Hujung minggu yang lepas, Allah memberi kelapangan untuk menjadi facilitator mukhayyam. Peluang yang sangat besar pastinya. Saya bersama dua orang akhawat menaiki kereta bersama. Dan kami sampai di checkpoint yang pertama, Zenxin Organic Park, Kluang. Jujurnya seandainya saya tidak bersama tarbiah, saya pasti tidak akan mengenali tempat sebegitu. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan segalanya buat saya. Semalam pakcik kata, kerja dakwah kita terlalu kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan iman yang Allah tancapkan dalam hati kita! Allah..
Apabila sampai di Zenxin Agro Park, kami menghirup udara segar yang begitu menghidupkan hati kami. Kami sempat merasa ais krim buah naga.
Allah mengurniakan rezekinya untuk hidup bersama akhawat. Seorang ukhti mengeluarkan AlQurannya dan mentadabbur ayat-ayat Allah. Best sangat! Saya tidak dapat semua itu semasa di hospital. Saya begitu 'terseksa' di hospital. Jabatan tempat saya bekerja kini dipenuhi oleh senior-senior yang 'muslim'. Namun saya tidak merasai Islam. Tarbiahlah yang menghilangkan segala kesakitan di hospital. Best kan bila awak hidup dengan manusia-manusia yang mengingati Allah setiap masa. Best kan kalau semua orang kat dunia ini faham dakwah dan tarbiah!
Di sekeliling kami, ada kebun yang mendamaikan. Dan ukhti tersebut mentadabbur ayat 31-32 Surah Annaba'.
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; (Surah Annaba': 31-32)
Kenapa Allah kurniakan kebun dan taman bunga untuk orang yang bertaqwa? Kenapa Allah kurniakan anggur?
Kata ukhti tersebut, selalunya daie ini tidak sempat pun nak menghias rumahnya. Diceritakan pada kami kisah seorang akh di Indonesia yang mempunyai tanah kosong di hadapan rumahnya, yang tidak pernah diusahakannya lantaran sibuk dengan dakwah dan tarbiah. Sehinggakan ada usrahnya yang perlu dibawa sebelum waktu subuh lagi. Disebabkan daie sangat sibuk dengan dakwah dan tarbiahnya, Allah akan mengurniakan kebun bunga yang indah buatnya kelak di syurga.
Kenapa anggur? Kenapa ada buah di syurga? Sebabnya selalunya orang yang beli buah itu sebab dia ada duit yang lebih. Kita dah beli beras dan lain-lain, kalau ada duit lebih baru kita beli buah kan? Disebabkan daie ini, duitnya banyak dihabiskan untuk dakwah dan tarbiah, dia tak dapat nak beli buah di dunia. Sebab itulah, Allah berikan dia buah di syurga. Masya Allah! Sangat jauh kan amal kita? Layakkah kita untuk menikmati kebun dan buah yang Allah sediakan di syurgaNya kelak?
Semasa usrah sebelum ini, seorang ukhti mentadabbur kembali surah Dhuha. Menitis air mata saya. Saya rasakan gambaran Assyahid Syed Qutb mengenai surah Dhuha adalah sama dengan perasaan saya terhadap tarbiah.
Pokok pembicaraan surah ini, pengungkapannya dan pemandangan- pemandangannya, bayangan-bayangan dan nada-nada pernyataannya merupakan suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Semuanya itu adalah dituju kepada Rasulullah s.a.w. untuk menghibur dan mententeramkan hatinya. Semuanya itu merupakan tiupan bayu rahmat, bisikan kasih, perdampingan yang mesra, timangan-timangan kepada jiwa yang lesu, fikiran yang gelabah dan hati yang menderita.Moga Allah tidak menghilangkan kita dari jalan dakwah dan tarbiah ini selamanya..
Penerimaan wahyu, pertemuan dengan Jibril dan perhubungan dengan Allah, merupakan bekalan-bekalan kepada Rasulullah dalam mengharungi jalan da’wah yang sukar, merupakan air minum di panas yang terik dalam menghadapi keingkaran. Dan merupakan angin sepoi bahasa dalam cuaca panas menghadapi pendustaan kaum Musyrikin. Dengan inilah Rasulullah s.a.w. dapat hidup dalam panas terik yang membakar yang dialami beliau ketika menghadapi manusia-manusia yang liar, penderhaka dan degil, dan ketika menghadapi tipu daya, gangguan dan penindasan yang ditimpakan ke atas da’wah, keimanan dan hidayat oleh pelampau-pelampau kaum Musyrikin.
Apabila wahyu terputus seketika, maka putuslah bekalannya, keringlah matairnya dan sepilah hatinya dari kekasih, dan tinggallah beliau seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau kekasih tercinta yang biasa dini’matinya. Dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut. Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, perdampingan, kerelaan, ketenteraman dan keyakinan.
No comments:
Post a Comment