Friday, June 20, 2008

Peti maksiat...

Semalam..


Semalam..

“Afeera, boleh tak nak tengok cerita Solehah?”

“Tengoklah..”.

Hmm…bila Afeera fikir-fikir balik, masih jauh lagi Afeera ni dari menarik manusia ke arah kebaikan. Kata-kata Afeera sedikit pun tidak melambangkan sikap seorang daiyah. Afeera tidak tahu hukum tengok cerita Solehah sebenarnya, tapi mengapa Afeera tidak sedikitpun mengajak manusia melakukan amal yang lebih bermanfaat? Afeera pun seringkala hanyut dalam dunia lagha. Duhai Afeera, awak kenalah baiki diri sendiri dulu, barulah boleh menjadi contoh pada yang lain.

Apa Afeera merepek petang-petang ni? Entahlah. Allahu A’lam, mungkin sahaja cerita Solehah tu ada pengajaran yang berguna di dalamnya. Afeera tidak tahu cara terbaik untuk menjustifikasikan cerita tu. Melambak sungguh cerita Indonesia sejak akhir-akhir ni mengenai wanita yang menutup aurat. Mungkin cerita tersebut mampu menunjukkan kecantikan alami menutup aurat dan menyebabkan lebih ramai manusia yang menutup aurat. Allahu A’lam. Afeera tidak tahu.

Tapi Afeera sungguh terkilan dengan cerita Ezora. Bila sudah ada peti televisyen di rumah sewa Afeera, sedikit sebanyak Afeera pun tahulah hal ehwal cerita tu. Hmm, kalau tak kenal Jahiliah sangat pun tak boleh. Kenalah tengok kiri dan kanan. Khalifah Omar al-Khattab pernah berkata, "Akan terungkai ikatan Islam satu demi satu daripada seseorang jika dia hidup tanpa mengenali jahiliah."

Kenapa Afeera terkilan? Afeera cemburu ke dengan Fazura yang cantik itu? Tidak.. tidak…Afeera percaya Sunnatullah alam ni mengenai taburan normal…

Lain tu apa sebabnya? Afeera terkilan sebab ada yang bencikan zina yang turut hanyut menonton cerita tu. Telinga Afeera berdesing sebenarnya bila ada yang kata, “Kesiannya Ezora”. Marah sungguh Afeera. Hebat sungguh media. Benda yang haram pun boleh disolekkan menjadi cantik. Manusia tidak mampu melihat hakikat zina yang diterapkan di sebalik cerita tersebut. Manusia lalai apabila melihat pelakonnya yang begitu cantik itu sampai sanggup menghalalkan zina dan menghalalkan hal ehwal duduk bersama lelaki yang bukan mahram serumah. Lipstik maksiat ada di mana-mana sahaja. Situasinya sama juga dalam kes buang anak. Manusia melihat kes buang anak semata-mata tanpa melihat hakikat zina di sebaliknya.

Afeera menggunakan teropong Google untuk mencari sedikit maklumat mengenai cerita tersebut. Memang ada yang mengkritik cerita tersebut yang sememangnya jauh dari lunas Islam. Kalaulah Afeera menjadi pengarah, Afeera takut azab Allah sebab buat manusia lalai.

Afeera mahu jadi doktor. Mungkin Afeera akan sibuk dengan pekerjaan Afeera. Kalau ada yang berkemahiran dan kreatif, Afeera cadangkan jadilah pengarah. Hasilkan banyak filem-filem berorientasikan Islam yang benar.

Ada satu hal lagi yang Afeera perlu muhasabah. Afeera tidak doa pun kat Allah masa cari rumah sewa dulu. Afeera tidak doa kat Allah agar rumah sewa Afeera tiada peti maksiat tu. Pesan naqibah Afeera, kadangkala sebenarnya kita ni malas berdoa. Kita tidak mintak pun Allah jauhkan telinga kita dari dengar umpatan orang. Kita tidak doa pun kat Allah agar mata kita tidak melihat benda maksiat. Kita tidak doa pun kat Allah agar hati kita ni tidak lalai. Afeera kena banyakkan doa. Dah setahun Afeera duduk kat rumah ni. Afeera mahu berdoa moga rumah sewa Afeera yang seterusnya tiada peti maksiat. Esok lusa, kalau Afeera ada rumah sendiri, Afeera tidak mahu peti maksiat tu menghiasi rumah Afeera.

(Entri ni tiada kaitan dengan manusia sekeliling saya)

No comments: