Thursday, April 09, 2015

RM 80

Di klinik saya bertugas, ada waktu tambahan klinik (extended hours). Bayaran sejam bagi pegawai perubatan ialah RM 80. Sehari 4 jam mencecah RM320. Hari Khamis bayarannya mencecah RM 440. Saya juga pernah membuat extended hours untuk membayar yuran peperiksaan dan sewa kereta mutarabbi.

Extended hours ini slotnya sentiasa penuh. Seandainya ada pegawai perubatan yang tidak dapat membuatnya, pasti slot lelongnya juga ada yang sudi memenuhi. RM80 sejam, siapa tak mahu?
Terfikirkan jalan dakwah pula. Sudikah ada yang menyahut? Andai ada iklan,

"Slot dakwah kosong hari ini."

"Tiada muwajjih."

"Tiada penggerak."

"Tiada duit."

Berapa ramai yang akan menyahutnya. Sebab tak nampak RM 80 buat dakwah. Yang kelihatan zahirnya cuma kerugian, kena belanja adik, kena belanja minyak dan lain-lain.

Sebabnya? Syurga itu sangat-sangat jauh dari kita. Iman belum lagi merasai kewujudan syurga. Belum seperti sahabat yang imannya merasai syurga sehingga tamar dibuang jauh.

Hari itu perang Badar yang menyejarah itu menyingkap roh-roh jihad para sahabat.

Sang rasul mengobarkan semangat sahabatnya.

قوموا إلى جنة عرضها السموات والأرض
 
Qumu ila jannatin 'ardhuha-samawatu wal-ardh!

Bangkitlah menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi!

Aduh! Sahabat bukan seperti kita! Mereka saat mendengar istilah syurga sahaja sudah meremang bulu roma, magical word buat mereka!

Lantas Umair Ibn Al Human mengungkapkan bakh, bakh..yang merupakan ungkapan takjub terhadap kebaikan dan pahala.

Dia membuang kurma yang sedang dikunyahnya.

لإن أنا حييت حتى آكل تمراتي هذه إنها لحياة طويلة

La-in ana hayyitu hatta akula tamarati hadzihi innaha lahayatun thowilah..
Jika saya hidup sampai selesai memakan kurma ini, oh betapa lamanya hidup (menanti syuga)..

Berangkatlah sahabat itu ke medan jihad dan gugur di medan Badar.

Begitulah kisah yang terakam dalam hadis riwayat Muslim dalam Riyadhus Salihin, Kitab Al Jihad, hadith no 1314.

Taajub bukan? Makan kurma sahaja kot. Sekejap sahaja. Tapi sahabat memang bukan seperti kita! Makan kurma yang sekejap itu pun dirasakan telah jauh dari syurga. Aduhai! Rasa tertampar-tampar diri ini dengan peribadi sahabat.

Syurga..syurga.. kalaulah syurga itu seperti RM 80, pasti berpusu-pusu orang yang ingin membuat dakwah. Tapi hanya orang beriman yang memahami syurga. Nilainya bukan RM 80.

No comments:

There was an error in this gadget