Insya Allah, hari ini kita tadabbur satu ayat Quran. Ayat yang mengingatkan saya pada Rasulullah SAW. Ayat yang mengingatkan kecintaan kita pada Rasulullah SAW. Dan ayat yang membuatkan saya terbayangkan andainya Rasulullah SAW ada bersama saya saat ini…
Ayatnya adalah ayat 21 Surah AlAhzab. Kita biasa mendengar ayat ini semasa sambutan Maulidurrasul .
Tadabburlah Surah Ahzab. Kisah tentang peperangan yang agung. Kisah tentang suasana cemas yang perlu dilalui oleh para Muslimin. Tiba-tiba dalam suasana cemas itu, Allah turunkan ayat ini. Kenapa eh? Kenapa di tengah-tengah gambaran suasana peperangan?
21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.”
Sebabnya dalam suasana yang sangat dahsyat, super duper stress itu pun, sahabat dapat melihat akhlaq Rasulullah SAW yang sangat hebat.
Dalam keadaan stress, saat itulah kita mengenal diri sendiri. Akhlaq kita yang sebenar-benarnya terlahir dalam keadaan stress.
Kehidupan saya kini sangat menekan. Kehidupan di hospital tersebut begitu menguji iman dan kesabaran saya. Seringkali saya tewas... Saya juga belajar mengenai manusia lain. Saya belajar personaliti doktor pakar dan MO saya dalam keadaan yang sungguh menekan itu. Jururawat yang sangat ayu pun jadi tak ayu dalam keadaan tersebut.
Begitu juga seorang daie.. Kita kenal akhawat kita dengan sebenarnya dalam suasana yang penuh tekanan kan?
Sedang Rasulullah SAW berjaya maintain malah akhlaqnya lebih sempurna dalam keadaan yang sangat cemas tersebut. Kalau kamu nak faham ayat tersebut, kena kaji habis kisah peperangan Ahzab.. Keadaan tersebut bukan perihal menyelamatkan nyawa di hospital, tapi suasana menyelamatkan Islam. Bilangan musuh ketika itu boleh menghancurkan umat islam sehabisnya... Bayangkan...
Terkadang saya membayangkan dalam kehidupan saya, andai Rasulullah SAW bersama saya... Bagaimana ye Rasulullah SAW seandainya dia seorang doktor pakar/ MO/ murabbi? Aku terlalu merinduimu, ya Rasulullah... Terbayang bagaimana Rasulullah SAW juga menggali parit ... Terbayang mereka menyanyikan sajak bersama-sama..
Saya copy paste tafsir zilal mengenai ayat ini...
Itulah keadaan orang-orang Munafiqin dan orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hati mereka, juga gambaran penyebar- penyebar khabar angin. Itulah gambaran mereka yang buruk, tetapi malapetaka kesusahan dan ketakutan tidak mengubahkan semua manusia kepada gambaran yang buruk itu, malah di sana ada golongan yang berseri-seri gemilang di tengah suasana yang gelap itu, hati mereka begitu tenang di tengah-tengah kemelut itu.
Mereka penuh percaya kepada Allah dan redha dengan qadha’ Nya. Mereka yakin mendapat kemenangan dari Allah selepas melalui segala keadaan yang cemas dan nanar ini.
Al-Quran memulakan gambaran golongan yang berseri-seri gemilang itu dengan menyebut Rasulullah s.a.w.:
21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.”
Walaupun di dalam suasana yang amat mencemas, susah dan letih lesu ini, namun Rasulullah s.a.w. tetap merupakan sumber keamanan, keyakinan, harapan dan ketenangan kepada kaum Muslimin.
Pengkajian terhadap sikap Rasulullah s.a.w. di dalam menghadapi peristiwa peperangan al-Ahzab yang besar ini boleh memberi pedoman dan panduan kepada para pemimpin jama’ah dan pergerakan (da’wah Islamiyah). Ia memberi contoh tauladan yang baik kepada mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan yang baik pada hari Akhirat, juga kepada mereka yang menunjukkan contoh yang baik dan mengingati Allah tanpa melupakan-Nya.
Eloklah kita mengetahui serba sedikit tentang sikap Rasulullah s.a.w. ini sebagai contoh, kerana kita tidak dapat menghuraikannya dengan terperinci di sini.
Rasulullah s.a.w. keluar menggali parit pertahanan bersama-sama kaum Muslimin. Beliau memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok dan mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang.
Beliau turut menyanyikan sajak bersama mereka dengan suara yang tinggi semasa bekerja. Mereka menyanyikan sajak-sajak yang bersahaja yang digubah dari kejadian-kejadian yang berlaku. Misalnya ketika itu ada seorang Islam bernama Ju’ayl. Rasulullah s.a.w. tidak sukakan nama ini, lalu mengubahkannya kepada nama ‘Amr. Lalu orang-orang Muslimin yang berkerja menggali parit itu mendendangkan beramai-ramai sebuah sajak mengenainya yang bersahaja:
Samma min ba’di Ju’ayl amran ... amran, wa kana lil baisi zahran.... zahran...
Beliau menukar namanya
Dari Juayl kepada Amr
Setiap hari ada sahaja
Beliau menolong si malang derita
Apabila mereka mendendangkan kata-kata “Amr”, Rasulullah s.a.w. turut meningkah ‘Amran’. Begitu juga apabila mereka mendendangkan katakata "Zah" beliau turut meningkah “Zahran”. (cutenya Rasulullah SAW..)
Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah s.a.w turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok-penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan sajak ini bersama-sama mereka. Di sini juga dapat kita gambarkan bagaimana hebatnya suasana mesra ini melepaskan tenaga dan semangat di dalam jiwa mereka, mencurahkan perasaan sukarela, keghairahan, keyakinan dan kebanggaan di dalam hati mereka.
Ketika itu Zaid ibn Thabit berada dalam kumpulan yang bertugas mengangkut tanah. Rasulullah s.a.w. telah memujinya, “Dia seorang belia yang amat bagus”. (Pada suatu hari) dia mengantuk dan terus tertidur di dalam parit. Udara ketika itu sangat dingin, lalu ‘Umarah mengambil senjatanya tanpa disedarinya. apabila dia tenjaga dia terkejut, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Ruqad (pak tidur) Engkau tidur hingga senjata engkau hilang entah ke mana.” Kemudian beliau bertanya: “Siapa tahu di mana senjata anak muda ini? Jawab ‘Umarah, “Wahai Rasulullah s.a.w.! Senjatanya ada pada saya. Ujar beliau: “Pulangkan senjata itu kepadanya.”
Kemudian beliau melarang mereka supaya jangan menakut-nakutkan orang-orang Islam dan bergurau dengan mengambil barang-barang kepunyaan mereka.
Peristiwa ini menggambarkan betapa mata dan hati Rasululiah s.a.w. sentiasa waspada dan ingat kepada setiap orang yang ada di dalam barisan perjuangan sama ada muda atau tua, juga menggambarkan semangat gurau senda yang manis dan mesra (sebagaimana tersemat dalam kata-kata beliau kepada Zaid ibn Thabit): “Wahai Abu Ruqad! (pak tidur) Engkau tidur hingga senjata engkau hilang entah ke mana”. Pada akhirnya peristiwa ini juga menggambarkan keadaan suasana mesra, di mana kaum Muslimin hidup di bawah naungan Nabi mereka dalam masa yang amat genting itu.
Di samping itu semangat perjuangan Rasulullah s.a.w. sentiasa melihat kemenangan dari jauh hingga beliau nampak kemenangan itu di dalam cahaya-cahaya api yang tercetus dari batu-batu yang terkena hayunan cangkul, kemudian beliau ceritakannya kepada kaum Muslimin untuk membangkitkan keyakinan dan kepercayaan di dalam hati mereka.
Ujar Ibn Ishaq: Aku telah diceritakan dari Salman al-Farisi katanya “Aku sedang mencangkul di suatu sudut parit itu, tiba-tiba satu batu yang keras menyusahkan cangkulku. Rasulullah s.a.w. berada berhampiran denganku. Apabila beliau melihat aku mencangkul dan melihat tempat itu amat keras dan sukar kepada aku, beliau pun turun dan mengambil cangkul dari tanganku lalu beliau cangkulkan tempat itu dengan cangkulan yang kuat hingga terpercik cahaya api, kemudian beliau mencangkul sekali lagi dan cahaya api terpercik pula sekali lagi.
Kemudian beliau mencangkul bagi kali yang ketiga dan sekali pula cahaya api itu terpercik”. Ujar Salman: Aku pun berkata: “Demi ayah bondaku, apakah cahaya yang aku nampak terpancar ketika anda mencangkul itu. Sabda beliau “Engkau nampak cahaya itu, wahai Salman?” Jawab dia, “Ya, saya nampak”. Sabda beliau: “Cahaya api pertama itu mengalamat bahawa Allah akan memberi kemenangan kepadaku mena’luk negeri Yaman, cahaya yang kedua pula mengalamatkan bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada aku mena’luk negeri Syam dan negeri sebelah Barat dan cahaya yang ketiga mengalamatkan bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada aku mena’luk negeri sebelah Timur”.
Tersebut di dalam kitab “ إمتاع الأسماع ” karangan al-Maqrizi bahawa peristiwa ini adalah berlaku kepada ‘Umar ibn al-Khattab dengan disaksikan oleh Salman al-Farisi r.a.
Pada hari ini dapatlah kita gambarkan betapa hebatnya pengaruh kata- kata beliau itu di dalam hati kaum Muslimin yang sedang dikepung oleh serangan musuh itu.
Di samping cerita-cerita Rasulullah s.a.w. yang gemilang itu dapatlah pula kita tokokkan dengan cerita Huzayfah yang pulang dari tugas meninjau keadaan bala tentera gabungan. Dia sedang dalam keadaan yang amat sangat sejuk, sedangkan Rasulullah s.a.w. ketika tu sedang mendirikan solat dengan berselimutkan kain lepas panjang salah seorang isterinya. Tetapi walaupun beliau sedang bersembahyang dan berhubung dengan Allah, namun beliau tidak membiarkan Huzayfah menggelentar kesejukan hingga beliau selesai sembahyang, malah beliau menarik Huzayfah di antara dua kakinya dan campakkan hujung kain lepas itu kepada Huzayfah supaya dia berselimut dengannya sementara beliau meneruskan sembahyangnya hingga selesai, lalu Huzayfah pun menyampaikan berita (pergerakan angkatan musuh) itu kepada beliau. Di menyampaikan berita gembira itu kepada beliau yang telah pun mengetahui berita itu dengan hatinya. Kemudian beliau mengirim Huzayfah untuk menghebohkan berita ini kepada kaum Muslimin,
Cerita-cerita mengenai keberanian Rasulullah s.a.w., ketabahan dan kecekalan beliau dalam menghadapi keadaan yang ganas itu adalah jelas di sepanjang kisah peperangan itu. Kita tidak perlu lagi menyalinkan ceritacerita itu di sini kerana ia sangat masyhur.
Amatlah tepat firman Allah S.W.T.:
21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.
1 comment:
Post a Comment