Wednesday, April 19, 2017

1%

Saya benci realiti di hospital. Kadang sikap superior saya membuatkan saya benci dengan kerjaya sendiri. Mereka terlupa dosa 1% mengaibkan junior mampu menghancurkan seluruh amal..

Saya menulis ini lama dahulu..terasa ingin berkongsi sekali lagi.

Bila saya dengar Sejarah Jemaah oleh Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, ada satu poin yang saya hayati secara mendalam. Poin yang mungkin tak mengesankan yang lain tapi sangat mengesankan bagi saya.

Saat dia beritahu pada para isteri, "Sayangi suami paling maksimum pun 99%. Perlu tinggalkan 1% kerana mungkin yang 1% menjadi 100%. Sebab Allah yang memegang hati-hati."

Kenyataan umum tapi kenyataan penting yang praktikal dalam seluruh aspek kehidupan.

Kenyataan yang relevan dalam setiap hubungan kemanusiaan.

Kenyataan yang penting dalam perjalanan sejarah bagaimana berubahnya perjalanan kemanusiaan.

Ada yang kita sangkakan baik, kemudiaannya mengakhiri kehidupan dengan cara yang tidak diredhai.

Ada yang kita sangkakan biasa-biasa tapi mengakhiri kehidupan dengan khusnul khatimah.

Berkenaan taksub misalnya, kita tak boleh taksub sesuatu kerana mungkin hati kita berubah satu masa nanti.

Ada yang hidup dengan 99% kebaikan tapi mengakhiri kehidupan dengan 1% kejahatan. Dan 1% kejahatan tersebut menjadi 100% asbab untuk ke neraka.

Ada yang hidup dengan 99% kejahatan tapi mengakhiri kehidupan dengan 1% kebaikan dan rupanya 1% kebaikan itu adalah asbab ke syurga Allah.

Kita penat 99% di hospital. 99% penat bermatian menyelamatkan nyawa manusia. Serasanya syurga milik kita. Tapi 1% kezaliman pada junior adalah seakan 100% penilaiannya di sisi Allah yang menjadi asbab kita ke neraka.

Kita bencikan sesuatu 99%, seakan tidak terlihat hikmah Allah yang 1%. Rupanya 1% hikmah itu menjadi 100% kebaikan yang hanya kita fahami di akhirat kelak.

Saya tak dapat menghayati keseluruhan isi perkongsiaan tapi kata-kata Prof tersebut seakan memuhasabah beberapa perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Terima kasih Prof!

Tuesday, March 28, 2017

Sepi..

Baru-baru ini kami ziarah seorang sahabat yang baru melahirkan anak kedua. Dan ketika itu kami saling bertukar cerita.

Seorang sahabat lain meluahkan, memutar kenangan lalu. Luahannya sangat mengesankan saya.

Dia memutar kenangan ketika zaman blog adalah medium perkongsian popular. Ketika itu ramai yang menulis pengalaman hidup yang penuh tarbawi. Memugar jiwa-jiwa muda ketika. Teringat kenangan lebih 10 tahun lalu. Subsribe Google Reader. Setiap hari akan menemukan bingkisan yang menggetarkan hati, memuhasabah kehidupan.

Namun kini sangat sukar mencari tulisan-tulisan sebegitu. Boleh dikira dengan jari penulis-penulis sebegitu yang masih ada lagi.

Kini newsfeed dibanjiri dengan perkongsian-perkongsian bisnes dan lainnya. Terselit satu dua entri berkisar tarbiah namun jarang mengesankan pembaca.

Kalau dulu, sangat sukar mengenali akhawat-akhawat. Tak mungkin raut wajah terpapar di medium sosial. Bicara ketika halaqah, program menggentarkan.

Kini wajah yang ayu, dengan fesyen yang pelbagai mempromosi bisnes.

Sedang masyarakat masih mengharapkan tulisan-tulisan yang menghidupkan. Tulisan alifnunwau nymous misalnya dinanti oleh masyarakat. Dulu ramai penulis seperti itu, yang hadir ke liqa dan ingin berkongsi. Segala kehidupan dilihat dari kaca mata tarbawi. Namun mereka hilang di saat dunia menantikan hadirnya daie?

Lontaran sahabat tersebut sangat menusuk kalbu. Salahnya di mana? Dunia pekerjaan yang membunuh?  Kehidupan kini yang mendesak antara dharuriyat, hajiyyat, tahsiniyyat? Atau sebenarnya wahn telah menjangkiti kita..

Persoalan yang perlu kita jawab atau segalanya akan pupus..

Wednesday, March 08, 2017

Pudar...

Lagi lama saya dalam bidang perubatan, lagi keyakinan saya pudar. Banyak yang saya tak tahu. Selalu rasa bodoh yang amat. Dan beransur masa, saya hilang semua keyakinan diri. Stamp pad saya ringkas, menggambarkan keyakinan diri yang telah lama hilang.

Terkadang rasa nak pergi jauh. Kesian pada suami dan anak. Hari ni suami EL lagi. Anak sakit. 3 minggu lepas Fahad masuk wad. Selepas itu Fatih masuk wad. Semua keadaan suami yang EL. Kami bermalam di hospital.Dengan semua yang terjadi di hospital, terkadang saya tak tahu apa yang sedang saya lakukan. Berbaloi ke semua ini?

Hidup pun sakit. Mati pun sakit. Master ini tiada dalam perancangan kehidupan. Takdir kerana PJJ, yang akhirnya membawa saya ke bumi ini. Susah yang amat. Dakwah hilang. Anak-anak kehilangan ibunya. Sakitnyaaa ya rabb...

Nak ucap pada diri, selamat hari wanita! Moga Allah tunjukkan hikmah

Saturday, January 28, 2017

Diri..

"Be kind to yourself", pesan Kak Rin semasa bertemu dengannya. Sesetengah manusia ini Allah jadikan dirinya punya 'Jamiul kalam', mampu mengungkapkan hikmah dalam kata-katanya.

Jujurnya saya seakan menghukum diri dengan kes tersebut. Allah tahu niat saya ketika itu. Allah tahu perbincangan yang terjadi yang kemudiannya tidak diakui. Cuma Allah mengajar dengan cara yang pahit.

Bertemu Raziana, teringat sewaktu menangis padanya. "Afeera, jalan ini susah. Mungkin sebab ujian ini, Allah dah bagi segunung pahala pada Afeera". Mungkin yang melihat dokumentasi pada sehelai kertas akan terusan menyalahkan saya. Namun niat, perbincangan yang terjadi yang tiada dalam dokumentasi itu semuanya dalam pengetahuan Allah. 

"Be kind to yourself". Saya tahu saya akan dihantui seumur hidup dengan kes tersebut. Tapi Allah tahu kebenaran di sebalik kes tersebut.

Kadang kita dilihat bersalah luaran, namun kebenaran itu diketahui dalam diri. Ada yang menyembunyikan kebenaran, dilihat benar di luar, namun hati dirobek bersalah.

Ada mahkamah Allah yang akan mengadili semua! Hatta semua penipuan dan manipulasi!

Saturday, January 21, 2017

Abu Hannah..

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." Surah Luqman, Ayat 14

Bila Allah izinkan saya menjadi ibu, terkesan dengan ayat ini. Allah ini boleh sahaja berhenti ayat itu dengan mewajibkan anak-anak berbuat baik pada kedua ibu bapa tapi Allah menyebut dan mengiktiraf pengorbanan mereka.

Bila jadi ibu kita lebih faham bila Allah mengiktiraf tentang penyusuan dan lainnya. Pelbagai ujian yang dilalui seorang ibu sepanjang kehamilan, berpantang, menyusukan dan seterusnya.

Bila Allah sudah mengiktirafnya, perlukah saya pada pengiktirafan manusia? Tidak perlu!

Tapi menghairankan melihat ibu-ibu di zaman ini, mereka menagih pengiktirafan manusia sehingga tidak sedar dimanipulasi.

Saya secara peribadi merasakan suami, ayah, adik beradik lelaki saya ataupun lelaki-lelaki baik dengan sifat qawwam dan rijal mereka tidak berbicara sewenangnya di laman maya tentang topik penyusuan ibu ini kerana mereka terdidik dengan sifat qawwam, melindungi wanita dari ruang-ruang fitnah kerana terlalu banyak anasir fitnah di luar sana.

Sangat menghairankan apabila melihat wanita memuja Abu Hannah kerana tulisan-tulisannya tentang penyusuan susu ibu. Terpulanglah. Tapi hati kecil saya tak senang bila ada ibu-ibu yang meminta pendapat tentang masalah pam susu anak pada Abu Hannah. Dan jawapan seperti, "nanti saya pm" adalah sangat mengerikan bagi saya.

Maaf saya tak selesa seandainya ada wanita yang ingin bertanya pendapat tentang penyusuan susu ibu pada suami saya. Orang lain rasa normal ke? Ke saya seorang tak normal?

Normal ke bagi kalian para wanita bila ada lelaki nak pm sebab masalah penyusuan susu badan?

Selesakah seorang lelaki untuk berbicara topik penyusuan dalam private message?

Normal ke bagi seorang anak perempuan sepertu Hannah bila ayahnya menyibuk dengan masalah ibu lain?

Seandainya isu breastfeeding selfie pernah dikupas ulama, saya rasa persoalan yang saya sebutkan juga perlu dikupas sebab Abu Hannah ini macam trend pujaan  ibu-ibu muda sekarang.

Sepertimana saya takutkan anak-anak digrooming oleh FB lelaki pedofilia, saya tak selesa membaca tulisan-tulisan Abu Hannah.

Friday, January 13, 2017

Maternal mortality...

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (QS. Al-Baqarah: 155)

Tak pernah faham ujian ketakutan sehingga apa yang berlaku minggu ini. Jujurnya setiap yang berlaku dalam pengawasan Allah. Saya pujuk diri bahawa Allah tahu setiap yang berlaku.  Dan Allah ajar hikmah yang sangat besar dengan cara yang paling pahit. Terlalu pahit untuk dibicarakan.

Ayat-ayat dari hadis ke 19 di dalam sususan hadis 40 itu diingatinya. “Rufi’atil aqlam wa jaffatissuhuf”. Pena-pena telah diangkat dan dakwat menjadi kering. Semua dalam takdir hidup.

Mengimbas perang Uhud. Allah tak berbicara dengan nasihat semata-mata, tapi diajar dengan darah dan nyawa. Perit, terlalu perit.

Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar) kamu berkata: "Dari mana datangnya (kekalahan) ini?" (3:165)

Para sahabat yang paling hebat ditarbiah juga bertanyakan asbab di sebalik yang terjadi. Mengapa mereka diuji?

Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (3:165)

Apa yang terjadi membuatkan kita memuhasabah setiap inci ruang kehidupan.

Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan , maka kekalahan itu adalah dengan izin (takdir) Allah,(3:166)

Tersentak saat membaca ayat tersebut. Meskipun segala yang terjadi adalah kerana kesilapan kita sebagai manusia tapi Allah tegaskan padanya bahawa semua yang terjadi tetap berlaku dengan izin (takdir) Allah. Mengenang Uhud,  bukankah Allah berkuasa memenangkan para sahabat meskipun mereka melakukan kesalahan dan tidak mematuhi arahan Rasulullah SAW? Tapi mengapa Allah masih menguji mereka dengan kekalahan? Mengapa Allah masih memberi mereka ujian? Dia bermuhasabah.

..agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman, dan untuk menguji orang-orang yang munafik..(Ali-Imran:165-167)

Semua ini adalah ujian. Adakah kita mampu bersabar dengan ujian ini? Sejauh mana kita memahami perjalanan takdir yang ditentukan oleh Allah SWT?

Sentuhan Allah begitu hebat. Adakalanya membuatkan dirinya tersentak dan adakalanya merawat dirinya yang bersedih. Dia seakan-akan terasa pujukan Allah.

Dan janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.(3:139)

Air matanya terus-terusan menitis. Hebatnya Allah memujuknya.

Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, (3:140)

Andai peristiwa itu tidak terjadi, mungkin dia tidak akan melakukan refleksi ke atas niatnya. Mungkin dia akan terus-terusan mengumpulkan dosa yang bertimbun. Dia mengimbau kembali peperangan Uhud. Di saat segala yang terjadi seakan-akan kerugian buat para tentera Islam, tetapi Al Quran memberi sentuhan yang berbeza. Di sebalik ujian, ada yang lebih hebat yang Allah sediakan. Kekalahan yang dilihat dari kaca mata manusia tidak dilihat sebagai kekalahan. Mereka gugur syahid. Apakah ada pengiktirafan yang lebih besar berbanding syahid di jalan Allah? Itulah ganjaran yang Allah berikan di sebalik ujian.

..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.(3:141-142)

Ingatlah ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasul yang ada diantara kamu yang lain memanggil kamu (dari kelompok yang lari), kerana itu Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan, agar kamu tidak bersedih hati (lagi) terhadap apa yang luput dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan. Kemudian setelah kamu ditimpa kesedihan, Dia menurunkan rasa aman kepadamu (berupa) kantuk yang meliputi segolongan dari kamu, sedangkan segolongan lain telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyah.(3:153-154)