Wednesday, June 25, 2008

1 dan 0..


Maafkan saya andai ada email spam yang terlepas ke kantung email masing-masing. Saya terlepas pandang saat men’approve’ email-email tersebut.

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberi peluang untuk kita mengenaliNya dengan melihat tanda-tanda penciptaan pada diri kita sendiri mahupun pada alam yang terbentang luas ini. Bagi mereka yang bergelar pelajar perubatan, mempelajari ilmu perubatan pastinya membuatkan hati sentiasa terasa kerdil. Malah terasa semakin jahil. Ciptaan Allah hatta mengenai diri kita sendiri terlalu sukar diceritakan oleh hanya satu dua buku. Terlalu banyak buku perubatan yang ada di dunia ini namun pastinya tidak mungkin mampu untuk menjelaskan kehebatan Allah. Saya akur pada kata-kata ini yang dipetik dari sebuah buku - "Demi Tuhan yang aku dalam genggamanNya, bermula aku dengan kejahilan dan berakhir aku dengan kejahilan. Kesudahan mengenal adalah tiada mengenal, tiadalah aku ketahui apa-apa tentangNya hanyalah sekadar setitik air di hujung jari di tengah lautan yang tidak bertepi!". Pastinya mempelajari sesuatu yang melibatkan penciptaan manusia, makhluk ciptaanNya yang paling unik ini merupakan suatu perkara yang bukan mudah.

Alhamdulillah, hari ini telah berakhir Profesional Exam bagi pelajar tahun 2 di kolej saya. Keputusan akan diketahui esok. Namun kepuasan berakhirnya peperiksaan masih dirasakan kerana masing-masing mengetahui hakikat bahawa setiap diri telah cuba untuk memberikan yang terbaik.

Saya ucapkan terima kasih buat semua sahabat-sahabat yang memanjangkan tulisan yang bertajuk Jenayah Akademik Aktivis Dakwah, mungkin juga sebagai respons kepada tulisan bertajuk ‘Kegagalan’ sebelum ini. Tulisan tersebut amat baik untuk dihadami. Percayalah bahawa seorang daie mahupun daiyah yang benar-benar memahami hakikat dakwah pastinya tidak akan sesekali bermain api dengan akademiknya. Dia memahami tujuan penciptaanNya dan memahami betapa pentingnya keputusan akademiknya untuk menarik hati manusia lain. Dia memahami betapa dia perlu berusaha juga untuk akademik sebagaimana dia berusaha untuk kepentingan dakwahnya. Namun hakikat keputusan di sebalik sebuah peperiksaan adalah rahsiaNya. Percayalah, bahawa Allah menjanjikan kebaikan dalam semua perkara.

Adakalanya sebagai pelajar, mungkin sahaja kita perlu memperbaiki teknik belajar dan hal-hal lain misalnya. Saya masih lagi mengingati kelas revisi saya di Sabah tempoh hari sewaktu menghadiri program Sunathon di sana. Saya dan kawan-kawan yang lain cuba mencatat segala butir ilmu yang dipertuturkan oleh pensyarah saya. Namun pensyarah kami menegur kami. Kata-katanya benar-benar menyentuh hati saya. Adakalanya kita terhalang menerima ilmu kerana maksiat yang kita lakukan, kerana dosa kita pada ibu bapa, guru-guru dan manusia lainnya. Tapi adakalanya bukan itu sebabnya. Sebabnya yang lain adalah kerana kita tidak mempelajari ilmu tersebut dengan hati dan perasaan kita. Kita mencatat tanpa mahu menghafaz ilmu apatah lagi menanamnya di dalam hati. Apabila kita melihat soalan, kita rasakan bahawa kita pernah mempelajarinya tetapi kerana kita tidak menanam ilmu tersebut di dalam hati dan perasaan, ilmu itu hilang begitu sahaja. Ya, sebagai pelajar adakalanya kita perlu memperbaiki teknik dan gaya pembelajaran masing-masing. Mungkin selama ini kita sememangnya berusaha namun masih ada yang perlu diperbetulkan dari aspek teknik dan hal lainnya.

Peperiksaan mengajar manusia mengenai banyak perkara sebenarnya. Saya juga mempelajari konsep 1 dan 0 dari seorang akak semalam. Katanya, sekiranya 0 dibahagikan dengan 1, jawapannya adalah 0. Dan seandainya 1 dibahagikan dengan 0, infiniti adalah jawapannya. Begitu juga dengan konsep ilmu, seandainya kita menganggap hal lainnya adalah kosong dan percaya dan bergantung pada ilmu yang kita pelajari semata-mata, jadilah kita seperti analogi 0 yang dibahagikan dengan 1 dan hakikatnya (jawapannya) kita adalah kosong kerana hakikatnya ilmu Allah itu begitu luas. Segala apa yang kita pelajari adalah terlalu kecil sebenarnya. Namun sekiranya kita menganggap kita adalah kosong dan ilmu yang kita pelajari adalah dari Allah semata-mata, jadilah analoginya seperti 0 yang dibahagikan dengan 1, dan nilainya adalah infiniti. Tidak mungkin mampu kita bayangkan segala rahsia di sebaliknya.

Bila faham konsep ni, tidak timbul rasa kecewa sebab kita tahu diri kita kosong dan dari Allah segalanya. Andai setelah berusaha, kita masih terlupa di dalam peperiksaan, kita akur bahawa kita adalah kosong dan dari Allah segalanya. Andai kita punya harta dan harta kita berkurang, kita faham bahawa kita adalah kosong dan harta yang ada pada kita itu adalah milik Allah sebenarnya. Apabila kita sakit, kita faham bahawa kita adalah kosong dan nikmat kesihatan itu adalah dari Allah sebenarnya. Begitu juga andai kita kehilangan insan-insan yang tersayang. Kita akur bahawa kita adalah kosong dan segalanya adalah milik Allah. Sehingga lahir perasaan tidak mahu lagi kecewa dengan ketentuannya. Perasaan dan segalanya yang lahir setelah memahami konsep ini adalah infiniti dan tidak mampu diungkapkan. Kita memahami Asma Allah seperti AlQahhar dan AlJabbar. Ya Qahhar dan Ya Jabbar adalah dua Asma Allah yang memiliki erti hampir sama. Qahhar bererti Maha Memaksa (kehendaknya pasti terjadi, tidak bisa dihalangi oleh siapapun) dan Jabbar hampir memiliki erti yang sama, tetapi ada pula yang mengertikan Jabbar dengan Maha Perkasa (tidak bisa dihalangi/dikalahkan oleh siapapun). Pastinya hati akan terasa tenang apabila kita memahami konsep ini.

Saya tinggalkan catitan ini dengan serangkap kata yang saya petik dari buku yang berkisarkan ilmu tasawuf – Diri zahir adalah ibarat permukaan gua yang di dalamnya penuh keluasan yang terhimpun segala rahsia dan hakikat. Jika kamu berjaya tembusi kegelapan selubung tubuh zahir ini, nescaya akan terbuka bagimu beberapa alam yang luas yang tiada batasan baginya.

Catitan ini sebagai muhasabah buat saya. Moga Allah memberi kekuatan agar catitan ini bukan hanya sekadar catitan tetapi sesuatu yang mampu disimpan dalam hati dan diamalkan.

No comments: