Thursday, June 12, 2008

Kegagalan...

Tulisan ini saya dedikasikan buat sahabat-sahabat yang mungkin berdepan dengan kegagalan. Saya juga pernah merasainya. Dan mungkin tulisan ini sebagai persediaan andai saya juga perlu meniti kegagalan sekali lagi dalam peperiksaan yang menjelma. Allah penentu segalanya. Bahagia dan derita, kedua-duanya adalah ujian. Moga tulisan ini ada khairnya.

----------------------------

Dia duduk termenung. Mungkin sahaja sedang berfikir. Program ceramah tempoh hari bermain di mata. Ustaz bertanyakan pelajar yang ada akan perasaan dan pengalaman mereka selama berada di dalam usrah. Dia mengingati bait kata-kata seorang pelajar lelaki. Kata-kata pelajar itu begitu meruntun hatinya. Mungkin kerana dia juga mengalami nasib yang sama.

Pelajar lelaki itu berkongsi cerita. Dia dulunya adalah pelajar genius. Tidak perlu langsung mengulangkaji pelajaran, tapi keputusannya pasti cemerlang. Suatu hari Allah membuka hatinya untuk merasai nikmat berusrah. Dia memanjatkan rasa syukur kerana Allah memilihnya dan dia berjanji untuk terus merasai kemanisan usrah dan berkongsi nikmat ini dengan manusia lain sehingga akhir hayatnya.

Namun Allah menguji pelajar lelaki itu. Keputusan peperiksaannya kian merudum. Syukur dia masih punya kekuatan untuk bertanya naqibnya akan hal dirinya. Kata naqibnya, itu adalah ujian dan ujian itu pasti akan hilang ditelan zaman.

Betapa kuatnya pelajar itu untuk bertanyakan pada naqibnya akan hal itu. Tapi tidak dirinya. Dia sudah puas menelan kata-kata manusia. FITNAH, kalimah itu sudah didengarinya berkali-kali. Kata manusia lain, dia menjadi FITNAH pada perjuangan dakwah. Kata manusia lain lagi, dia pergi berusrah tapi keputusan peperiksaan teruk. Ingin sekali dirinya mengetahui siapakah dia pelopor yang memperketengahkan idea kononnya keputusan peperiksaan yang teruk menjadi FITNAH pada sebuah perjuangan. Betapa jauhnya manusia dari memahami bahawa segala yang berlaku ditentukan Allah.

Dia faham bahawa sunnatullah untuk berjaya terletak pada usaha. Bukan dia tidak tahu semua itu. Dia juga dulunya adalah pelajar yang cemerlang. Cuma saat ini dia melalui hakikat UJIAN dariNya. Tidak fahamkah manusia lain akan hakikat itu? Dia pernah hidup dalam kemaksiatan selama 24 jam sehari dan saat itu Allah tidak mengujinya. Dan kini Allah mengujinya kerana kasihnya Allah pada dirinya. Bukankah ujian itu tanda kasihNya? Sayang sekali kerana manusia melihat kegagalan sahaja sebagai ujian. Manusia tidak pernah sedar bahagia yang dilalui mereka juga adalah ujian.

Dia masih mengingati kata-kata seorang akak mengenai secebis ilmu tasawuf. Andai diri melalui ujian, tidak boleh sesekali bertanya pada Allah – mengapa hal itu berlaku, mengapa dirinya yang dipilih, mengapa seberat ini ujian yang diberikan dan tidak boleh juga bertanya sampai bila ujian itu akan berlaku? Dia juga tidak ingin bertanya pada Allah berkenaan hal itu kerana dia tahu Allah mentakdirkan yang terbaik buat dirinya.

Dia mampu menerima segalanya yang ditakdirkan dengan redha. Cuma dia tidak ingin keputusan peperiksaan itu dipaparkan dan dijaja oleh insan lain sehingga akhirnya meruntun dan melemahkan hatinya sendiri. Mengapa tiada privasi di situ? Dipujuk hati, mahukah diri pada sesuatu yang hanya baik di mata manusia tapi bukan di mata Allah? Mahukah? Adakah dia hidup kerana manusia dan bukannya Allah? Adakah dirinya ragu bahawa apa yang ditakdirkan Allah padanya adalah yang terbaik meskipun ia terlalu buruk di mata manusia? Tidak Ya Allah, cuma diri ini hanya manusia yang terlalu lemah imannya. Belum mampu menelan ujian yang parah ini.

Sungguh dia tidak kisah andai keputusan itu hanya berkait dengan dirinya. Tapi sayang sekali manusia lain mengaitkannya dengan usrah dan dakwah itu sendiri. Hatinya menangis pilu memikirkan semua itu.

Dipujuk hati bahawa jalan dakwah ini akan melalui proses penapisan. Diri pasti teruji. Episod peperiksaan hanya satu sahaja dalam kehidupan seorang insan. Ujian lain sedang menanti. Ujian perkahwinan, ujian anak, ujian sakit dan segala macam rencam pastinya ditakdirkan olehNya mengikut kemampuan setiap insan. Diajukan pada diri, adakah kerana ujian yang sekecil ini dia sudah ingin ditapis? Adakah kerana ujian ini dia mahu gugur dari jalan yang benar ini? Tidak sesekali Ya Allah.

Dia teringat juga kata-kata sahabatnya. Betapa Allah ingin membersihkan gejolak hati dari sifat riya’ dan ujub sebenarnya setiap kali dia mendatangkan ujian pada manusia. Moga apabila satu masa nanti apabila dia tiba di puncak kejayaan, sungguh hatinya bersih dari ujub dan riya’ yang selalunya memakan manusia. Allah benar-benar mahu mensucikan hatinya dengan memberikan ujian ini sebenarnya.

Allah ingin mengajarnya akan hakikat kegagalan. Allah ingin dia merasai pahitnya kegagalan yang dirasai oleh kebanyakan manusia juga. Allah ingin dia melihat ke bawah. Allah ingin sekali dia memahami manusia lain. Allah ingin mengajarnya bahawa kehidupan dunia bukan hanya bahagia semata, pasti ada derita untuk menjadikannya insan yang lebih baik. Dan kini dia belajar melihat dunia dari sudut positif dan negatif, dari sudut bahagia dan juga derita.

Titisan pilu menitis lagi. Bukan masin yang dirasa tapi kepedihan yang sukar diceritakan pada manusia lain. Ujian ini untuk menambahkan lagi rasa taqarrub padaNya. Mungkin dia perlu bermuhasabah. Dia telah berdoa tetapi doanya terhalang oleh dosa-dosanya. Allah mahu dirinya datang mengadu padaNya. Betapa Allah ingin mendengar suaranya. Betapa Allah ingin menyedarkannya bahawa Dia sungguh berkuasa dan dirinya sebagai hamba sungguh lemah. Allah mampu mengubah segalanya dalam sekelip mata atau lebih cepat dari itu, sedangkan dirinya hanya insan kerdil yang berkelana di bumi RabbNya. Dosa menghalang doanya dari terkabul tapi sungguh dia masih ingin mengadu memohon ampun padaNya. Dia tahu ujian ini untuk menggugurkan dosa-dosanya yang banyak itu. Bukankah Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani?

Dia tahu Allah bersamanya dalam tiap langkah. Dia tidak ingin Allah membiarkannya dalam setiap saat yang dilaluinya. Dia ingin Allah bersamanya meskipun manusia lain meninggalkannya. Moga ujian yang dilaluinya menambahkan lagi rasa keakraban padaNya. Dia ingin sekali memohon ampun pada manusia lain akan dosanya pada mereka. Ampunkan dirinya..dan dia memohon agar Allah mentakdirkan yang terbaik buat dirinya dalam melayari kehidupan ini, meski kebaikan yang ditakdirkanNya adalah buruk di mata manusia...

4 comments:

~:: AiNi ::~ said...

Pesan pada DIRI..Tabahkan hati, kuatkan semangat. Pesan pada HATI..Kukuhkan IMAN, banyakkan ZIKRULLAH. Pesan pada NALURI..Jangan mengeluh dan kecewa, tiada DAYA dan REZEKI melainkan daripada ALLAH ='}

Ummu Afeera said...

terima kasih kak...sejujurnya hati saya tidak senang dengan short semester..saya cuba pujuk hati kak...doakan saya kuat...

sAzUwI said...

salam...terima kasih utk artikel nie..hadir di kala memerlukan.terima kasih..

Ummu Afeera said...

waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh

hmm..segala yang baik datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan diri saya sendiri...

moga tabah...