Saturday, February 09, 2013

Maaf..

Andai tiada istilah maaf, barangkali saya tiada di sini. Andai tiada istilah mujahadah, barangkali saya tiada di sini juga. Kerana manusiawinya kita, seringkali kita tersasar. Jujur sisi-sisi manusiawi itu menambahkan rasa kehambaan yang tiada terkira. Jujur dosa-dosa itu menunjukkan ketidaksempurnaan kita di hadapanNya..

Teringat kuliah Amru Khalid mengenai AlWadud. Boleh dicari di laman maya Youtube. Kuliah berkenaan Asma Allah AlWadud itu adalah antara siri-siri kuliahnya Bismika Nahya - Dengan NamaMu, Kami Hidup. Betapa ketika itu dia mengungkapkan sebuah kisah yang begitu mempersona. Bicara Saidina Ali saat diajukan dirinya, adakah dia ingin ibu bapanya yang sangat menyayanginya memberikan kesaksian buat dirinya di akhirat kelak.. Dan sahabat yang agung ini menjawab, betapa tetap dia inginkan Allah yang memberikan kesaksian buat dirinya, kerana agungnya sifat AlWadud Allah melebihi ibu bapanya sendiri!

Dan aku juga mengakui kisah itu. Betapa terkadang manusia tidak akan mampu menerima hatta satu kesilapan kita sekali pun. Sekali kesilapan maka terjejaslah segalanya. Dan aku akui Allah jualah yang menciptakan manusia sebegitu sehinggakan diri tidak lagi berharap pada pandangan manusia yang kerdil itu.

Aku telusuri Risalah Ta'alim, aku rasakan berat yang amat. Dosa-dosa yang banyak bergantungan di pelupuk mata. Sungguh andai tiada istilah mujahadah, akulah insan yang pertama sekali lari dari jalan dakwah ini kerana ketidaksempurnaan diri. Dan aku sangat penuh noda pada diri, akhawati fillah, pada jemaah, ummah dan segala-galanya.. Di persimpangan khauf dan raja', aku masih melangkah walau terkadang bisa-bisa dosa seakan menyakitkan setiap langkah..

Matahari mungkin sahaja terus bersinar keesokan hari, namun adakah diri ini masih punya nyawa keesokan hari?

No comments: