Wednesday, November 02, 2011

Fasabrun jamil..

Semalam adalah antara hari yang sangat teruk bagi saya sepanjang bergelar house officer (HO) di hospital. Semalam saya oncall pertama kali di wad lelaki orthopaedic. Sebelum ini saya di wad perempuan. Kesabaran saya teruji dengan sehabisnya. Ramai HO yang tidak pass over case. Pukul 4.30 petang, saya perasan ada pesakit yang masih belum ada am review lagi. Dan saya yang perlu menyiapkan kerja-kerja mereka. Ya rabb..

Dan semalam saya perlu menjaga dua orang pesakit remaja berumur 14 dan 16 tahun di wad yang sangat biadab.

Hari sebelumnya, saya bertemu dengan seorang makcik berumur 73 tahun yang tidak berkahwin. Saat melihat kesukaran makcik tersebut, saya mohon pada Allah dipertemukan dengan jodoh yang baik. Namun saat saya melihat dua orang remaja tersebut, saya rasakan ada hikmahnya Allah belum mentakdirkan perkahwinan bagi saya. Saya rasa saya tidak mampu mendidik anak sebegitu. Cuma saat saya menghadam marsum maya di peti inbox, membaca perkhabaran ikhwah akhawat yang dikurniakan cahaya mata, saya tahu hanya Baitul Muslim sahaja jawapan semuanya. Itulah jalan yang paling selamat. Moga Allah mentakdirkan jalan hidup yang indah buat saya, kalau bukan di dunia, di akhirat pastinya.

Remaja berusia 14 tahun tersebut melafazkan semua perkataan yang tidak sepatutnya. Saat mahu mencucuk brannula, ditepisnya tangan saya. Dia patah tulang femur, tibia dan fibula. Saat mahu memasang backslab dan calcaneal pin juga adalah ujian buat saya. Memang naik jugalah suara. Pada mulanya, ibu pesakit bekerjasama. Tetapi di sebelah petangnya, dia mula marah-marah. Memberontak kerana anaknya sudah berpuasa semenjak hari sebelumnya. Si anak perlu berpuasa 24 jam kerana mahu mengawasi simptom gegaran di otak. Dan kemudiannya perlu sambung berpuasa untuk pembedahan. Dia perlu dibedah segera untuk mengelakkan komplikasi seperti fat embolism yang mana lemak yang keluar dari tulang yang patah boleh pergi ke peparu dan organ lain dan mengakibatkan hatta kematian.

Kawan HO saya yang akhirnya membantu menerangkan pada ayah pesakit. Dalam hati kecil saya, mak borek, anak rintik. Memang sangat biadap. Sebelah petangnya, saat saya review pesakit lain, si anak memanggil saya dengan sangat biadap. Ya rabb..

Saat semua ini berlaku, saya tertanya-tanya hikmahnya. Setiap hari saya bangun awal, berdoa agar Allah memudahkan kehidupan saya. Dan saya ke hospital juga awal, cuba melakukan yang terbaik. Dan Allah punya jawapannya..

Hari ini saya off. Dan pagi tadi adik saya membuka satu video tazkirah yang indah. Dan itulah jawapan kepada semua persoalan yang saya ajukan pada Allah. Dan saya menangis hiba. Saya tidak akan faham ayat-ayat Allah tersebut andai tidak diuji sebegitu. Dan bila Allah anugerahkan kefahaman terhadap AlQuran, itulah nikmat yang tak terkira.

Allah mengajar saya tentang parenting dari Surah Yusuf. Masya Allah! Selama ini saya membaca surah tersebut sebagai satu cerita semata-mata. Tetapi sentuhan Allah terlalu bermakna. Saya lihat komunikasi yang berlaku antara remaja tersebut dengan si ibu. Si ibu sebolehnya mahu mendiamkan anak. Saat si anak mahu motorsikal, dia belikan. Saat si anak lapar, dia turuti hasrat anaknya. Kalau si anak boleh diam, itu lebih baik. Dan semua ini berlaku dalam realiti hari ini. Belikan anak computer, IPhone, IPad dan yang sewaktu dengannya agar si anak boleh hidup dalam dunia mereka dan tidak menganggu ibu bapanya.

Tapi cantik sangat kisah yang Allah ceritakan dalam Surah Yusuf saat Nabi Yusuf yang masih kecil tersebut mampu menceritakan hatta mimpinya kepada si ayah, Nabi Yaakub. Ayat 4 tersebut sangat indah. Dia memanggil ayahnya, “Ya Abati”. Panggilan yang penuh hormat dan penuh kasih sayang – wahai ayahku yang aku sayangi. Awak pernah jumpa mana-mana anak melafazkan kata-kata yang sebegitu pada ayah mereka? Dan dia ceritakan mimpinya. Dan cute sangat, ada ulangan raaitu dua kali. Macam kanak-kanak. Dia akan mengulang-ulang kata-katanya – saya nampak itu, saya nampak ini. Dan Yusuf a.s mampu interpret mimpinya saat dia katakan semuanya sujud kepadanya. Sebabnya kalimah sajidin digunakan untuk benda yang berakal. Dia dah tahu maksud mimpinya. Dan si ayah mendengar dengan sebaiknya.

Dan Yaakub a.s melihat potensi yang ada pada si anak. Dan dia memberi motivasi dalam ayat keenam tersebut. Dia mengaitkan segalanya dengan Allah, menanam aqidah yang benar dalam diri si anak. Memberi keyakinan pada si anak. Dan akhirnya kamu lihat akhirnya saat Yusuf a.s menjadi seorang pemimpin. Siapa yang pertama-tamanya menanam keyakinan yang sebegitu dalam diri Nabi Yusuf a.s? Bapanya sendiri…

Dan dalam ayat ketujuh, Allah memberitahu bahawa pada Yusuf a.s dan saudaranya ada pengajaran. Kenapa bukan hanya pada Yusuf a.s? Kenapa pada saudara-saudaranya juga? Kerana kamu boleh menjadi hatta seorang Nabi Allah, namun kamu berhak diuji dengan anak sebaik Yusuf a.s dan anak yang kurang baik seperti saudara-saudara Yusuf a.s. Cerita ini membuktikan segalanya di tangan Allah. Hidayah hanya di tangan Allah. Saya bukan anak yang baik. Ada sahaja kesilapan yang saya lakukan terhadap kedua ibu bapa saya. Dan salah satu faktor saya takut dengan perkahwinan adalah kerana saya takut diuji dengan ujian anak. Tapi itulah kehidupan. It is life long mujahadah untuk menjadi yang terbaik. Dunia memang tidak sempurna dan itulah dunia. Di syurga Allah sahaja ada segala kesempurnaan. Dan kita minta pada Allah untuk membantu kita bermujahadah.

Dan part yang paling menyentuh hati saya, saat saudara-saudara Yusuf a.s meninggalkan Yusuf a.s di sumur dan kemudiannya membawa baju Yusuf a.s yang diletakkan dengan darah palsu. Apa yang Yaakub a.s katakan saat itu? Bayangkan kita seorang ayah dan anak kita buat hal seperti itu. Saat saya berdepan dengan remaja tersebut, saya rasa macam nak tampar-tampar je. Dalam hati, kalau fat embolism berlaku baru adik ini akan berubah agaknya. Dan baru mak dia akan faham. Astaghfirullah.. Sememangnya kesabaran saya teruji sangat semalam.
Dan kamu tahu apa yang Yaakub a.s katakan? Fasabrun jamil, wallahul musta’an. Sesungguhnya sabar itu cantik, dan kepada Allah sahaja tempat memohon pertolongan. Menangis baca ayat ini. Saya tidak dapat bayangkan kesabaran Yaakub a.s. Sabar dia bukan sehari dua. Bertahun-tahun sehingga buta matanya kerana menangis.

Dan memang benar remaja adalah ujian yang sangat besar. Adakalanya diam lebih baik. Sabar lebih indah saat mahu berkomunikasi dengan mereka. Ya rabb, berikanku kesabaran..

Saya tidak pernah menyoroti kisah ini dengan hati. Tapi saat membacanya dengan hati, masya Allah terlalu besar hikmahnya. Teringat kisah saat Saidatina Aisyah difitnah, dia mengungkapkan kata-kata Yaakub a.s tersebut. Kata-kata tersebut pada saya diucapkan oleh mereka yang menahan kesabaran yang sangat tinggi.

Saidatina Aisyah berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.

Dan di akhir kisah, kesemuanya indah. Walau bertahun-tahun, pasti ada yang indah. Moga Allah terus mengurniakan kesabaran buat kita. Ampunkan diri ini ya rabb di atas semua khilafku..

2 comments:

Umairah. said...

assalamu'alaikum.

subhanallah, sgt indah, akak.
sgt indah.

subhanallah, ats ilham yg Allah beri buat akak. sungguh2 bermakna.

penguat motivasi diri yg sdg dirasakan melemah.

mg akak kuat, sy kuat, kita kuat, muslim dan mukmin di mana2 juga kuat.

Allahhu Musta'an.

salam mujahadah buat akak. mg Allah mprmudahkan urusan akak. selalu, selalu, dan selalu. :)

amin3.

Bersama Dakwah Islam said...

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

banyak ilmu yang saya dapatkan disini, khususnya yang aku baca saat ini tentang Fasabrun jamil, terimakasih dab salam ukhuwah wahai sauadaraku.