Dulu saat kami melihat senior kami menduduki hari terakhir Profesional Exam dan pada keesokan harinya keputusan keluar, sempat kami katakan pada pensyarah kami, “Cepatnya keputusan keluar”. Dan pensyarah kami menjawab, “Itulah namanya Professional Exam. Semuanya adalah profesional”. Dalam hati terdetik juga, hisab Allah di akhirat kelak pastinya lebih cepat dan tidak mampu dibayangkan oleh manusia.
Dan hari ini kami pula melaluinya. Alhamdulillah, semuanya lulus dalam Professional Exam ini.
Sebelum menduduki hari peperiksaan yang terakhir, saya sempat membaca catatan blog Anwar AlAwlaki. Pasti setiap hati tersentuh membaca catatan dan pengalamannya di penjara. Dia merasai kemanisan membaca AlQuran dan berhubungan dengan Allah Taala. Katanya, AlQuran tidak akan membuka rahsianya buat mereka yang tidak membuka hatinya pada AlQuran. AlQuran tidak akan sesekali mencampakkan permatanya buat mereka yang tidak layak. Kadangkala saya seperti mahukan ujian seperti mana yang dilalui olehnya. Saya nak rasa kemanisan membaca AlQuran. Saya inginkan ujian seperti mana yang dilalui oleh Ibn Taimiah sehinggakan mampu membaca AlQuran sebanyak 80 kali dalam jangka masa yang pendek.
Saya inginkan ujian yang dilalui oleh Zainab AlGhazali sehinggakan saya dapat merasakan kemanisan bertaqarrub padaNya. Saya inginkan ujian agar tiap kali saya membaca ayat ke 5 dalam surah AlFatihah yang bermaksud, ” Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan”, saya dapat membawa makna dalam solat saya. Semua ini hanya akan dapat dirasai andai manusia diuji.
Hati kecil saya seakan berbisik mahu diuji dalam peperiksaan ini sebenarnya. Saya luahkan rasa hati ini pada seorang akak di sini. Kata-katanya menyedarkan saya bahawa saya tersilap dalam doa saya. Katanya, ”Mengapa tidak minta pada Allah agar diberi kekuatan untuk bermujahadah melakukan ibadah dan hal lainnya?”. Mujahadah? Melawan hawa nafsu? Saya tidak faham pada mulanya. Kemudiannya dia menerangkan lagi. Manusia bila diuji pastinya akrab dengan Allah. Sesiapapun pastinya begitu. Semuanya akan mengingati Allah di saat diri benar-benar keseorangan. Tapi mujahadah dan melawan hawa nafsu ini bukan mudah. Rasulullah SAW sangat menekankan tentang adanya jihad yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? " Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu."
(Riwayat Al Baihaqi)
Mujahadah ini tidak mudah. Sangat sukar. Lawan nafsu untuk tidak terlibat dengan perkara lagha, tahan nafsu dari mengumpat, nak kekal istiqamah buat ibadah dan hal lainnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tapi kata akak tersebut, kemanisan yang diperolehi dari mujahadah adalah sukar diungkapkan oleh kata-kata. Kita akan bertemu dengan kemanisan dalam mujahadah. Di saat hati terasa sukar untuk beribadah atau melakukan kebaikan misalnya, bermujahadahlah. Moga Allah mengurniakan keikhlasan dan kemanisan iman di sebalik mujahadah tersebut. Moga Allah menjadikan kita insan yang mengingatiNya di kala kita berada di khalayak ramai mahupun di saat kita keseorangan. Kita berdoa pada Allah agar kita mengingatinya ketika dikurniakan nikmat mahupun ketika diuji.
”...danTuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya”. (Fussilat: 46)
2 comments:
dik,
moyang zainab diuji setelah istiqomahnya dia. sudah kita istiqomah hingga mahu diuji sepertinya? :)
belum istiqamah lagi...tapi tidak akan putus asa..akan cuba selagi ada nyawa walau di hujung nafas yang bakal tiba...terima kasih sebab ingatkan..
Post a Comment