Tuesday, August 31, 2010

'Terbaik'...

Esok atau Khamis exam. Saya dapat examiner yang saya benar-benar tidak mahu. Cuma doa saya selalunya agar Allah mentakdirkan yang terbaik. Terbaik dari sisiNya dan terbaik buat saya juga. Examiner tersebut pastinya yang terbaik buat saya. Yakin bahawa Allah mengabulkan doa hambaNya. Moga Allah memberi kes yang terbaik bagi saya untuk exam nanti.

Tentang hal-hal 'terbaik', pernah saya berbual dengan seorang ukhti. Berbincang tentang pelbagai perkara yang menyakitkan saya. Bicaranya yang saya ingat sehingga kini mengenai jalan yang saya pilih benar-benar melegakan sedikit sebanyak dilema yang saya hadapi.

"Sampai bila-bila pun kita tidak tahu jalan mana yang terbaik. Tapi jalan tersebut pastinya jalan yang terbaik yang Allah tentukan buat kita, walau ia bukan yang terbaik zahirnya".

Entahlah, ia menyakitkan hatta sehingga kini. Ia tetap berdarah sehingga kini. Tapi saya terpaksa melupakan kerana kerja yang ada terlalu banyak. Semalam seorang adik berbicara. Mahu bereksperimen dulu katanya. Nanti di akhirnya dia akan memilih.

Saya tidak pasti sama ada suatu ketika dulu saya pernah berniat untuk bereksperimen atau tidak. Yang pasti, sejak dulu saya mahu bekerja. Bagai biji benih, dicampak di mana pun dakwah ini perlu berjalan. Dan jujur, saya tidak pernah mengingini semua ini terjadi. Tidak pernah sesekali. Sehingga kini saya belum melihat hikmahnya. Seperti bicara Assyahid Syed Qutb, "Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat". Dan saya belum melihat pelangi di sebalik hujan yang menitis. Saya pasti, pelangi itu akan muncul dalam hidup saya. Saya yakin Allah mentakdirkan yang terbaik untuk hambaNya dalam posisi apa sekalipun.

Takdir Allah saya lebih memahami jalan ini. Memahami fikrahnya sebaiknya. Takdir Allah juga yang menentukan perjalanan hidup saya yang mana saya perlu memilih akhirnya. Dan saya memilih jalan ini. Barangkali ada yang menyangka bahawa saya mengikuti fikrah ini kerana figur-figur yang ada di tempat pengajian. Tidak!

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Surah Ali Imrah: 79)

Dengan tarbiah, kita diharapkan menjadi orang-orang yang Rabbani, sempurna taqwa dan ilmunya kepada Allah. Tarbiah bukan membentuk kita menjadi orang yang figure-oriented. Tapi figur, murabbi dan lainnya bagi kita hanyalah saranan. Jangan sehingga figur lebih dominan daripada nilai. Masyarakat Yathrib telah membuktikannya. Mereka telah memeluk Islam sebelum bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika sampai di Madinah, mereka bahkan tidak tahu, mana satu Rasulullah SAW dan mana satu Abu Bakar!

Dan saya benar-benar memahami jalan ini. Saya adalah tunas yang baru mahu berputik. Saya nekad. Pilih satu dan terus bekerja. Alhamdulillah, adik-adik kandung saya juga mengikuti jalan ini. Keadaan dakwah di bumi Johor kelak seusai urusan pengajian juga lebih positif seandainya saya di jalan ini.

Semalam juga saya berpesan pada adik tersebut, "Tiada gunanya dik bereksperimen. Kamu akan keliru. Pilihlah satu jalan dan beristiqamahlah. Usah membazir masa dengan bereksperimen kerana kerja yang menanti ummah begitu banyak".

Kerja dan terus bekerja. Prinsip dakwah itu mudah, biarlah amal yang membuktikan siapa kita.

Mungkin pilihan saya menyakiti hati sebahagian yang lain. Dan di sebalik semuanya, hal ini juga menyakitkan saya dan saya sedang menjahit lukanya. Lupakan saya dan bekerjalah. Yakinlah, Islam akan menang. Dan setiap dari kita sedang bekerja ke arah kemenangan Islam. Hakikatnya kita tetap sama. Disatukan di atas aqidah. Ukhwah tidak dipisahkan kerana jalan yang berbeza.

Di sebalik semuanya, saya pasti Allah berkerja dan mentadbir semuanya dengan cintaNya. Dan Dialah sebaik-baik sandaran untuk mengadili semuanya. Allahu A'lam.

No comments: