Sunday, April 08, 2007

Komen..

assalamualaikum...afeera, tulisan anda kali ni agak keras. ini adalah akibat terlalu marah n kecewa. xbaik kata org bengap. sejak bila plak afeera guna perkataan mcm ni? sy tau anda mns biasa. slalu melakukan kesalahan. klu kita xnk org mengata kita, kita jgn ckp buruk psl org. maaf jika melukakan hati saudari..moga dpt perbaiki tulisan pd ms akan dtg.

Waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh

Anonymous, saya tidak pasti anda perempuan atau lelaki. Terima kasih di atas komen yang diberi. Saya hargainya. Pertamanya, saya kira anda perlu membaca entri saya sebelum itu. Tulisan saya selepas ini ada pasang surutnya. Dan saya tidak sesekali mewakili sesiapa. Saya hanya mewakili diri saya sahaja. Harapan saya, apabila anda membaca tulisan saya dan tidak berpuas hati dengannya, anda akan menyalahkan saya sahaja.

Keras ye tulisan saya? Setiap manusia ada pandangannya sendiri. Saya hormati pandangan anda. Saya masih ingat lagi kata-kata seorang sahabat saya. Hikmah adalah berbeza bagi setiap manusia. Saya beri awak satu contoh. Ada sesetengah anak yang sukar mendengar kata. Sekiranya dia diberi nasihat dengan kata-kata yang lemah lembut, dia akan melawan. Sekiranya dirotan, dia akan mendengar kata. Hikmah bagi anak ini adalah rotan.

Begitu juga dengan adil. Ada yang faham adil ini adalah sama rata. Sekiranya seorang ibu ingin membahagikan makanan untuk anak-anaknya, dia perlu membahagi dengan sama rata. Tetapi sebenarnya tidak. Adil di dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Anak yang besar perlu mendapat makanan yang lebih banyak berbanding anak yang kecil.

“Sejak bila plak afeera guna perkataan mcm ni?”. Soalan ini agak menarik. Awak mengenali saya ke? Tidak bukan? Saya kira awak mengadili saya berdasarkan tulisan saya sebelum ini. Tulisan saya adalah hipokrit semata-mata. Tidak melambangkan langsung siapa saya sebenarnya. Usah terpedaya dengan dunia maya ye.

“maaf jika melukakan hati saudari”. Hmm..Awak tidak melukai hati saya sebenarnya. Usah takut untuk berkata benar. Meskipun saya tidak mengenali awak, awak adalah sahabat maya saya. Sahabat yang baik adalah sahabat yang berkata benar tentang sahabatnya. Terima kasih atas nasihat itu. Nasihat awak barangkali adalah hidayah Allah untuk saya.

“moga dpt perbaiki tulisan pd ms akan dtg”. Permintaan ini begitu berat buat saya. Ini adalah blog saya. Blog tempat saya mengekspresikan pandangan saya. Isu jalanraya dan jurutera itu bukan soal kecil sebenarnya. Ia adalah persoalan mengenai korupsi dan perkara lain. Hikmah bagi isu itu bukanlah menulis dalam lenggok bahasa mendayu-dayu sehingga membuatkan mereka terus-terusan menjadi layu. Saya kira awak perlu faham mengenai hal ini.

Adil bagi saya bukan sama rata. Tulisan saya tidak akan lembut dalam semua hal. Berbicara mengenai kanak-kanak HIV ada lenggoknya. Kritikan juga ada larasnya. Saya harap anda memahaminya. Sebarang teguran amat dialu-alukan.

No comments: