Sunday, April 08, 2007

Bas..


Dua minggu berturut-turut sebelum ini, saya balik ke Johor untuk bersama keluarga. Kegembiraan saya adalah apabila saya bersama keluarga. Namun saya seakan-akan fobia untuk balik minggu ini lantaran kerana peristiwa yang terjadi kepada saya dalam perjalanan pulang semula ke Cyberjaya.

Dua minggu lepas semasa menaiki bas, seorang lelaki menghulurkan air kotak kepada saya. Peristiwa ini terjadi di hadapan ayah saya juga memandangkan dia ingin menguruskan tempat duduk saya dan menolong mengangkat barang. Sememangnya kami kagum dengan perkhidmatan yang diberi. Air kotak percuma. Ayah saya sempat menepuk bahu lelaki tersebut kerana ‘amalan’nya itu.

Apabila bas menunjukkan tanda untuk bertolak, ayah saya turun dan beredar. Kemudian lelaki tersebut datang kembali kepada saya dan meminta wang sebanyak RM2 untuk air kotak tersebut. Terkejut saya dibuatnya. Saya ingin memulangkannya tetapi dia tidak mahu. Katanya, penumpang lain juga akan mengambil tindakan yang sama untuk memulangkan air kotak tersebut. Semua penumpang lain seakan-akan akur dengan perbuatannya itu. RM2 untuk air kotak. Saya kemudiannya bermesej dengan ayah saya. Lantas ayah menelefon syarikat perkhidmatan bas tersebut. Seterusnya di dalam perjalanan, saya baru sedar bahawa bas tersebut tiada penghawa dingin. Peristiwa ini berlaku dua minggu sebelum ini.

Perjalanan saya minggu lepas pula adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya. Ramai yang balik bercuti kerana cuti maulidurrasul. Semua penjual tiket pula seakan-akan bersepakat untuk menjual tiket pada harga RM30. Tiket yang sepatutnya hanyalah berharga RM24. Ada pula yang menaikkan harga sehingga RM35. Saya pulang bersama dengan adik perempuan saya memandangkan dia perlu menolong pakcik saya di sini.

Bas tersebut kemudiannya rosak di Ayer Hitam. Saya terpaksa menunggu selama 3 jam untuk bas yang lain pula. Bas kedua pula tiada tempat duduk yang mencukupi. Akhirnya dua lelaki menawarkan diri untuk berdiri sepanjang perjalanan. Tiba di Seremban, bas tersebut kehabisan minyak pula. Dahlah jalan sesak, bas tersebut menambah lagi kesesakan yang telah sedia ada. Geram saya dibuatnya. Semua penumpang lain cuba memberhentikan bas atau mana-mana teksi untuk meneruskan baki perjalanan. Akhirnya, tinggallah saya dan adik perempuan saya bersama-sama dengan beberapa orang lelaki.

Perasaan waktu itu, Allah sahaja yang tahu. Saya memang menangis kerana takut. Takut diapa-apakan oleh lelaki-lelaki itu. Pakcik saya bersetuju untuk mengambil saya. Dan kami menunggu selama lebih kurang 3 jam juga. Memang berkecamuk sangat perasaan saya. Pakcik saya tiba akhirnya.

Tidak pernah terbayang di dalam kepala otak saya bahawa saya akan melintas highway PLUS. Itulah pertama kali saya melakukannya. Kemudian ada pula pembahagi jalan. Saya dan adik perempuan saya terpaksa merangkak ala-ala PLKN memandangkan kami memakai baju kurung. Sememangnya saya tidak akan melupakan perkara ini buat selama-lamanya.

Barangkali itu kaffarah di atas dosa-dosa saya. Cuma saya tidak berpuas hati dengan sikap manusia-manusia yang saya temui. Barangkali sememangnya mereka tidak pernah faham apa itu Islam. Dan saya tidak kisah tentang hal itu. Tapi soal halal haram adalah persoalan tentang ‘common sense’. Saya ingat lagi pembacaan saya mengenai ucapan Assyahid Imam Hassan AlBanna. Dia berkata bahawa dia tidak perlu memberitahu kepada manusia mengenai soal haram dan halal kerana haiwan juga mengetahui hal itu.

Kucing akan makan daging yang diberikan oleh manusia dengan aman dan damai. Tapi sekiranya kucing tersebut mencuri, dia akan lari dari manusia kerana takut diapa-apakan. Kucing pun tahu mana halal dan mana haram. Mengapa manusia yang dikurniakan akal fikiran melakukan semua ini?

Saya benar-benar tidak berpuas hati dengan penipuan ini. Saya hanya mampu menulisnya di dalam blog ini. Tiada tindakan yang diambil meskipun saya menelefon pihak berkuasa. Nombor telefon yang ada di belakang setiap bas ataupun lori adalah lakonan dan pementasan drama semata-mata.

Saya juga tidak berpuas hati dengan fakta yang mengatakan bahawa jalan raya di Malaysia adalah di antara jalan raya yang terbaik di dunia. Saya benar-benar tidak setuju. Saya tidak berapa pasti sudah berapa kali kerja naik taraf dilakukan. Agak-agaknya, jalan tersebut dibina untuk kerja naik taraf berkali-kali. Kesesakan yang berlaku di Seremban adalah kerana kerja-kerja naik taraf ini.

Kemudiannya, saya terfikir betapa bengapnya jurutera kat Malaysia ini. Sekejap dua line, kejap 3 line. Lepas tu 2 line lagi. Manalah jalan tak sesak. Apasal bengap sangat? Tetapkan jelah dua jalan.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 4-5 jam mengambil masa selama 10 jam. Toleransi? Entahlah.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum...

afeera, tulisan anda kali ni agak keras. ini adalah akibat terlalu marah n kecewa. xbaik kata org bengap. sejak bila plak afeera guna perkataan mcm ni? sy tau anda mns biasa. slalu melakukan kesalahan. klu kita xnk org mengata kita, kita jgn ckp buruk psl org. maaf jika melukakan hati saudari..moga dpt perbaiki tulisan pd ms akan dtg

Ummu Afeera said...

Fadzil, saya dah jawab komen awak dalam entri seterusnya. Terima kasih di atas kunjungan dan komen.