Friday, April 02, 2010

Khalil...

Seringkali saya menerima invitation dari teman untuk menggunakan Facebook. Alhamdulillah, saya telah meninggalkan dunia Friendster. Ada satu lagi azam saya iaitu meninggalkan dunia YM, cuma agak sukar kerana kebanyakan perbincangan dengan sahabat-sahabat adalah menerusi YM. Kadangkala kerana nak jimat kredit handphone, saya senang juga menggunakan YM untuk menghantar SMS messages.

Berbicara mengenai metod perhubungan yang ada di alam maya ini, suka saya berkongsi tadabbur dari Surah Furqan bermula dari ayat 27-31.

وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَـٰلَيۡتَنِى ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلاً۬ (٢٧) يَـٰوَيۡلَتَىٰ لَيۡتَنِى لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِيلاً۬ (٢٨) لَّقَدۡ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّڪۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَآءَنِى‌ۗ وَڪَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِلۡإِنسَـٰنِ خَذُولاً۬ (٢٩) وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِى ٱتَّخَذُواْ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورً۬ا (٣٠) وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّ۬ا مِّنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ‌ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيً۬ا وَنَصِيرً۬ا (٣١)


[27] Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?

[28] "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!

[29] "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".

[30] Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

[31] Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).


Ayat ini adalah gambaran manusia pada hari akhirat. Dan Allah menggambarkan bahawa mereka yang melakukan kesalahan ini akan menggigit jarinya, wa yauma ya’addhuzzalimu ‘ala yadaihi. Bila biasanya kita melakukan perbuatan seperti menggigit jari? Selalunya kita melakukannya tanpa sedar. Dan di hari akhirat kelak, kita melakukannya tanpa sedar kerana ketakutan yang amat. Cuba bayangkan seketika seandainya kita melihat rumah kita terbakar atau saat menerima berita kematian seseorang, masya Allah perasaannya sukar digambarkan, bukan? Cuba bayangkan seketika di saat kita berhadapan dengan Pencipta kita, berhadapan dengan Allah yang Maha Besar? Katakutan yang tidak mungkin mampu kita bayangkan.

Dan dalam keadaan kita menggigit jari itu, kita spontan mengucapkan sesuatu. Allah menggunakan kalimah yalaitani. Ada tiga perkataan di dalam yalaitani- ya, laita dan ni. Ya selalunya kita gunakan saat mahu berbicara, nak address someone, dan dalam satu keadaan yang lain di saat kita menggambarkan kesedihan dan keperitan perasaan yang amat sepertimana yang digambarkan dalam ayat ini. Laita digunakan dalam bahasa Arab apabila kita mengungkapkan penyesalan, cries over spilled milk. Kita sudah pun melakukan kesalahan dan kita perlu berhadapan dengan Allah. Bayangkan seketika penyesalan itu. Dan Allah gunakan kalimah ni yang menunjukkan bahawa diri mereka sendiri yang rugi.

Kenapa rugi? Kerana mereka tidak mengambil jalan rasul. Allah menggunakan kalimah ittahaza dan bukan ahaza (mengambil sesuatu). Ittahaza maksudnya mengambil sesuatu dengan sepenuh hati, addicted to it, hold to it, and love it.Allah pernah gunakan kalimah ini saat menerangkan mengenai Bani Israel yang mengambil patung lembu sebagai sembahan mereka. Allah menekankan bahawa mereka mengambil patung tersebut dengan penuh kecintaan di dalam Surah Baqarah ayat 92.

Kalau kita lihat semula penggunaan kalimah ittahaza dalam ayat ini dan kita fikirkan sejenak, pasti akan timbul satu perasaan ketakutan yang dalam diri. Kerana mungkin boleh jadi kita sebenarnya yang diungkapkan oleh ayat Allah itu. Sebabnya ayat itu bukan kata tidak beriman yang merujuk kepada orang kafir, sebaliknya kepada mereka yang percaya tapi tidak mengambil sepenuhnya jalan rasul. Tidak mencintai sepenuhnya jalan ini.

Dalam ayat seterusnya, Allah gunakan kami yawailata, penyesalan yang amat sekali, dia menangisi dirinya. Kalau dalam ayat sebelumnya kerana tidak mencintai jalan rasul ini, dalam ayat seterusnya penyesalan tersebut kerana kawan. Ada kesinambungan dalam kedua-dua ayat kerana selalunya kita tercicir dari jalan rasul kerana mengikut tarikan teman lain yang kita rasakan menarik. Dan dalam dunia hari ini, ada dua jenis sahabat. Satu yang sering kita temui, dan keduanya adalah kawan di alam virtual (alam maya) seperti di Facebook, Myspace, Xbox, Friendster,YM dan lainnya. Dan tanyakan dengan penuh kejujuran, benar atau tidak bahawa semua hal itu mungkin sahaja melarikan kita dari jalan rasul? Berapa jam sehari kita habiskan masa kita dengan semua ini? Adakah di saat kita terbangun di tengah malam, kita pergi bertemu dengan Allah terlebih dahulu atau menatap Facebook atau YM kita? Tiada pergaulan bebas ke dalam semua itu? Berani ke kita menjamin bahawa tiada zina mata dan hati di dalam semua itu? Dan dalam ayat ini Allah ungkapkan penyesalan seseorang itu kerana mengambil ‘fulanan’ yang boleh merujuk apa sahaja yang menjauhkan dirinya dari jalan rasul sebagai khalil (teman). Kita akan menyesal di hadapan Allah, “Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku tidak mengambilnya semua ini sebagai teman”.

Apa yang dilakukan oleh khalil (teman) ini? Dia menyesatkan kita dari Azzikr. Ijma’ ulama’ mengatakan bahawa Azzikr dalam ayat ini merujuk kepada Quran. Kalau dalam ayat 27, teman ini menjauhkan kita dari jalan rasul, maka dalam ayat 29, dia menjauhkan kita dari AlQuran. Dan tragedi yang paling besar adalah ba’da izjaani. Kita jauh dari Quran ini sesudah Quran ini datang kepada kita sebenarnya. Mungkin pada mulanya kita boleh salahkan teman-teman kita kerana menyesatkan kita, tetapi kita tersedar saat itu bahawa AlQuran ini pernah datang kepada kita sebelum ini. Nauzubillah, tragedi yang sangat dahsyat. Malu sangat di hadapan Allah.

Dan kemudian kita tersedar satu lagi perkara. Wa kanassyaitani lilinsani khazula. Kita tersedar bahawa syaitanlah pengkhianat sebenarnya. Kawan-kawan kita hanyalah wasilah yang syaitan gunakan untuk menyesatkan kita sebenarnya. Hakikatnya dialah musuh durjana. Dan Allah describe syaitan ini dalam ayat ini sebagai khazula. Apa beza khazula dan ‘aduwwa? ‘Aduwwa adalah musuh, tapi khazula adalah mereka yang berpura-pura seperti seorang sahabat, membawa kita ke lubang kehancuran, dan bila kita dah terjatuh ke dalam lubang kehancuran itu, dia pun pergi. Kurang ajar sangat syaitan ini! Khazula adalah darjat tertinggi seorang pengkhianat, dia melakukan pengkhianatan di atas pengkhianatan. Kita tidak sedar pun penipuan itu sehingga masanya begitu lewat bagi kita. Dan paling menyedihkan, kita tersedar semua itu kat kiamat, terlewat yang amat.

Dalam ayat ke-30 pula, Allah ceritakan bicara Rasulullah SAW. Dan kita pun tahu bahawa Rasulullah SAW adalah satu-satunya insan yang boleh memberikan syafaat di hari kiamat dengan izin Allah seperti yang ada di dalam ayat Kursi (biiznihi) dan kita sering mengharapkan bahawa kita juga memperoleh syafaat dari Rasulullah SAW. Tapi kita terlupa bahawa ada dua testimoni yang boleh Rasulullah SAW berikan. Satu adalah testimoni kebaikan yang menjauhkan ummahnya dari azab Neraka dan satu lagi keburukan yang mana Rasulullah jatuhkan ke atas segelintir golongan. Bayangkan Rasulullah SAW yang merupakan kekasih Allah memberi testimoni yang tidak baik untuk kita. Adakah kita berpeluang untuk menang di makhamah Allah? Adakah kita berpeluang untuk mendapat peguambela saat itu? Bagaimana untuk berhadapan dengan hakim iaitu Allah azzawajallah saat itu? Inilah yang tergambar di dalam ayat 30. Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". Mahjura di sini berasal dari kalimah hajarah, kita berhijrah dari AlQuran, kita menjauhi AlQuran. Nauzubillah..

Mungkin kita tidak terasa sangat dengan ayat itu. Kita rasa mungkin ayat itu untuk orang kafir. Tapi kalimah yang digunakan adalah qaumi (kaumku). Rasulullah SAW tidak gunakan qaumi untuk orang kafir setelah Surah AlKafirun diturunkan. Dalam surah AlKafirun, Allah tidak gunakan ayat – Qul ya qaumi, tapi qul ya ayyuhal kafirun. Maka qaumi dalam ayat ini mungkin sahaja merujuk kepada kita. Nauzubillah.. Sedih kan bila Rasulullah SAW sebut di hadapan Allah bahawa kita telah meninggalkan Quran. Sedih sangat..

Dalam dalam ayat seterusnya, Allah sebut bahawa bagi setiap nabi ada musuhnya. Kita pun tertanya-tanya siapa musuh itu. Jawapannya ada dalam ayat sebelumnya. Barangkali kita. Iaitu mereka yang jauh dari jalan rasul, yang mengabaikan Quran ini, yang mengikut jalan syaitan. Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa sampai begitu sekali penekanan dan tegasan ayat-ayat Allah, bukan? Kenapa sampai orang yang meninggalkan jalan rasul dan Quran ini boleh menjadi musuh bagi nabi? Kerana apabila ada hatta seorang yang tidak mengikut deen Allah ini, dia telah menjadi contoh bagi Muslim yang lain. Di saat dia menggunakan Facebook dan dia adalah duat, dia telah memberikan satu ijtihad secara tidak langsung bahawa hal itu bukanlah satu kesalahan. Mungkin dia melakukan perkara yang betul, tapi orang yang mengikut jejaknya barangkali akan kesesatan. Banyak lagi contoh lain, insya Allah saya pasti kalian lebih maklum tentang semua itu. Nauzubillah, kita tidak ingin sesekali menjadi manusia yang diungkapkan oleh Allah dalam ayat ini.

Dan seterusnya, di saat kita sedar bahawa tiada lagi excuse bagi kita, Allah berpesan pada kita yang takutkan semua ini bahawa cukuplah Dia yang memberi petunjuk dan menjadi penolong bagi kita. Allah memberi sinar harapan buat kita agar mencariNya untuk meminta petunjuk dan menjadikan Dia sebagai penolong kita di zaman fitnah ini.

No comments: