Sunday, April 15, 2007

Sedih..


Saya hadapi masalah. Masalah pertembungan jemaah. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan berdepan dengan masalah ini. Saya kira setiap jemaah ada cita-cita untuk menegakkan Islam. Semalam sahabat saya call, katanya saya semakin jauh dengan jemaah. Apa yang mampu saya lakukan?

Perkara ini mendatangkan keserabutan dalam diri saya. Saya pernah diajar dengan kata-kata ini – Allah tidak akan bertanya, apa jemaah kamu, sebaliknya Allah akan bertanya apa yang telah kamu lakukan untuk Islam.

Saya memilih bidang perubatan hanya kerana Islam. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh. Dengan segala kesibukan yang ada, saya memilih untuk mengikuti program tarbiah dan dakwah di kolej sahaja. Saya menolak untuk mengikuti program di luar.

Ada yang sampai mencari saya di kedai fotostat. Setiap minggu, ada sahaja ajakan untuk mengikuti program. Saya tahu saya daif dalam ilmu agama. Ada yang berkata- “join jemaah, tapi aqidah tidak mantap”. Ya, saya tahu kelemahan saya di mana.

Sekiranya ada yang mengatakan bidang perubatan adalah bidang yang senang, saya menafikannya. Tanggungjawab untuk memikul bidang ini terlalu besar. Ada yang membaca ayat berkenaan dengan nyawa di dalam Al Quran tanpa merasa apa-apa. Tapi tidak bagi saya. Kesilapan saya untuk menuntut ilmu sebaiknya saat ini akan menyebabkan saya mungkin membunuh pesakit saya kelak. Itu sebabnya saya tidak mahu berpuas hati dengan sekadar lulus sahaja di dalam peperiksaan. Saya perlu melakukan lebih dari itu.

Saya memilih bidang ini kerana saya tahu peluang dakwah yang terhampar di hadapan saya begitu luas. Saya akan temui penagih dadah, mat rempit dan bermacam-macam jenis pesakit kelak. Bidang perubatan sahaja yang menawarkan semua ini. Saya hanya memilih bidang ini kerana Allah. Saya jatuh berkali-kali, tapi saya tidak akan berputus asa. Ini janji saya. Saya akan melakukan sebaiknya untuk agama ini.

Saya sedih bila ada yang tidak memahami semua ini. Sedih sangat. Ada yang bersangka buruk. Macam-macam lagi yang saya lalui.

Saya pernah melalui fasa dalam hidup saya di mana saya masyuk sekali berdakwah. Saat itu adalah ketika saya di matrikulasi. Saya ceritakan semua ini supaya ada yang sudi mengambil pengajaran.

Saya mementingkan dakwah sehingga mengabaikan pelajaran. Ini yang terjadi kepada saya. Tapi saya bersyukur kepada Allah, pointer saya melepasi 3.00, melayakkan saya memasuki bidang perubatan walaupun bukan di IPTA.

Saya lupa akademik adalah dakwah yang lebih besar. Kehancuran akademik saya hanyalah menjadi fitnah kepada perjuangan Islam itu sendiri. Saya tidak nafikan kesilapan saya. Sayalah yang tidak pandai mengurus masa antara dakwah dan pelajaran.

Saat ini, saya sedar kesilapan saya. Saya lihat pensyarah-pensyarah saya. Semua mereka ada pangkat Prof di hadapan nama mereka. Semua pelajar ingin mendengar kata-kata mereka meskipun dari latar belakang yang berbeza. Kejayaan mereka dalam bidang yang diceburi menjadikan dakwah semakin mudah. Mereka membawa nama Islam hatta ke peringkat dunia. Saya ingin jadi seperti itu.

Ada yang kata saya semakin jauh.Ukhwah semakin rapuh. Sukar untuk saya memahami semua ini. Saya tidak ingin nikmat iman, islam dan ukhwah itu hanya untuk segelintir sahaja. Saya mahu semua manusia merasainya. Maafkan saya. Saya tidak mahu menjadi manusia yang mementingkan diri.

Kadangkala saya pelik. Mengapa saya yang diajak berulang kali? Mengapa mencari saya? Ramai lagi yang lebih memerlukan perhatian dari saya. Dakwah bukan bermakna mengajak golongan yang bertudung labuh dan alim sahaja. Dakwah lebih dari itu. Kejayaan dakwah bukan dengan menarik mereka yang sudah memahami Islam. Kejayaan dakwah adalah bila mana kita mampu mengajak mereka yang jauh dari Islam.

Saya bukan meninggalkan Islam. Tidak sesekali ianya terlintas dari fikiran saya. Saya sertai dua kumpulan usrah di kolej. Saya hadir ke program Theory of Knowledge. Sememangnya ilmu itu belum cukup. Tapi saya juga ada tugas lain yang perlu diselesaikan.

Kadangkala ada yang mengajak saya ke program. Kawan saya pula meminta saya menemaninya di rumah. Saya memilih kawan kerana saya ingin masa yang lebih untuk bersama mereka. Memahami mereka. Sampai bila saya ingin memperbaiki diri saya sahaja. Tanggungjwab saya lebih dari itu.

Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan sebenarnya untuk memahamkan sahabat-sahabat saya. Cukuplah saat ini Allah sahaja tempat saya meluahkan rasa. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya.

4 comments:

Anonymous said...

i just think i know how/what do you feel..
abid..my wife..she was a medical student. sabarlah..jihad kerana Allah bukan dengan jemaah sahaja.

abu khair..

joe penang said...

Sabarlah ye Cik Ummu.
Zaman remaja(apatah lagi wanita) ni memang hebat dengan ujian. Memang jd budak medic ni kurang masa kita bersosial(apatah lagi mengikuti jemaah di luar).

Alhamdulillah anda masih mampu mengikuti jemaah w/p sekdrnya. Biarkan apa saja tohmahan yg datang. Yg penting anda sentisa mengadu pada-Nya. Paling penting utamakanlah pandangan Allah drpd pandangan manusia. Wallhua'lam

Anonymous said...

Sabar feera. La tahzan! Jangan bersedih. Sikit je lagi.. nanti feera akan nampak hikmahnya. BTW, eid milad ya ukhti.. :)

Ummu Afeera said...

Abu Khair, terima kasih kerana memahami.

Joe Penang, terima kasih di atas nasihat yang diberi.

Kak Maryam, saya bersyukur ditemukan dengan akak. Insya Allah, saya akan mencari hikmahnya. Terima kasih kak.