Apabila saya khabarkan pada manusia lain bahawa saya lulus dalam peperiksaan professional saya yang pertama, saya pasti tidak sesiapapun mengetahui hakikat kepahitan di sebaliknya. Saya lulus tetapi Allah tidak mentakdirkan saya secemerlang sahabat-sahabat saya yang lain. Dan itulah yang terbaik yang Allah tentukan buat saya.
Selepas keputusan peperiksaan diumumkan, terdapat beberapa pensyarah yang memberikan ucapan. Saya terkesan yang amat mendengar kata-kata seorang pensyarah. Saya akui ‘aura’nya sehinggakan sewaktu peperiksaan OSCE, saya terkandas di stesennya. Ketakutan yang sukar diungkapkan apabila melihat wajahnya dan di saat dia mengajukan soalan. Saya terlupa kebanyakan perkara yang perlu saya lakukan kerana ‘aura’nya.
Dia bercerita mengenai sebuah kisah yang sungguh masyhur. Saat dia bercerita, ada kalanya dia memandang tepat ke dalam anak mata saya. Kisahnya berkenaan dengan Imam Syafei. Saya pasti ramai yang dah tahu cerita ni. Ceritanya berkenaan satu maksiat kecil yang Imam Safei lakukan sehingga dia sukar menghafaz ilmunya. Kemudiannya pensyarah tersebut berkata bahawa dia bimbang akan virus-virus maksiat yang ada di dalam laptop, hati dan hal lainnya yang menghalang ilmu dari memasuki hati kami.
Lepas tu, dia tanyakan soalan. Kamu tak rasa bersalah ke lupakan ilmu yang pensyarah-pensyarah kamu ajarkan? Dapat bayangkan tak perasaan saya waktu tu?
Kalau pada mulanya saya jadi hamba yang bersyukur sebab lulus peperiksaan tapi selepas saat itu saya jadi sungguh tertekan. Seakan-akan terlekat sticker di dahi bahawa saya adalah ‘pendosa besar’ sehingga ilmu sukar masuk ke dalam hati saya. Waktu saya menelefon mak, saya menangis sebab saya terasa sungguh bodoh. Saya terasa saya adalah manusia yang memiliki ribuan, jutaan malah tidak terkira rasanya dosa saya.
Lepas tu adik saya, Zaid telefon. Saya pun ceritakan segala perkara yang terjadi. Tahu apa katanya? Kalau dia jadi saya, dia akan dengar dan kemudian masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dia katakan pada saya bahawa saya sewajarnya bersyukur kerana saya lulus. Dia tanyakan pada saya, adakah saya telah berusaha? Saya katakan, ya. Dia suruh saya yakin dengan sebenarnya bahawa itu yang terbaik yang Allah tentukan buat saya setelah saya berusaha.
Kadangkala saya terasa sungguh benci juga sebenarnya mendengar kisah ini. Saya melihat manusia lain juga dalam tekanan kerana kisah ini. Status Yahoo Messenger kawan-kawan saya cukup mengambarkan betapa mereka juga tersiksa kerana kisah ini. Antara status mereka – “Pass with broken heart”, “Perbaiki diri, God engrave you due to your sin”, “Aku kini buta tanpa cahaya’ dan lainnya. Saya bukan membenci Imam Syafei tetapi saya tidak suka bila kisah ini digembar gemburkan sehinggakan kisah tersebut seakan-akan menjadi hukuman buat setiap manusia yang lemah seperti saya.
Masih banyak lagi kisah yang boleh diceritakan. Berikanlah motivasi bukan hukuman. Sunnatullah alam ini adalah taburan normal. Tidak semua manusia mampu menjadi hebat. Tidak semua manusia mampu menjadi seperti Imam Syafei yang menjaga diri dari maksiat lebih-lebih lagi di zaman kefasadan ini. Setiap diri sememangnya berusaha untuk menjauhi maksiat dengan apa jua cara. Adakah kami suka-suka untuk melupakan ilmu? Hanya Allah tahu betapa payahnya saya merangkak dalam perjalanan menuntut ilmu dalam bidang perubatan ini.
Saya pernah rasa tertekan belajar dalam bidang perubatan sehinggakan saya menginginkan kematian. Saya rasakan saat itu, saya dah puas hidup. Saya pernah luahkan rasa hati ini pada mak. Dia tanyakan kembali pada saya, ”Dah cukup amal ke?”. Saya katakan padanya, kalau esok lusa pun Allah cabut nyawa saya, pastinya amal saya tidak pernah cukup. Saya rasakan saat tu, dunia ini tiada lagi di hati saya. Saya bencikan dunia ni. Dan sebenarnya pengalaman mati hidup semula yang pernah saya lalui adalah teguran Allah buat saya atas keceluparan saya. Selepas beberapa hari melalui pembedahan dahulu, tube pada perut saya ditarik keluar tanpa bius. Sakitnya tidak mungkin saya lupa. Terlalu sakit. Tapi saat tu, saya tidak berani lagi nak cakap yang saya inginkan kematian. Saya tahu mati pun sesuatu yang perit dan menakutkan. Meskipun saya rasa tertekan dengan dugaan hidup, saya tidak mahu berputus asa lagi. Saya akan berusaha sehingga nyawa saya kembali mengadapNya.
Walaupun perit untuk saya menghadam kata-kata pensyarah saya, saya perlu melakukan muhasabah. Mungkin saya perlu melihatnya dari aspek yang lebih positif.
Saya petik serangkap kata dari sebuah buku yang saya baca - Engkau tidak akan menangis dengan kehidupan ini. Engkau akan memikul segala keperitan dengan senyuman. Segalanya akan menjadi emas dan permata di akhirat.
2 comments:
afeera, janganlah terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi pada diri sendiri sampai berperasaan mcm ney, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik buat afeera...afeera pasti igt, Allah takkan membebankan seseorang itu melainkan dengan kemampuan dia..yakinlah afeera..setiap manusia ade cabaran dia..cabaran afeera sebegini...tabah yer afeera..stay positive..
terima kasih anonymous...boleh saya tahu siapa awak?
Post a Comment