Tuesday, May 01, 2007

Doktor...


Saya baru menyudahkan bacaan saya di laman web Saiful Islam. Sesiapa yang berminat, boleh membacanya di sini. Tajuknya – Kenapa mahu menjadi doktor?

Sebenarnya saya sudah lama menyimpan idea untuk menulis mengenai kerjaya yang kini saya ceburi ini. Sememangnya saya terkesan untuk menulis tajuk ini setelah melihat kebanjiran topik mengenai kursus kritikal ini di Portal Ukhwah. Tajuk-tajuk seperti doktor vs jurutera, kahwin doktor sememangnya menjadi medan hangat di portal tersebut. Saya juga teringin untuk memberi respons setelah membaca tulisan ini. Tapi barangkali saya masih belum beroleh taufiq untuk menulis berkenaan tajuk tersebut.

Sebelum tu, awak tahu makna taufiq dan hidayah? Hidayah ni petunjuk dari Allah. Taufiq pula adalah kekuatan untuk melakukannya. Dalam hidup ni, banyak sekali hidayah yang saya perolehi, cuma belum bertemu kekuatan untuk mengamalkannya. Jadi, nasihat saya buat awak dan diri saya sendiri, berdoalah mohon hidayah dan taufiq juga.

Apa-apa pun, saya cerita serba sedikit tentang tempat pengajian saya terlebih dahulu. Kolej tempat saya belajar ini diasaskan oleh doktor-doktor yang mempunyai fikrah Islam dalam usaha mereka untuk menghasilkan lebih ramai lagi doktor-doktor Islam. Di IPTA, majoriti pelajar perubatan, misalnya di UM adalah pelajar bukan bumiputera. Tapi kolej saya ini majoriti pelajarnya adalah pelajar Islam. Saya beroleh hidayah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan setelah saya menghadiri satu pengisian yang diberikan oleh salah seorang pensyarah saya di sini iaitu Prof Dr Latiff sewaktu saya di matrikulasi dahulu. Idea dalam tulisan ini majoritinya adalah dari beliau. Moga Allah memberinya kekuatan untuk terus menyumbang buat Islam.

Saya pernah mengimpikan kerjaya ini sewaktu saya di sekolah rendah lagi. Tapi impian tersebut kian terkubur setelah melihat kezaliman sistem yang ada. Saya berjaya memperolehi 5A dalam UPSR, tapi saya gagal memperolehi mana-mana tawaran ke sekolah berasrama penuh. Kejadian yang sama berulang walaupun saya mendapat 9A dalam PMR. Saya gagal mendapat apa-apa tawaran. Saya memperolehi 8A 4B dalam SPM. Saya mengambil subjek Bahasa Arab Tinggi meskipun saya bersekolah di sekolah harian biasa bagi membolehkan saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Timur Tengah. Sekali lagi saya gagal. Saya kira Allah tidak mentakdirkan saya untuk memilih bidang ini. Pasti ada yang lebih baik menanti saya.

Saya bukan seorang yang berani. Saya takutkan darah sebenarnya dahulu. Saya takutkan jarum suntikan juga. Di matrikulasi, saya banyak berdialog dengan diri sendiri -layakkah saya menjadi seorang doktor? Sewaktu bereksperimen dengan tikus, saya katakan dengan diri saya sendiri, “sekiranya saya berjaya membedah tikus ini, saya boleh menjadi seorang doktor”. Ya, saya berjaya melakukan eksperimen tersebut. Begitu juga sewaktu eksperimen penentuan jenis darah. Bermacam-macam ayat AlQuran yang saya baca sewaktu hendak mencucuk jari saya pertama kali untuk mengambil darah. Eksperimen tersebut akan saya ingati sampai bila-bila. Sebenarnya hanya perlu cucuk sekali dengan perlahan, dan kemudian picit sahaja jari tersebut. Tapi saya mencucuknya banyak kali memandangkan darah tidak keluar. Saya terlupa untuk memicitnya. Dan apabila saya memicitnya, banyak sekali darah yang keluar. Saya masih ingat lagi kata-kata kawan lelaki saya bila melihat darah yang keluar terlalu banyak - Kau cucuk ke toreh? Semua ini takkan saya lupakan. Alhamdulillah, pointer saya melepasi 3.00 sekaligus melayakkan saya untuk memilih bidang ini meskipun bukan di IPTA.

Pertama kali saya memahami mengenai persoalan Palestin sewaktu saya di matrikulasi. Video Palestin: Bumi yang Dijanjikan menjadi titik mula dalam hidup saya, mengapa saya perlu menjadi doktor. Tapi saya masih dalam persimpangan. Belum lagi nekad. Proff Latiff yang menyedarkan saya mengenai bidang ini sebenarnya.

Pengisiannya benar-benar menyentuh atma saya. Saya ceritakan semula. Saya mohon maaf di atas sebarang kekurangan.

Pastinya kita tahu mengenai kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga dan Allah berterima kasih padanya kerana memberi minum seekor anjing. Ganjaran yang begitu besar kerana ehsan kepada haiwan. Tapi doktor merawat manusia. Pastinya ganjaran yang menanti lebih besar. Setiap kali seorang doktor bertemu pesakit, dia akan mendapat peluang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga buatnya dan Allah berterima kasih padanya. Pahala yang berlipat ganda menanti seorang doktor yang bekerja ikhlas kerana Allah.

Saya terkesan setelah saya mengetahui kerjaya ini diiktiraf oleh Allah di dalam Al Quran – “..Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..” (AlMaidah :32) Pekerjaan ini sememangnya menjanjikan pahala yang lumayan.

Hikmah adalah harta terpendam bagi orang Mukmin. Sesiapan yang menemukannya, ia berhak memilikinya. Semua ilmu di dunia ini adalah milik Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajarinya. Kejayaan saintis-saintis Islam terdahulu seperti Ibn An Nafis yang menemui saluran hidup manusia perlu menjadi azimat untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.

Perlukah Islam kepada doktor-doktor muslimat? Jawapan yang paling tepat adalah PERLU. Hari ini kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat.


Namun kesedaran betapa perlunya Islam kepada doktor-doktor muslimat ini agak kurang di kalangan remaja muslimat di luar sana. Betapa ramai remaja muslimat di luar sana yang begitu takutkan pekerjaan ini. Berbagai-bagai perkara difikirkan oleh mereka. Soal rumahtangga, kesibukan, dan macam-macam lagi alasan direka untuk tidak melibatkan diri dalam bidang ini.

Saya sendiri misalnya disarankan oleh oleh seorang makcik yang begitu aktif dalam dunia dakwah agar tidak memilih bidang ini. Betapa hari ini kesedaran mengenai dunia perubatan masih jauh dari kita.

Sesungguhnya penyakit tidak mengenal lelaki atau perempuan. Oleh itu adalah perlu untuk sebahagian muslimat menceburi bidang perubatan untuk menyelesaikan masalah pengubatan pesakit-pesakit wanita. Ini merupakan satu tuntutan fardhu kifayah. Ada yang mengatakannya fardhu kifayah. Dan ada yang mengatakannya fardhu ain, kerana kritikalnya bilangan pakar sakit puan. Allahu A’lam. Malah muslimat-muslimat diizinkan juga oleh syariat untuk mengubati pesakit-pesakit lelaki di waktu darurat dan jika proses pengubatan ini memerlukan seseorang muslimat itu keluar dari rumahnya, diharuskan juga, tanpa melanggar batas-batas syariat yang telah ditetapkan dari segi pakaian, pergaulan dan lain-lainnya.

Sejarah-sejarah telah menunjukkan tentang kewujudan khemah-khemah pengubatan yang diuruskan oleh muslimat-muslimat di zaman nabi di waktu peperangan. Ianya merupakan 'hospital peperangan' yang wujud di kalangan orang-orang Islam. Di antara muslimat-muslimat yang menguruskan 'hospital peperangan' di zaman Rasulullah ialah Rubayyi' binti Muawwiz, Umaimah binti Qais, Ummu Athiyah, Ummu Sulaim, Ummu Nusaibah dan ramai lagi. Mereka ini diizinkan keluar dari rumah-rumah mereka semata-mata untuk berperanan di bidang perubatan seperti yang telah disebutkan.

Begitulah para muslimat di zaman Rasulullah, di samping dilengkapi dengan ilmu-ilmu tentang AlQuran dan Assunnah, mereka juga dilengkapi dengan ilmu perubatan.

Didalam kitab AlAsabah telah berkata Hisham Ibn Urwah dari bapanya: "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih berilmu tentang ilmu fiqh, ilmu perubatan dan ilmu syair daripada Aisyah".

Wahai muslimat-muslimat sekalian, masih adakah yang membelenggu kita dari bergelar doktor? Andai kesibukan yang kita fikirkan, ingatlah bahawa dunia ini begitu sementara. Dunia ini tempat untuk kita mencari kesibukan yang mempunyai nilai di sisi Allah. Kesibukan yang bakal meguntungkan kita di alam akhirat kelak.

Kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat di sekeling kita. Cuba pula kita fikirkan nasib muslimat kita yang ditindas di serata dunia seperti di Ambon misalnya. Mereka hanya menemukan syaitan-syaitan durjana di hospital-hospital yang membelah tubuh mereka dengan menggunakan bayonet. Seterusnya mengeluarkan bayi mereka dan diganti dengan kucing-kucing yang telah dibius dan dijahit kembali belahan tersebut. Dapat kalian fikirkan apa yang bakal terjadi di saat kucing-kucing tersebut sedar. Ya, seluruh organ dalaman ibu tadi akan dicarik. Jadilah doktor ye untuk mengembalikan izzah Islam.
Sedikit fakta mengenai kerjaya ini:

1) Doktor adalah manusia yang paling dipercayai. Anda boleh membacanya di sini.

2) Dalam sesetengah keadaan, doktor lebih berkuasa dari juruterbang. Misalnya, seorang penumpang terkena serangan penyakit jantung di dalam kapal terbang. Manusia pertama yang akan dicari adalah doktor. Juruterbang akan bertanya kepada doktor tersebut, sekiranya mahu mendarat di mana-mana kawasan yang terdekat. Segalanya terletak di tangan doktor waktu itu. Doktor boleh mengarahkan apa-apa sahaja kepada juruterbang:)

3) Sekiranya ada jurutera yang berbangga dengan bangunan KLCC, katakan padanya bahawa idea penubuhan bangunan itu adalah dari seorang doktor juga – Dr Mahathir:)

4) Sekiranya anda minat melukis, anda boleh menjadi doktor juga. Kisah Dr Netter di sini boleh menjadi contoh.


5) Minat formula 1 atau EPL? Boleh jadi doktor juga. Jadi pakar orhopedic yang berjaya dan sertai team kesihatan formula 1 atau EPL.

6) Suka jumpa orang tua je – buat pengkhususan dalam geriatrics.


7) Suka jumpa kanak –kanak je – buat pengkhususan dalam pediatric.

8) Nak jumpa orang perempuan je –jadilah pakar sakit puan.

9) Nak jumpa orang lelaki je – jadilah pakar sakit tuan.

10) Pendiam sangat – buat pengkhususan dalam anesthesiology. Tidak perlu cakap banyak pun, beri sahaja pesakit ubat bius.


11) Suka bertukang – jadilah orthopedic.

12) Suka masak-masak, main potong-potong – jadilah pakar bedah.

13) Anda boleh menjadi doktor sekiranya anda suka berdakwah. Kerjaya ni akan menemukan anda dengan macam-macam pesakit seperti mat rempit, penagih dadah dan lain-lain.

14) Sekiranya anda suka menyertai misi kemanusiaan, anda boleh memilih untuk menjadi doktor. Doktor dibenarkan masuk hatta ke kawasan sempadan sebelum pemberita atau pun wartawan.

15) Sekiranya anda suka berlakon, anda juga boleh menjadi doktor. Anatomist dalam cerita KL menjerit adalah pensyarah saya.


16) Sekiranya anda suka membebel atau mengajar orang lain, jadilah doktor. Anda boleh menjadi pensyarah setelah bergelar doktor.

17) Anda boleh menjadi pembunuh juga dengan menjadi doktor.

Macam-macam perkara yang boleh anda lakukan setelah bergelar doktor. Terpulang kepada anda untuk memilihnya. Apapun, semua pekerjaan adalah mulia selagi mana diniatkan kerana Allah dan mengikuti batas-batas yang ditetapkan oleh syarak.

2 comments:

zf_zamir said...

jalur-jalur kehidupan ini, benar sudah dilukis-pelankan oleh Allah swt..

walau apa cara sekalipun, mesti ada fungsinya..

Ummu Afeera said...

yup...setiap dari kita berperanan...