Saturday, April 07, 2007

Nama blog..


Saya ingin menukar nama blog ini sekali lagi. Dulu saya namakan blog ini sebagai « syahid » . Saya menukar nama tersebut lantaran tidak mahu blog ini terfokus pada satu isu sahaja. Kemudian saya namakannya « Pensil Ulfa ». « Pensil » adalah simbolik kepada penulisan. Manakala « Ulfa » merujuk kepada kemesraan. Saya ingin mencari kemesraan dalam penulisan. Namun, saya ingin menukarnya hari ini lantaran kerana saya gagal menemui « Ulfa » dalam kehidupan saya.

Terlalu banyak yang terjadi yang membuat saya berkira-kira untuk membiarkan blog ini tidak bernama buat seketika. Blog ini juga tidak akan berada dalam satu rentak sahaja selepas ini. Ini blog saya dan saya adalah manusia. Rentak tulisan saya akan berubah-ubah selepas ini. Kadangkala saya mungkin terlalu keras dan adakalanya saya mungkin terlalu lembut.

Kamu pernah melihat ECG ? Doktor menggunakan bacaan ECG untuk mengetahui keadaan pesakit jantung. Jantung menceritakan keadaannya dan berkomunikasi dengan doktor menggunakan ECG. Sekiranya suatu hari nanti kamu dikehendaki mengambil ECG dan doktor memberitahu bahawa kamu mempunyai sinus arrythmias, usah risau. Pertama kali saya melihat ECG, saya kira ianya adalah seragam. Namun setelah diberi penerangan oleh Prof Latiff, barulah saya faham bahawa ianya adalah tidak seragam dan ini dinamakan sinus arrythmias. Usah risau. Ia adalah normal bagi orang yang sihat. Sekiranya bacaan tersebut adalah seragam, ianya membawa makna bahawa orang tersebut telah menjalani pembedahan dan menggunakan perentak jantung elektronik.

Rentak jantung menunjukkan perubahan sepanjang masa. Ia menujukkan perubahan-perubahan yang dialami manusia. Saya normal. Usah harapkan blog ini berada dalam satu rentak sahaja.

No comments: