. Kita hanya perlu memastikan mereka beriman dengan separuh lagi kalimah syahadah – tiada tuhan selain Allah. Ya, saya perlu melihat sesuatu sebagai peluang sebenarnya dan bukannya kelemahan.
Saya belajar hal lain juga dalam perjalanan ini. Saya belajar berkenaan dengan seorang tokoh yang hebat dalam ilmu perbandingan agama ini, Sheikh Ahmad Deedat. Seingat saya pada bulan 0gos 2005, beliau kembali ke rahmatullah. Dalam bulan yang sama, Zainab AlGhazali juga pergi mengadap ilahi. Sungguh Ogos 2005 menyaksikan kehilangan dua orang tokoh yang banyak berjuang di jalan Islam.
Sheikh Ahmad Deedat ini sebelum menjadi aktivis dakwah merupakan seorang penjual garam dan gula. Di sebelah kedainya terletak markaz gerakan Kristianisasi. Saban waktu misionari Kristian ini akan datang bertemu dengannya, menerangkan tentang agama Kristian dan juga menyerang Islam. Sheikh Ahmad Deedat ini sangat yakin dengan Islam tapi tidak mempunyai jawapan bagi setiap soalan yang diajukan. Saban malam dia akan menangisi kelemahannya.
Suatu hari saat dia membersihkan buku-buku, majalah-majalah dan surat khabar lama, Allah temukannya dengan sebuah buku tulisan seorang ulama India, Sheikh Rahmatullah AlHindi. Buku yang sudah usang itu diterbitkan pada tahun 1915. Sheikh Ahmad Deedat pula dilahirkan pada tahun 1918. Buku itu 3 tahun lebih tua dari umurnya. Buku yang ditemuinya itu sudah hilang kulitnya. Sheikh Ahmad Deedat membalutnya dan kemudian membaca buku itu. Sheikh Rahmatullah AlHindi menulis berkenaan dengan kisah hidupnya dan Sheikh Ahmad Deedat merasakan bahawa kehidupannya begitu hampir dengan kehidupan Sheikh Rahmatullahi AlHindi. Di dalam buku tersebut, Sheikh Ahmad Deedat menemui jawapan-jawapan yang kepada persoalan yang diajukan oleh para misionari Kristian itu.
Sejak saat itu, Sheikh Ahmad Deedat cuba menjawab soalan-soalan dari para misionari sehingga akhirnya para misionari Kristian ini takut untuk bertemu dengannya. Maka bermulalah era dakwah dalam kehidupan Sheikh Ahmad Deedat.
Ustaz yang bercerita pada kami membaca buku tulisan Sheikh Ahmad Deedat dan juga buku yang dibaca oleh Sheikh Ahmad Deedat iaitu buku tulisan Sheikh Rahmatullah AlHindi. Kata ustaz, apa yang ditulis oleh Sheikh Ahmad Deedat adalah sebahagian sahaja yang ditulis oleh Sheikh Rahmatullah AlHindi. Ustaz nak gambarkan kat kita betapa sebenarnya agama Kristian ini penuh lompang di sana sini.
Ustaz ceritakan juga kata-kata Sheikh Ahmad Deedat yang mahsyur, ”Andainya para misionari Kristian ini tidak bertanyakan aku, pastinya aku masih lagi seorang penjual garam dan gula”. Kata-kata tersebut amat bermakna bagi saya. Andainya Allah tidak mentakdirkan saya pergi ke Sabah tempoh hari dan semalam pula bertemu dengan remaja perempuan itu, pastinya hati saya tidak terbuka untuk mempelajari ilmu perbandingan agama ini. Sememangnya perjalanan hidup ini merupakan Sunnatullah dan tarbiah dariNya. Allah tidak mentakdirkan sesuatu yang sia-sia.
1 comment:
salam ziarah
sy juga baru terbaca mengenai syeikh Rahmatullah smlm. Beliau adalah ulamak India di zaman Sultan abdul hamid yang menyokong gagasan pan Islamisme di zaman akhir khilafah Uthmaniyyah.
Post a Comment