Thursday, May 24, 2007

Harapan...

Husna, sahabat saya di Indonesia bercerita tentang kisah lilin. Ada empat lilin iaitu lilin kebangkitan umat, lilin kedamaian, lilin cinta dan lilin harapan.

Lilin kebangkitan umat telah padam kerana ukhwah aktivis dakwah begitu rapuh, sikap egois dan tidak ikhlas.

Lilin cinta juga telah padam kerana cinta tidak lagi murni dan telah menjadi nafsu.

Lilin ketiga iaitu lilin kedamaian juga telah padam disebabkan sikap manusia yang melakukan pembunuhan, pembantaian dan pengusiran sesama manusia.

Tinggal lilin harapan sahaja yang tidak terpadam lagi. Dan dengan lilin harapan inilah kita berharap agar dapat menghidupkan tiga lilin yang telah terpadam tadi selagi di sana masih ada kesabaran dan kesyukuran.

Saya masih meletak harapan untuk final GIT esok. Saya tidak menduduki continous assessment minggu lepas kerana masalah kesihatan. Empat hari MC. Harapan saya masih berbaki…

Thursday, May 17, 2007

Entahlah...

Hari ini saya tidak ke kelas. Penyakit yang saya alami tidak mengizinkan saya untuk terus bermujahadah menuntut ilmu hari ini. Esok ada continous assessment kedua. Banyak yang perlu saya ulangkaji. Cuma serasanya saya tidak berdaya sekali.

Saya dah lakukan yang terbaik untuk semua subjek sebelum ini. Saya lulus untuk kesemua subjek sewaktu di semester 1. Tapi saya bimbang dengan subjek yang sedang saya ambil kini. Saya bimbang memikirkan kegagalan. Saya tidak mahu mengambil short semester bagi mana-mana subjek. Doakan saya ye.

"Musuh Allah dapat mencampakkan kita di mana sahaja, namun mereka tak mampu untuk campakkan kita ke tempat yang tiada Allah Taala”.- Mustafa Masyhur"

Ayat ni menyentuh hati saya dengan sebenar-benarnya semalam. Saya dapat dari email yahoogroups. Ayat ini seakan-akan memahami apa yang saya lalui.

Monday, May 14, 2007

Takabur...

Kita lupakan sebentar kisah peribadi. Kita tadabbur ayat Al Quran sebentar. Merenungi makna hakikat ciptaan kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Sebelum tu, dah baca Al Quran hari ni? Bacalah. Seronok berkomunikasi dengan Al Quran. Kalau tak faham bahasa Arab, gunakan Quran tafsir. Kalau ada masalah, minta petunjuk dari Allah dan selak mana-mana muka surat Al Quran. Pasti kita akan menemukan petunjuk dari kitab agung tersebut.

Hari ni kita belajar berkenaan surah Al Kahfi ye. Bermula dari ayat 32- 46. Saya baru belajar berkenaan ayat ini sebentar tadi. Di bawah ni, saya sertakan terjemahan maknanya. Tapi tak seronok kalau awak baca maknanya sahaja. Kena baca ayatnya sekali. Buka Al Quran ye. Seronok lagi kalau kita faham bahasa Arab. Berusahalah untuk belajar bahasa Arab. Ianya adalah salah satu syiar Islam.

Dalam kehidupan ini, ada kalanya kita akan melalui satu keadaan di mana kita kurang tidur, kurang makan dan lainnya. Tapi percayalah, santapan rohani akan memberi motivasi buat kita untuk terus hidup.

[32] Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

[33] Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

Ayat ini menceritakan kisah dua orang pemilik kebun. Kebun yang begitu subur.

[34] Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai.

Salah seorang daripada pekebun tersebut begitu bongkak. Dia berbangga kerana mempunyai harta yang banyak, pengaruh dan pengikut.

[35] Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

[36] Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Dia begitu takabur dan merasakan dia lebih baik berbanding sahabatnya.

[37] berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

[38] Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

[39] Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandang aku sangat kurang tentang harta dan anak berbanding denganmu.

[40] Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.

[41] Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi.

Ayat ini maknanya begitu mendalam. Seorang sahabat memberi teguran dengan hikmah buat sahabatnya yang lain. Dia tak cakap pun, “Eh bodoh, kenapa kau cakap cam gini? Ko tak sedar ke ni semua milik Allah?”

Camane dia cakap? Camane dia approach sahabat dia? Dia ajak sahabat dia merenung kembali hakikat ciptaan manusia itu sendiri. Kita dicipta dari air benih yang hina. Begitu hina. Kalau ada kat tanah, ayam pun tak sudi nak patuk. Kalau kita sendiri melihatnya, kita tak lalu nak makan. Hinanya manusia itu. Tapi Allah mencipta kita dan menjadikan kita sebagai manusia. Sebagai khalifah di muka bumi Allah untuk berubudiah kepadaNya.

Ayat ni mengajak kita merenung hakikat makna persahabatan. Cuba bayangkan kalau kita di tempat sahabat tu. Realiti dunia yang ada menunjukkan kalau ada manusia yang popular, ada harta, pengaruh dan pengikut , maka secara tak langsung manusia lain akan mula mengipasnya. Kalau dalam konteks ayat tersebut, barangkali kita akan mengatakan, “Betullah, kebun ko cantik, luas. Ko ni memang kayalah. Hebat betul ko ni”. Dan di penghujungnya, barangkali kita akan meminta kebenaran untuk berkelah bersama keluarga di kebun tersebut.

Tapi dalam ayat ini, tidak berlaku begitu. Allah tunjukkan kita jenis sahabat yang baik. Siapa yang tak suka dikipas? Tapi sebaik-baik sahabat adalah sahabat yang berkata benar mengenai sahabatnya. Memang pedih bila ditegur. Kadang rasa tak boleh tidur bila kena tegur. Rasa nak melenting pun ada. Macam kes blog ni. Memang peritlah kan bila sahabat saya tegur. Tapi bila difikirkan semula, ada baiknya teguran tersebut, Itu juga yang saya harapkan dari pembaca blog ini. Kalau ada sebarang kesalahan, tegurlah saya. Jangan biarkan saya di alam fantasi dan terus-terusan melakukan kesilapan.

Assyahid Imam Hassan AlBanna mengatakan. Taaruf itu bilamana kita memberikan nasihat atau teguran buat sahabat kita, dan sahabat kita tidak terasa langsung. Mendalam kan makna taaruf ni? Kita ingatkan taaruf itu adalah berkenalan, mengetahui tarikh lahir sahabat kita dan lainnya, tapi makna taaruf itu mempunyai skop yang begitu luas.

(Kadangkala kita melaungkan kalimah ukhwah, tapi belum ada kesediaan dalam hati kita untuk berterus terang. Kita psiko sahabat kita begitu lama dan membiarkan dia begitu sahaja. Ala kulli hal, hayatilah makna ukhwah àitu. Ukhwah kita masih rapuh dan terlalu rapuh pada pandangan saya. ) Kalau tak faham, abaikan sahaja.

Berkenaan cara teguran tu, ianya adalah salah satu dari parenting skill juga. Ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang mampu membuatkan anak mereka patuh tanpa sedikit pun terasa melalui teguran yang diberikan.

[42] Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!

[43] Dan dia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah dan dia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.

[44] Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dialah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

[45] Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[46] Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Kisah ini mudah untuk dihadam tapi pengajarannya sangat berguna. Kisah ini ringkas, tapi Allah menyebut perbualan dua lelaki ini dengan begitu detail, begitu mendalam. Banyak persoalan yang ditimbulkan dari ayat-ayat ini. Adakah salah mempunyai harta yang banyak? Apa maknanya zuhud? Dan bermacam-macam lagi pengajaran yang berguna.

Di akhir ayat ini, Allah bercerita mengenai dunia. Dunia ini tiada maknanya. Dalam sebuah ungkapan ada mengatakan, “Sekiranya dunia ini mempunyai nilai di sisi Allah, Allah tidak akan benarkan orang kafir untuk minum walau setitik air yang ada di dunia ini”. Faham tak makna ungkapan ni? Bahasa mudahnya, awak dapat melihat orang kafir minum dan hidup senang lenang di dunia ini, bukan? Maknanya yang tersirat, dunia ini memang tiada nilainya di sisi Allah.Kalau kita kaya pun, tak memberi apa-apa makna buat Allah.

Seorang sahabat pernah menanyakan Rasulullah, boleh ke seorang kaya menjadi zuhud? Rasulullah menjawab , boleh. Bagaimana? Bila mana orang tersebut tak rasa apa-apa apabila hartanya berkurang atau bertambah.

Dalam konteks ayat ini sendiri, pekerja tersebut membuat perbandingan. Merasakan dia lebih baik berbanding sahabatnya. Dan semua ini adalah salah. Adalah penting untuk kita mengembalikan segala pujian buat Allah SWT sahaja.

Seandainya suatu hari nanti setelah bergelar doktor dan kita mampu merawat pesakit, ingatlah bahawa kita ini hanyalah instrument Allah sahaja. Kesembuhan pesakit itu adalah kuasa Allah semata.

Thursday, May 10, 2007

Mengunyah...

Nota ni adalah nota ringkas tentang proses mengunyah yang berlaku di dalam mulut.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Surah Arrahman:16)

Stimulus: food in the mouth (taste, texture, temperature)

Receptor: mechanoreceptor (touch, pressure) is oral mucosa and periodontum and stretch and other receptors in the masticatory muscles.

Afferent pathway: lingual nerve, trigeminal nerve

Integration centre: chewing centre (brain stem)

Efferent pathway: trigeminal nerve (cranial nerve V)

Effector: masseter and temporalis (powerfully bring the lower jaw up against the upper jaw) and the pterigoids (open the jaw, keep them aligned, and moves them sideways and backwards and forwards for grinding)

Makin lama saya terasa kekerdilan saya. Mengunyah adalah benda mudah paling dilakukan. Suatu yang dirasakan biasa adalah suatu nikmat yang besar sebenarnya. Terlalu banyak yang terjadi dalam badan kita untuk membolehkan kita mengunyah sahaja. Tak dapat nak bayangkan kalau satu saraf sahaja tidak berfungsi.

Masih banyak yang perlu diiktibari. Sungai air mata akan mengalir deras sekiranya asyik mengeluh, tapi bernilai apabila merenung hakikat sebuah penciptaan. Saya sudah memulakan langkah, dan saya tidak akan sesekali mecipta pengakhiran tanpa menyempurnakannya. Semua yang berlaku adalah izinNya. Mengapa ia hadir di saat diri terasa lemah sekali? Barangkali saya alpa dalam tingkah seharian, lantas Dia mahu mengingatkan.

Tuesday, May 01, 2007

Doktor...


Saya baru menyudahkan bacaan saya di laman web Saiful Islam. Sesiapa yang berminat, boleh membacanya di sini. Tajuknya – Kenapa mahu menjadi doktor?

Sebenarnya saya sudah lama menyimpan idea untuk menulis mengenai kerjaya yang kini saya ceburi ini. Sememangnya saya terkesan untuk menulis tajuk ini setelah melihat kebanjiran topik mengenai kursus kritikal ini di Portal Ukhwah. Tajuk-tajuk seperti doktor vs jurutera, kahwin doktor sememangnya menjadi medan hangat di portal tersebut. Saya juga teringin untuk memberi respons setelah membaca tulisan ini. Tapi barangkali saya masih belum beroleh taufiq untuk menulis berkenaan tajuk tersebut.

Sebelum tu, awak tahu makna taufiq dan hidayah? Hidayah ni petunjuk dari Allah. Taufiq pula adalah kekuatan untuk melakukannya. Dalam hidup ni, banyak sekali hidayah yang saya perolehi, cuma belum bertemu kekuatan untuk mengamalkannya. Jadi, nasihat saya buat awak dan diri saya sendiri, berdoalah mohon hidayah dan taufiq juga.

Apa-apa pun, saya cerita serba sedikit tentang tempat pengajian saya terlebih dahulu. Kolej tempat saya belajar ini diasaskan oleh doktor-doktor yang mempunyai fikrah Islam dalam usaha mereka untuk menghasilkan lebih ramai lagi doktor-doktor Islam. Di IPTA, majoriti pelajar perubatan, misalnya di UM adalah pelajar bukan bumiputera. Tapi kolej saya ini majoriti pelajarnya adalah pelajar Islam. Saya beroleh hidayah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan setelah saya menghadiri satu pengisian yang diberikan oleh salah seorang pensyarah saya di sini iaitu Prof Dr Latiff sewaktu saya di matrikulasi dahulu. Idea dalam tulisan ini majoritinya adalah dari beliau. Moga Allah memberinya kekuatan untuk terus menyumbang buat Islam.

Saya pernah mengimpikan kerjaya ini sewaktu saya di sekolah rendah lagi. Tapi impian tersebut kian terkubur setelah melihat kezaliman sistem yang ada. Saya berjaya memperolehi 5A dalam UPSR, tapi saya gagal memperolehi mana-mana tawaran ke sekolah berasrama penuh. Kejadian yang sama berulang walaupun saya mendapat 9A dalam PMR. Saya gagal mendapat apa-apa tawaran. Saya memperolehi 8A 4B dalam SPM. Saya mengambil subjek Bahasa Arab Tinggi meskipun saya bersekolah di sekolah harian biasa bagi membolehkan saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Timur Tengah. Sekali lagi saya gagal. Saya kira Allah tidak mentakdirkan saya untuk memilih bidang ini. Pasti ada yang lebih baik menanti saya.

Saya bukan seorang yang berani. Saya takutkan darah sebenarnya dahulu. Saya takutkan jarum suntikan juga. Di matrikulasi, saya banyak berdialog dengan diri sendiri -layakkah saya menjadi seorang doktor? Sewaktu bereksperimen dengan tikus, saya katakan dengan diri saya sendiri, “sekiranya saya berjaya membedah tikus ini, saya boleh menjadi seorang doktor”. Ya, saya berjaya melakukan eksperimen tersebut. Begitu juga sewaktu eksperimen penentuan jenis darah. Bermacam-macam ayat AlQuran yang saya baca sewaktu hendak mencucuk jari saya pertama kali untuk mengambil darah. Eksperimen tersebut akan saya ingati sampai bila-bila. Sebenarnya hanya perlu cucuk sekali dengan perlahan, dan kemudian picit sahaja jari tersebut. Tapi saya mencucuknya banyak kali memandangkan darah tidak keluar. Saya terlupa untuk memicitnya. Dan apabila saya memicitnya, banyak sekali darah yang keluar. Saya masih ingat lagi kata-kata kawan lelaki saya bila melihat darah yang keluar terlalu banyak - Kau cucuk ke toreh? Semua ini takkan saya lupakan. Alhamdulillah, pointer saya melepasi 3.00 sekaligus melayakkan saya untuk memilih bidang ini meskipun bukan di IPTA.

Pertama kali saya memahami mengenai persoalan Palestin sewaktu saya di matrikulasi. Video Palestin: Bumi yang Dijanjikan menjadi titik mula dalam hidup saya, mengapa saya perlu menjadi doktor. Tapi saya masih dalam persimpangan. Belum lagi nekad. Proff Latiff yang menyedarkan saya mengenai bidang ini sebenarnya.

Pengisiannya benar-benar menyentuh atma saya. Saya ceritakan semula. Saya mohon maaf di atas sebarang kekurangan.

Pastinya kita tahu mengenai kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga dan Allah berterima kasih padanya kerana memberi minum seekor anjing. Ganjaran yang begitu besar kerana ehsan kepada haiwan. Tapi doktor merawat manusia. Pastinya ganjaran yang menanti lebih besar. Setiap kali seorang doktor bertemu pesakit, dia akan mendapat peluang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga buatnya dan Allah berterima kasih padanya. Pahala yang berlipat ganda menanti seorang doktor yang bekerja ikhlas kerana Allah.

Saya terkesan setelah saya mengetahui kerjaya ini diiktiraf oleh Allah di dalam Al Quran – “..Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..” (AlMaidah :32) Pekerjaan ini sememangnya menjanjikan pahala yang lumayan.

Hikmah adalah harta terpendam bagi orang Mukmin. Sesiapan yang menemukannya, ia berhak memilikinya. Semua ilmu di dunia ini adalah milik Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajarinya. Kejayaan saintis-saintis Islam terdahulu seperti Ibn An Nafis yang menemui saluran hidup manusia perlu menjadi azimat untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.

Perlukah Islam kepada doktor-doktor muslimat? Jawapan yang paling tepat adalah PERLU. Hari ini kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat.


Namun kesedaran betapa perlunya Islam kepada doktor-doktor muslimat ini agak kurang di kalangan remaja muslimat di luar sana. Betapa ramai remaja muslimat di luar sana yang begitu takutkan pekerjaan ini. Berbagai-bagai perkara difikirkan oleh mereka. Soal rumahtangga, kesibukan, dan macam-macam lagi alasan direka untuk tidak melibatkan diri dalam bidang ini.

Saya sendiri misalnya disarankan oleh oleh seorang makcik yang begitu aktif dalam dunia dakwah agar tidak memilih bidang ini. Betapa hari ini kesedaran mengenai dunia perubatan masih jauh dari kita.

Sesungguhnya penyakit tidak mengenal lelaki atau perempuan. Oleh itu adalah perlu untuk sebahagian muslimat menceburi bidang perubatan untuk menyelesaikan masalah pengubatan pesakit-pesakit wanita. Ini merupakan satu tuntutan fardhu kifayah. Ada yang mengatakannya fardhu kifayah. Dan ada yang mengatakannya fardhu ain, kerana kritikalnya bilangan pakar sakit puan. Allahu A’lam. Malah muslimat-muslimat diizinkan juga oleh syariat untuk mengubati pesakit-pesakit lelaki di waktu darurat dan jika proses pengubatan ini memerlukan seseorang muslimat itu keluar dari rumahnya, diharuskan juga, tanpa melanggar batas-batas syariat yang telah ditetapkan dari segi pakaian, pergaulan dan lain-lainnya.

Sejarah-sejarah telah menunjukkan tentang kewujudan khemah-khemah pengubatan yang diuruskan oleh muslimat-muslimat di zaman nabi di waktu peperangan. Ianya merupakan 'hospital peperangan' yang wujud di kalangan orang-orang Islam. Di antara muslimat-muslimat yang menguruskan 'hospital peperangan' di zaman Rasulullah ialah Rubayyi' binti Muawwiz, Umaimah binti Qais, Ummu Athiyah, Ummu Sulaim, Ummu Nusaibah dan ramai lagi. Mereka ini diizinkan keluar dari rumah-rumah mereka semata-mata untuk berperanan di bidang perubatan seperti yang telah disebutkan.

Begitulah para muslimat di zaman Rasulullah, di samping dilengkapi dengan ilmu-ilmu tentang AlQuran dan Assunnah, mereka juga dilengkapi dengan ilmu perubatan.

Didalam kitab AlAsabah telah berkata Hisham Ibn Urwah dari bapanya: "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih berilmu tentang ilmu fiqh, ilmu perubatan dan ilmu syair daripada Aisyah".

Wahai muslimat-muslimat sekalian, masih adakah yang membelenggu kita dari bergelar doktor? Andai kesibukan yang kita fikirkan, ingatlah bahawa dunia ini begitu sementara. Dunia ini tempat untuk kita mencari kesibukan yang mempunyai nilai di sisi Allah. Kesibukan yang bakal meguntungkan kita di alam akhirat kelak.

Kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat di sekeling kita. Cuba pula kita fikirkan nasib muslimat kita yang ditindas di serata dunia seperti di Ambon misalnya. Mereka hanya menemukan syaitan-syaitan durjana di hospital-hospital yang membelah tubuh mereka dengan menggunakan bayonet. Seterusnya mengeluarkan bayi mereka dan diganti dengan kucing-kucing yang telah dibius dan dijahit kembali belahan tersebut. Dapat kalian fikirkan apa yang bakal terjadi di saat kucing-kucing tersebut sedar. Ya, seluruh organ dalaman ibu tadi akan dicarik. Jadilah doktor ye untuk mengembalikan izzah Islam.
Sedikit fakta mengenai kerjaya ini:

1) Doktor adalah manusia yang paling dipercayai. Anda boleh membacanya di sini.

2) Dalam sesetengah keadaan, doktor lebih berkuasa dari juruterbang. Misalnya, seorang penumpang terkena serangan penyakit jantung di dalam kapal terbang. Manusia pertama yang akan dicari adalah doktor. Juruterbang akan bertanya kepada doktor tersebut, sekiranya mahu mendarat di mana-mana kawasan yang terdekat. Segalanya terletak di tangan doktor waktu itu. Doktor boleh mengarahkan apa-apa sahaja kepada juruterbang:)

3) Sekiranya ada jurutera yang berbangga dengan bangunan KLCC, katakan padanya bahawa idea penubuhan bangunan itu adalah dari seorang doktor juga – Dr Mahathir:)

4) Sekiranya anda minat melukis, anda boleh menjadi doktor juga. Kisah Dr Netter di sini boleh menjadi contoh.


5) Minat formula 1 atau EPL? Boleh jadi doktor juga. Jadi pakar orhopedic yang berjaya dan sertai team kesihatan formula 1 atau EPL.

6) Suka jumpa orang tua je – buat pengkhususan dalam geriatrics.


7) Suka jumpa kanak –kanak je – buat pengkhususan dalam pediatric.

8) Nak jumpa orang perempuan je –jadilah pakar sakit puan.

9) Nak jumpa orang lelaki je – jadilah pakar sakit tuan.

10) Pendiam sangat – buat pengkhususan dalam anesthesiology. Tidak perlu cakap banyak pun, beri sahaja pesakit ubat bius.


11) Suka bertukang – jadilah orthopedic.

12) Suka masak-masak, main potong-potong – jadilah pakar bedah.

13) Anda boleh menjadi doktor sekiranya anda suka berdakwah. Kerjaya ni akan menemukan anda dengan macam-macam pesakit seperti mat rempit, penagih dadah dan lain-lain.

14) Sekiranya anda suka menyertai misi kemanusiaan, anda boleh memilih untuk menjadi doktor. Doktor dibenarkan masuk hatta ke kawasan sempadan sebelum pemberita atau pun wartawan.

15) Sekiranya anda suka berlakon, anda juga boleh menjadi doktor. Anatomist dalam cerita KL menjerit adalah pensyarah saya.


16) Sekiranya anda suka membebel atau mengajar orang lain, jadilah doktor. Anda boleh menjadi pensyarah setelah bergelar doktor.

17) Anda boleh menjadi pembunuh juga dengan menjadi doktor.

Macam-macam perkara yang boleh anda lakukan setelah bergelar doktor. Terpulang kepada anda untuk memilihnya. Apapun, semua pekerjaan adalah mulia selagi mana diniatkan kerana Allah dan mengikuti batas-batas yang ditetapkan oleh syarak.