Malam tadi selepas saya melihat beberapa pesakit, saya teringatkan Makcik Napisah. Pagi semalam saya baru menziarahinya seusai waktu bekerja. Pakcik (suami makcik Napisah) ada memberitahu beberapa perkara mengenai perkembangan makcik. Cuma pada sebelah malam, saya berkesempatan untuk meneliti rekod perubatan makcik. Berada di hospital IT, Allah memudahkan urusan itu bagi saya. Saya tersentak seketika. Jam menunjukkan 12.20 pagi. Makcik telah disahkan meninggal pada pukul 11.30 malam. Allahu Akbar! Allah jualah yang menggerakkan hati saya untuk meneliti rekod perubatan tersebut.
Sesudah menyudahi urusan saya dengan beberapa pesakit, saya meminta izin seorang teman untuk pergi menziarahi makcik. Alhamdulillah jenazah belum ditolak ke bilik mayat. Pakcik tiada di sisinya. Allah memberi kesempatan untuk duduk sebentar di sisi jenazah. Saya teringatkan kata-kata seorang sahabat saat saya meminta nasihat darinya.
"Cukuplah kematian sebagai nasihat". Air mata saya menitis laju. Dzuq terasa. Kenangan bersama makcik hadir di benak minda saya.
Saya baru sahaja di bumi Johor. Saya tidak mengenali sepenuhnya akhawat di sini terutamanya di kalangan makcik-makcik. Nama makcik sering disebut oleh naqibah saya yang merupakan seorang doktor. Allah menganugerahi makcik dengan penyakit kanser peparu (lung adenocarcinoma).
Ya, penyakit itu anugerah. Di saat Allah menceritakan perihal semua nabi berkenaan dakwah, Allah membawakan kisah Nabi Ayub dengan ujiannya. Saat mentadabbur kisah nabi Ayub, saya rasakan Allah begitu mengiktiraf kesakitan. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat.
Teringat saat membaca catatan Ustazah Amani mengenai pemergian ayahnya, Ustaz Dahlan,
"Terngiang di telinga kata-kata seorang teman rapat abah dari KL semalam yang datang menziarahi abah.. ramai orang yang berjuang untuk Islam diuji dengan sakit kuat. Kita lihat sebagai ujian Allah, sebenarnya ia pilihan Allah kerana Allah kasih.., kesakitan itu kafarah , pembersih dosa-dosa. Orang yang dikasihi Allah ini.. dalam hidupnya sering berhadapan dengan sakit, bila sembuh.. dia bangun berjuang kembali, seolah Allah membersih dosa-dosa terdahulu. Kata teman abah lagi, kalaupun ia suatu penamat...Allah bersihkan dosa-dosanya sebelum kembali padaNya. Ya Allah..kata-kata teman abah cukup berbekas di hatiku."Ya, kanser peparu yang dihidapi Makcik Napisah benar-benar bukti kasih sayang Allah buatnya.
Saya pernah melihatnya saat dia mampu berbicara. Saya juga pernah melihatnya saat kansernya telah merebak ke bahagian otak, yang mana keadaan fizikalnya seperti mereka yang menghadapi strok. Dan saya masih ingat kenangan saat dalam lemahnya fizikalnya, dia memegang tangan saya. Saya sungguh terkilan kerana tidak mampu lama ketika itu. Telefon saya berbunyi. Jururawat memanggil saya ke wad semula.
Jujur saya belajar banyak perkara dari keluarga makcik Napisah. Saya belajar dari Amal, anaknya mengenai tanggungjawab seorang anak. Saya lihat Amal membersihkan ibunya. Saya lebih sebak, sedang mereka sekeluarga begitu tenang menghadapi segalanya. Kata pakcik, penerimaan mereka sekeluarga sangat baik kerana mereka ditarbiah.
Makcik adalah Ketua Wanita Ikram Kulaijaya. Ya, dia meninggal di saat kemuncak kehidupannya. Begitulah makna Surah Annasr, saat sahabat-sahabat memahami isyarat bahawa Rasulullah SAW akan pergi kerana dakwah sudah di kemuncaknya. Betapa beruntungnya makcik kerana pergi pada puncak kehidupannya.
3 minggu yang lepas, saya menghadiri mukhayyam penggerak. Lebih 140 peserta yang hadir. Perkara pertama tentang mukhayyam yang menyentuh hati saya adalah ketika solat hajat mendoakan yang terbaik untuk Makcik Napisah. Kalau saya sakit, saya tidak pasti siapa yang akan mendoakan saya. Saya sangat mengkagumi dirinya. Betapa ramai yang mendoakannya.
Ramai yang datang menziarahinya di hospital. Ex-naqibah saya dari Putrajaya juga datang menziarahinya. Kata ex-naqibah saya, makcik banyak berjuang untuk rangkaian tadika Amal yang merupakan tadika Islam dan begitu banyak lagi sumbangan makcik pada dakwah ini.
Saat menziarahi makcik, banyak mutiara nasihat yang diberikan pakcik. Kita manusia perlu berbuat sebaiknya dengan hayat yang Allah berikan kerana satu masa nanti servis kita juga akan tamat. Bgitulah hakikat kehidupan yang singkat ini. Kata pakcik, melihat mereka yang sakit adalah tazkirah buat kita yang masih hidup.
Semalam saat mengucapkan takziah pada pakcik, pakcik katakan dia tidak menyesal sedikit pun. Mereka sempat saling bermaafan sebelum makcik pergi dan berbual mengenai suka duka perjuangan mereka. Masya Allah! Pengakhiran yang sangat baik pastinya. Jannah pasti buat makcik kerana suami meredhai. Moga Allah mengurniakan syurgaNya yang tertinggi buat makcik. Mudah-mudahan perjuangan makcik membangkitkan himmahnya buat kita juga.
Artikel lain berkenaan makcik:
Ukhti Napisah dalam kenanganA mother to all