Thursday, February 01, 2007

Demam..


Semalam saya baru menyudahi continuous assessments bagi pharmacology. Saya menghadapi kertas tersebut dalam keadaan demam. Sememangnya saya teruji dengan sebenar-benarnya semalam. Segalanya yang saya baca tidak dapat dihadam oleh minda saya. Air mata berguguran tanpa dipinta. Saya tidak pasti mengapa saya merasakan block pharmacology begitu sukar berbanding block lain. Block lain juga sukar tetapi saya tenang. Namun block pharmacology begitu menggelisahkan saya.

Bila hati gelisah, pasti ada dosa yang saya lakukan. Cukuplah ujian itu untuk saya melakukan muhasabah terhadap apa yang telah saya lakukan selama ini. Allah tidak pernah mendedahkan keburukan hambaNya, maka tidak perlulah saya sebagai hambaNya menukilkan debu-debu dosa yang telah saya lakukan.

Saya bersyukur di saat saya begitu teruji, ayah dan ibu sudah kembali dari menunaikan haji. Saya menangis dan meluahkan segalanya kepada mereka. Infiniti kesyukuran ke hadrat Allah kerana mengurniakan ayah dan ibu yang begitu memahami. Kata ayah, saya perlu selalu berinteraksi dengan hati. Pastikan hati berinteraksi dengan Allah. Saya akur. Barangkali saya lupa bahawa Allah yang mengurniakan saya ujian demam. Saya lupa kisah yang pernah saya kongsikan bersama kawan-kawan saya yang terjadi di antara Imam Syahid Hassan AlBanna dan Abbas As Sissi.

Setelah Abbas mendapat diploma dari Sekolah Menengah Teknik pada tahun 1939, beliau berangkat ke Kaherah untuk mencari kerja. Beliau pergi menemui al fadhilah al mursyid am Hassan Al Banna r.a di Markas Am Ikhwan di Al-Hilmiyah Jadidah. Setelah almursyid mengalu-alukan kedatangannya, almuryid bertanyakan sebab-sebab kehadiran beliau di kota Kaherah itu.

Abbas: Untuk mencari kerja.

Almursyid: Tidakkah kau terfikir untuk bekerja secara sukarela di Sekolah Teknik/ Mekanik Peperangan?

Abbas: Sesungguhnya keluarnya aku dari sekolah teknik ini adalah semata-mata untuk membebaskan aku dari perkhidmatan tentera.

Almursyid: Akan tetapi risalah kita mewajibkan kita berkhidmat di dalam jurusan ini (jurusan ketenteraan) .

Abbas: Itu tidak ada halangan, tetapi aku tidak akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor kerana sebelah dari mataku kabur (rabun).

Almursyid: Bertawakallah kepada Allah s.w.t supaya berjaya.

Abbas: Bagaimana aku akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor padahal mataku dalam keadaan yang demikian.

Almursyid: Justeru kerana itulah aku berkata bertawakallah kepada Allah kerana jika matamu sejahtera, kamu akan bertawakal kepada matamu.

Pengertian ini benar-benar menggoncangkan kewibawaan Abbas sekaligus beliau merasakan iman menyelinap ke dalam perasaaannnya. Beliau berangkat menuju ke Sekolah Teknik Peperangan di Al Abbasiyah dengan bertawakal kepada Allah s.w.t. Beliau diiringi oleh seorang pegawai tentera menuju rumah sakit tentera dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t, berserah sebulat-bulatnya kepadaNya dengan harapan mendapat kejayaan. Setelah melalui pemeriksaan Doktor secukupnya, beliau termasuk di kalangan orang-orang yang berjaya. Lantaran itu, beliau memasuki sekolah tersebut dan bermulalah hidupnya di dalam jurusan yang baru dan di luar dari perhitungan awalnya.

Beliau juga tidak lupa, bagaimana apabila meletus sahaja perang dunia kedua, kementerian telah menyegerakan penamatan kursus(graduation) bagi membolehkan mereka berangkat ke medan perang di padang pasir sebelah Barat. Beliau beserta rakan-rakannya seramai sekitar 100 orang pergi ke Dharbu An Nar, medan tempat ujian menembak (sebelum lulus). Beliau berasa sangat dukacita kerana bimbang akan gagal di dalam latihan menembak itu kerana kelemahan mata kirinya. Spontan beliau teringat kata-kata AlImam - tawakallah kepada Allah, kamu akan berjaya. Serentak dengan itu meresaplah pengertian tawakal ke dalam jiwanya dan beliau benar-benar yakin akan hakikat bertawakal itu. Beliau melakukan latihan menembak itu dengan sepenuh kepercayaan dan ketenangan walaupun hanya menggunakan sebelah matanya yang terang. Akhirnya Husin Ahmad, panglima yang melatih mereka mengisytiharkan bahawasanya pemenang yang pertama ialah Abbas Al Sisi. Keputusan ini memeranjatkan mereka yang mengetahui hakikat ini tetapi inilah satu daripada hakikat kebenaran bertawakal kepada Allah s.w.t.

Sememangnya besar peranan tawakal dalam hidup seorang muslim yang mukmin. Tawakal itu ialah berusaha bersungguh-sungguh menurut batas-batas kemampuan manusia, kemudian menyerahkan tadbir segala urusan kepada Allah s.w.t, yang menjadi kunci segala kebaikan, segala berkat serta pemeliharaan dan perlindungan dari segala kejahatan.

Saat saya duduk di dalam dewan peperiksaan, kisah ini berlegar-legar di dalam minda saya. Allah tidak mahu saya bertawakal dengan kesihatan, lantas dia mengurniakan saya demam. Kerana demam inilah, saya bertawakal padaNya.

Semalam juga keputusan ujian keluar. Ujian ini menyumbang 30% dari jumlah markah keseluruhan. Alhamdulillah, saya gagal dalam ujian ini. Saya hanya memperolehi 46/ 100. Saya sudah cukup bersyukur dengan markah ini. Saya menemukan ketenangan dalam kegagalan ini. Ketenangan yang tidak saya temukan sebelum ini. Insya Allah, saya akan berusaha lagi untuk peperiksaan akhir.

Alhamdulillah, hari ini saya bercuti. Perancangan Allah begitu hebat. Saya demam di saat-saat yang bersesuaian dengan cuti umum. Allah mengingatkan saya bahawa telah begitu lama saya mengabaikan hak kepada tubuh badan saya yang Allah ciptakan.Cuti ini adalah masanya untuk tubuh saya berehat.

Every night brings in new day,
Allah alleviates all pain,
Everything has its end,
Allah is enough for me!!

4 comments:

Anonymous said...

assalamu'alaikum dik. Ana ukhtukunna fil Islam. alhamd,biiznillah,akak bertemu blog ini. blog yang menarik&myentuh hati..Adik study medic kat mana? mg Allah permudahkan urusan kita dalam menunaikan amanah ilmu ini.insyaAllah

Ummu Afeera said...

waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh...sy study kat Cyberjaya University College of Medical Sciences, Cyberjaya...akak pula?

Anonymous said...

Akak xperasan adik ada masukkan oath sbg student medic kat cyberjaya university=).akak masih dlm pjgn mnuntut ilmu di USMKK,4thy medic.insyaAllah.k,sama2 kita teruskan perjuangan ini. Letakkan keredhaan Allah sbg tujuan utama kita dlm stp apa jua yang kita lakukan. mg adik snts dlm jagaanNya.cmne demam?dh ok?anggaplah ia sbg kaffarah&tanda ksh sygNya..=).mg bertemu lagi..insyaAllah

Ummu Afeera said...

saya cuba menjawab soalan akak mengenai kesihatan saya dlm entry terbaru saya (",)moga bertemu lagi...