Sunday, August 12, 2018

Liberal?

Suatu masa dulu, mungkin pendapat atau pandangan saya sangat berbeza dengan saya yang sebelum ini. Tak pasti sama ada saya sudah menjadi seorang ‘liberal’, ‘kafir’ atau yang sewaktu dengannya. Saya pasti pandangan saya akan terus berubah terhadap sesuatu isu seiring dengan pengalaman dan hikmah yang saya kutip. 

Pernah sekali Allah temukan saya dengan seorang pesakit yang mengubah pegangan saya juga. Pesakit muda berusia 20 an. Kes pangkal rahim. Ya, itulah kes paling muda yang pernah saya temui. Kesnya sudah melarat. Dia telah menjalani pembedahan Wetheim’s hysterectomy. Perutnya busung (ascites). Dia dirujuk untuk hemodialisis. Dan dia perlu menjalani percutaneous nephrostomy (membuat satu saluran keluar supaya kencingnya boleh disalurkan lantaran kansernya telah menghalangi saluran kencingnya).

Saat bertemunya, saya mengambil sejarah perubatan dari awal sehinggalah dia bercerita hal-hal sulit. Air matanya turun tanpa henti. Dalam keadaan tenat, dia terus menangis. Dia menyesal kerana terlibat dengan zina dan dia redha dengan satu persatu ujian yang menimpanya. Saya melihat penyesalan dan taubat yang sebenarnya dari dirinya. Dia dari keluarga baik-baik. Itulah kali pertama dan terakhir saya melihatnya. 

Allah izin, selepas beberapa minggu saya mendapat perkhabaran ada adik yang baru pulang dari luar negara. Akaknya baru meninggal dunia dan digalakkan untuk pergi menziarah. Saya pergi dengan beberapa sahabat. Perjalanannya jauh. Adik tersebut tinggal di perdalaman kampung. Dan hujan turun dengan sangat lebatnya menemani perjalanan kami ke sana. Kami ada berfikir untuk pulang memandangkan banjir-banjir kecil yang terpaksa kami harungi sepanjang perjalanan. Di ketika yang lain, kami berhenti di satu tempat bertanyakan alamat pada seorang Cina. Dan pakcik Cina ini sanggup menelefon orang lain untuk membantu kami. 

Kami juga berhenti di beberapa rumah bertanyakan alamat adik berkenaan. Dan akhirnya Allah mentakdirkan pertemuan itu. Siapakah adik tersebut?

Akak adik tersebut adalah pesakit saya yang saya ceritakan. Malah saya mampu menyebut nama akak adik tersebut kerana ingatan yang mendalam terhadap akaknya. Pertemuan saya dengan akaknya cuma sekali. Dan saya mendengar kesaksian si adik tentang akaknya yang meninggal dalam keadaan baik. Tersenyum wajahnya. Meninggal pada hari Jumaat dengan gerimis yang turun. Dari gambaran yang diberikan, saya pasti dia pergi dalam keadaan baik. Saya merasakan dzuq yang amat saat menziarahi keluarga tersebut. Saya percaya Allah telah membersihkan pesakit saya dengan sebersihnya.

Allah yang mentakdirkan saya yang tidak menjaga periphery untuk bertemu dengan akaknya. Malah Allah yang mentakdirkan pertemuan hari ini juga. Dalam keluasan bumi, saya kira dengan logik akal, pertemuan itu mungkin 0.0000000000001% barangkali. Tapi Allah takdirkan pertemuan itu. Allah mengajarkan saya tentang taubat seorang pendosa. 

Di sisi lain, pernah saya bertemu dengan seorang pesakit yang menghidap penyakit tiga serangkai. Lelaki muda. Saya tanya bagaimana dia boleh mendapat penyakit tersebut. Dia berterus terang. Melalui hubungan seksual, lelaki dengan lelaki. Setelah beberapa ketika diam, saya tanya lagi. Bagaimana boleh terjebak. Saya berikan beberapa pilihan. Adakah disebabkan pengaruh kawan, pornografi atau pernah melalui sexually abuse? Lama dia berkira-kira. Kemudian dia cerita, sexually abuse.


Saya tak boleh lupakan pesakit ini, apatah lagi ceritanya. Sebagai ibu kepada dua anak lelaki, saban hari saya risau. Membaca perkhabaran berita mutakhir ini membuatkan kerisauan saya tiada penghujungnya.

Cerita pesakit tersebut lagi. Umurnya 6 tahun ketika itu. “Doktor tengok muka saya pun, mesti doktor tahu saya comel masa kanak-kanak”. Ya, dia punya darah campuran. Ibu dan ayah bercerai semasa dia kecil lagi. Ibu sibuk bekerja membanting tulang membesarkan dia dan adik beradiknya yang lain. Satu masa datang ayah saudara sendiri meminta untuk membawanya berjalan. Dibelikan segala mainan, coklat dan jajan. Dia dibawa ke hotel kemudiannya dan diliwat pertama kali. Dia cerita berdarah. Tiada hari dalam hidupnya, dia dapat melupakan peristiwa tersebut. Ibu terlalu sibuk bekerja dan dia tiada peluang memberitahu. Sembuh, berulang kembali. Dia juga keliru. Padanya mungkin itu cara berkasih sayang. Dia mendapat semua mainan dan makanan yang diingini.

Dia membesar dengan kekeliruan. Ketika di sekolah berasrama penuh, berlaku lagi. Dengan cikgu tuisyen pun pernah. Dia kira cara berkasih sayang adalah dengan cara sebegitu.

Ayah saudara sudah meninggal. Dia masih terbayang wajah yang menodainya pertama kali. Si ibu hanya tahu setelah dia menghidap penyakit tiga serangkai tersebut.

Saat saya memberitahu dirinya, “Moga dengan ujian yang encik lalui ini, Allah mengurniakan syurga”. Terkejut dia dengan kata-kata saya, dan dia menjawab, “Saya ini tempatnya di neraka Dr”. Begitulah mereka. Merasa kerdil di sisi kita yang mungkin merasakan syurga sudah pasti.

Dulu, saya juga penyokong tegar hukum hudud. Namun cara pandang saya berubah. Saya melihat kemiskinan yang merata. Pernah saya makan di kedai dengan lauk pauk yang pelbagai, namun saat keluar kedai saya lihat seorang remaja hanya makan nasi dengan sedikit kuah sahaja. Saya melihat kemiskinan merata-rata dari kisah-kisah pesakit saya. Saya kira banyak yang perlu diperbaiki. Kesaksamaan, keadilan buat semua manusia. Saya percaya pada keluasan rahmat Allah. 

Begitulah juga dalam isu zina, LGBT dan lainnya. Cara pandang saya berubah. Teringat kata-kata seorang ustaz, kalau orang Eskimo menuntut di hadapan Allah bahawa dia tidak menerima pernah mendengar tentang syahadah ini, kita juga akan memikul dosa mereka kecuali mereka yang melakukan kerja dakwah ini bersungguh-sungguh di tempat mereka.

Saya belum lagi berdakwah seperti Nabi Lut. Saya belum melaksanakan lagi dakwah ini seperti Nabi Nuh. Sebelum saya menghukum golongan ini, sebaiknya saya sedar azab Allah terhadap diri saya atas amanah Allah yang tidak saya laksanakan.

Lahirnya saya sebagai Muslim, dalam keluarga baik-baik adalah ujian ke atas saya, sama ada saya keluar mendakwahi yang lain. Lahirnya saya sebagai seorang normal tanpa menghidap gender dysphoria mungkin ujian ke atas saya atas kata-kata yang saya lontarkan dan yang sewaktu dengannya. Siapa saya untuk menghukum mereka? Hanya Allah yang mengetahui mujahadah mereka, taubat dan gejolak hati yang mereka lalui sepanjang malam. 

Saya terkesan membaca taujih Dr Nazli seputar isu ini:

Jika kita sentiasa berada dalam ruang lingkup kerangka berfikir ini, Insya'Allah kita mampu melihat kebaikan dan Allah tunjukkan jalan keluar permasalah yang kita hadapi. 

Ana tidak nafikan polemik LGBT banyak berkisar tentang politik dan usaha berterusan pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti pihak lain dengan isu ini. Kita juga akan terperangkap dengan isu ini jika kita hanya bercita-cita mempertahankan kedudukan politik pihak yang kita sokong. Jika kita hanya melihat politikal mileage semata-mata kita juga akan mengharapkan yang indah dan pujian masyarakat sahaja, sebaiknya jika kita lihat jalan dakwah,  kita akan tahu ianya dipenuhi cemuhan dan halangan.. 

Cuba kita renung sejenak  soalan-soalan ini:
1. Golongan LGBT telah wujud berzaman. Pernahkah badan dakwah secara terbuka berdialog dengan mereka? 
2. Terlalu ramai golongan yang dikatakan ulamak yang menghentam usaha ini. Adakah mereka tahu berapa teruk masalah LGBT di Malaysia? 
3. Ramai golongan yang bergelar ulamak menghentam usaha ini. Adakah usaha golongan ini berdakwah kepada golongan LGBT? 
4. Adakah golongan yang menghentam ini memberi cara penyelesaian kepada permasalah LGBT? 
5. Cuba tanya diri kita sendiri. Kita kenal golongan LGBT?  Kita tahu di Kuantan ini antara kawasan tumpuan LGBT?  Apa kita buat untuk membantu mereka kembali kepada jalan yang diredhai Allah? Adakah Kita benar-benar beriman dan beramal dengan ayat Allah.. Surah Al Imran ayat 104?

Jika kita tak mampu jawab soalan nombor 5 tu, ana dengan rendah diri menjemput kita semua bermuhasabah. Adakah kita juga ingin menjadi golongan yang menghalang usaha dakwah kepada golongan LGBT. Buanglah segala keraguan kita, kegusaran hilangnya populariti dan kutukan golongan yang langsung tidak ada pemahaman tentang permasalahan ini.

Yakinlah usaha ini bermula dengan langkah pertama. Jika berat untuk kita melangkah bersama usaha ini. Jangan pula kita terpengaruh dengan golongan yang menghalang usaha ini kerana kepentingan politik. Sama-sama lah kita perbanyakkan doa. Semoga usaha ini di permudahkan Allah. We do the best,  Allah do the rest!

Moga ijtihad saya menyambung kepakaran ini adalah sebahagian dari tuntutan syahadah saya. Saya merasakan ada keperluan untuk menyambung bahagian dalam infectious disease kelak supaya saya dapat mengkaji isu ini sedalamnya.

Teringat saya semasa ke kursus neurologi baru-baru ini, mereka bercerita penemuan-penemuan dalam penyakit genetik seperti spinal muscular atrophy dan lainnya. Dari bayi yang lahir floppy sehingga mampu berjalan dengan rawatan. Kagumnya saya melihat mereka menjalankan kajian-kajian yang mendalam sehinggga penemuan rawatan, sedang selama ini saya berfikir bahawa penyakit genetik tiada rawatan. Begitulah mereka yang berbeza dengan kita. Isu LGBT ini isu besar, memerlukan kajian-kajian yang mendalam sebelum kita menghukum mereka. 


Moga Allah mengampunkan saya atas banyaknya tuntutan syahadah yang tak saya lunasi. 

No comments: