Sunday, August 15, 2010

'Baju'...

Kerja masih banyak, tapi masih sempat update blog. Takpe, untuk merelakskan diri dan fikiran. Semalam kelas yang best. Saya terhutang budi pada pasangan suami isteri yang mengajar saya dan kawan-kawan tanpa mengharapkan balasan. Dr R dan Dr S adalah ikon saya. Jujurnya berkali-kali saya rasa berputus asa belajar dalam bidang perubatan. Terlalu banyak air mata yang tumpah. Tapi bila saya fikirkan pasangan suami isteri ini, saya jadi bersemangat kembali.

Saya benci pensyarah yang marah dan tidak sabar dengan karenah pelajar. Cuma saya sabarkan diri. Mereka guru saya. Setiap kali dimarahi, saya akan mengingati Dr R dan Dr S dan saya akan termotivasi kembali. Saya mahu jadi seperti mereka. Kelas yang sangat best. Tidak takut langsung. Gembira sahaja pergi kelas. Dr S keguguran sebanyak 5 kali. Tapi keikhlasan hati mereka mengajar kami dan kebaikan mereka yang tidak mampu diceritakan, Allah mengurniakan mereka cahaya mata setahun yang lalu.

Jujur menjadi pakar dalam karier perubatan bukan lesen bergelar guru. Itu persepsi saya. Terlalu banyak pakar yang ingin mengajar tapi mereka bukan seorang guru. Marah tak pasal-pasal. Tidak menerima penjelasan. Ada yang tidak ingin pelajar bertanya. Ada yang tak mahu melihat draf kerja pelajar. Katanya, tidak mahu overload. Tapi tidak dengan Dr R dan Dr S.

Kedua-duanya tidak pernah mengambil upah mengajar pun. Mereka sanggup mengajar pada hujung minggu. Mereka sanggup menyediakan slide dan case yang best. Saya suka mendengar kisah hidup mereka. Dari bergelar pelajar sehingga kini. Antara guru yang selalu hadir dalam doa saya adalah mereka. Semasa Dr S ingin bersalin, saya berdoa dengan sepenuh hati untuk keselamatan dirinya dan bayi. Saya terlalu menyayangi mereka cuma saya tak pandai menzahirkan. Tidak pernah berbual rapat atau pergi ke rumah mereka walau mereka terlalu mengalu-alukan kedatangan kami. Entahlah. Cuma yang pasti doa saya untuk mereka adalah pasti. Saya sememangnya terhutang budi seumur hidup pada mereka. Hanya Allah yang berhak membalas jasa mereka. Moga Allah mengurniakan syurga terindah buat mereka berdua.

Saya mahu bercerita hal lain sebenarnya. Semalam Dr R ajar tentang Guillain–Barré syndrome. Kami belajar mengenai saraf. Kata Dr R, myelin sheath adalah ‘baju’ untuk saraf sama seperti lapisan pericardium untuk jantung ataupun lapisan pleura untuk peparu.

Terdetik kekaguman saya pada kuasa Allah. Hebatnya Allah mencipta organ dalaman manusia. Dia menciptakan ‘baju’ untuk melindungi organ dalaman kita. Hatta saraf yang halus itu juga punya baju.

Di atas segala keunikan dan kehebatan ciptaan kita, Allah hanya mendamba agar kita mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Di antara perintahNya adalah menutup aurat. Seandainya kita tidak mematuhinya, sedikit pun hal itu tidak member efek pada Allah. Malah anjuran itu kebaikannya adalah untuk diri kita sendiri.

Di saat Allah menciptakan dan menutup organ dalaman kita dengan ciptaanNya yang hebat, ayuh mentaati Allah untuk menutupi luaran fizikal kita pula. Mudah-mudahan Allah redha dengan kita.

Insya Allah, Ramadhan ini pastinya bulan terbaik untuk melakukan perubahan. Jom tutup aurat dengan sempurna.

No comments: