Monday, November 26, 2007

Perkongsian..






Alhamdulillah, kita bertemu lagi di medan maya ini. Kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana menemukan kita untuk bersama mempelajari sedikit sebanyak ilmu.

Dalam beberapa kesempatan yang ada, ingin sekali rasanya berkongsi sesuatu mengenai sejarah. Pasti ramai yang akan menganggap sejarah begitu membosankan. Saya juga pernah begitu. Mempelajari sejarah dari kaca mata akal semata-mata sememangnya sesuatu yang paling membosankan dan memeningkan kepala.

Namun mungkin kita perlu mengubah persepsi kita dalam menghadapi sejarah. Kita perlu melihat sejarah dengan mata HATI. Ayuh..

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:

“Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…”

Sejarah pastinya menjadi iktibar dan pengajaran yang paling berguna buat kita. Merawat luka hati yang kadangkala diuji. Mengingatkan kita bahawa umat terdahulu pernah melalui ujian yang lebih hebat berbanding kita.

Allah s.w.t. berfirman:

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

Surah Hud 11: 120

Adalah perlu bagi kita memahami dan menyoroti sejarah agar kita memahami tanggungjawab kita dan yang paling utama kita mengikut waqi’ (keadaan) di zaman kita.

Insya Allah, kita akan menyoroti sejarah sebuah ummah yang pernah menguasai dunia. Catatan sejarah sebuah ummah yang pernah dicontohi oleh dunia ketika itu pastinya. Pernah membawa kedamaian ke dalam hati ummah manusia tika itu. Kita akan cuba menilai sejarah dan memahami sunnah Allah dalam mengatur perjalanan sebuah ummah. Dan insya Allah, kita dapat membongkar rahsia kegemilangan ummah tersebut. Juga, kita akan meneliti titik-titik kelemahan yang melemahkan kekuatan sebuah tamadun. Jatuh bangun sebuah sejarah. Sejarah ini pastinya milik saya, ummah dan juga anda.

No comments: