Thursday, March 11, 2010

Tahniah Aiman...

”Kau nak pergi ambil result SPM kan hari ini?”

”Taklah, aku nak pergi ambil SPM hari ini”.

Sempat adik lelaki saya, Aiman buat lawak pagi ini. Sejujurnya saya gembira yang amat hari ini. Saya bahagia mendengar keputusan Aiman. Dia memperolehi 11A 1B. Terdapat asbab di sebalik kegembiraan itu.

Pertamanya, Aiman tidak sihat seperti yang lain. Dia menghidap asthma dan eczema untuk jangka masa yang lama. Dia tidak pernah mengecap nikmat tidur. Adakalanya dia tidur dalam keadaan duduk kerana sakitnya. Eczemanya juga sering berdarah dan dia begitu bergantung pada ubat-ubatan.

Saat yang paling sebak dalam hidup saya adalah semasa raya Aidilfitri yang lalu. Saat itu kami adik beradik meminta maaf pada ibu dan ayah. Dan kami semua menangis. Cuma terlalu sebak saat Aiman sendiri yang meminta maaf. Luahan hatinya pada saat itu membuatkan kami semua tahu bahawa kami dikurniakan Allah ibu bapa yang terbaik di dunia.

Dia menghargai mak yang menyapu ubat untuknya pada setiap inci badannya setiap pagi. Ya, setiap pagi dan setiap kali selepas mandi. Bukan mudah melakukan semua itu. Tapi itulah pengorbanan seorang ibu. Mak akan bersamanya saat dia mengadu kesakitan. Dia tidak pernah suka andai mak atau kami menangis atau mengasihani dirinya.

Keduanya ayah yang akan bangkit pada tengah-tengah malam untuk membawanya ke klinik saat dia mengalami masalah pernafasan. Menurutnya, bukan sedikit duit yang ayah laburkan untuk ubatan-ubatan.

Saya tahu pengorbanan ayah dan ibu bukan hanya dalam kehidupan Aiman semata-mata. Mak dan ayah saya adalah manusia terbaik yang pernah hadir dalam kehidupan saya juga. Keluarga saya adalah perkara terbaik yang saya ada. Mereka bersama dalam setiap liku kehidupan saya. Jatuh bangun, sedih tawa dan semuanya tentang saya mereka tahu. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, tiada langsung rahsia di antara kami.

Keluarga saya bersama saya hatta di dalam perjalanan dakwah dan tarbiah. Mereka tidak pernah menuntut hak-hak mereka yang sewajarnya saya lunasi. Mereka memahami bahawa dakwah dan tarbiah ini memerlukan jundi-jundinya.

Tadi pun saya berbicara dengan mak. Kejayaan Aiman dan kejayaan kami ini cuma kejayaan di dunia. Kejayaan abadi adalah bila mana kami sekeluarga dapat saling menziarahi di syurga Allah yang hebat itu. Walau semua terpisah jauh dan menahan kerinduan di dunia, kami sekeluarga berharap agar Allah menemukan kami semula di syurga dengan rahmatNya.

Kami bersusah bersama. Manusia lain hanya melihat kekayaan zahiri yang kami ada. Hattta semasa saya disoal siasat oleh pegawai trafik baru-baru ini juga, dia membuat andaian bahawa saya dari keluarga berada kerana saya belajar di kolej swasta. Sukar mahu bercerita mengenai jatuh bangun keluarga. Semua itu hanya dalam rahsia genggamanNya. Hatta semasa keputusan Aiman diketahui, Aiman ingin agar adik beradiknya diberitahu terlebih dahulu kerana hanya kami sekeluarga yang mengerti keadaan kami sendiri.

Aiman banyak membantu ayah di restoran hatta kadang sehingga tengah malam. Dialah anak yang soleh. Di usia yang semuda itu, dia memahami kesusahan keluarga. Dia bukan hanya merupakan seorang adik tapi juga merupakan sahabat bagi saya. Pernah sekali saya kesedihan kerana satu perkara dan Aiman dedikasikan lagu Aspalela sehingga saya tertawa.

Aiman juga mengajar saya satu perkara. Usah letakkan hal-hal dunia ini di hati. Selagi mana semua ini di hati, kita tidak akan sesekali dapat menggenggamnya. Tapi bila kita berjaya membuangnya dari hati, perkara itu pasti akan kita genggami. Kita bukan hamba bagi dunia ini tapi dunia ini perlu menjadi hamba kita.

Saat saya berdoa untuk keputusannya, saya hanya memohon satu perkara. Semoga keputusannya dapat menjamin tarbiahnya dan agar dia mampu membantu agama Allah dengan kejayaannya. Alhamdulillah atas segala rahmatNya.

Moga ada sinar bahagia menanti kami sekeluarga. Moga kelam yang ada akan menghilang dan sinar mentari terusan memancarkan cahayanya.

1 comment:

Anonymous said...

kim salam aiman...ckp abg ama kim salam....