Saturday, February 13, 2010

Kerugian...

Sudah berpuluh kali kita membaca Surah Al Asr seusai sesuatu majlis dan di lain-lain ketika. Namun sejauh mana pula pemahamannya dalam diri kita?

Terasa! Terasa! Itu yang saya rasakan saat ini.

Surah yang sedari kecil saya baca, baru kini saya fahami. Syukur Dia masih memberi saya peluang untuk memahami. Barangkali kerana kelapangan masa yang ada sempena cuti Tahun Baru Cina ini membuat saya lebih-lebih terasa dengan surah ini.

Kata ustaz, kita sewajarnya tidak pernah berfikir untuk berehat. Apa maksudnya? Contohnya kita berada dalam kelas, mendengar penerangan si guru dan kita mengantuk lalu terlelap. Saat kita terlelap, adakah kita berfikir terlebih dahulu? Adakah kita pernah terfikir untuk terlelap? Tidak bukan? Sewajarnya itulah kehidupan kita. Bekerja dan terus bekerja sehingga terlelap tanpa perlu berfikir.

Terasa sungguh saya dengan penerangan ustaz! Saya terlebih rehat nampaknya. Arrehah lirrijal ghaflah. Kerehatan bagi seorang pemuda adalah kelalaian. Apabila dikurniakan rasa lapang, kita mula mensyukuri kesibukan yang Allah berikan yang tidak membuatkan kita lalai dari menjalankan tanggungjawab kepadaNya.

Kadang kita mengkehendaki ilmu sebanyak-banyaknya. Jom hayati kata-kata Imam Syafei – “Sekiranya manusia berfikir tentang kandungan surah al-‘Asr, ia sudah mencukupi bagi mereka.” (Ibnu al-Qayyim, Al-Jawab al-Kafi li man saala ‘an al-Dawa’ al-Syafi, m.s. 73)

Masya Allah! Itulah kehebatan surah ini. Tidak perlu banyak-banyak ilmu. Cukuplah kalau kita beramal dengan surah ini sepanjang hayat kita. Surah ini hanya 3 ayat tapi tafsiran surah ini di dalam Fi Zilalil Quran adalah antara tafsiran yang panjang. Betapa jauh diri kita dari memahami ayat-ayat Allah.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al Asr: 1-3)

Allah menyebut “alInsan” yang merupakan satu lafaz umum yang menunjukkan manusia seluruhnya. Kemudiannya Allah menggunakan ‘lafii” dan bukannya ‘fii’ untuk menunjukkan penegasan yang amat bahawa manusia berada dalam kerugian.

Dan lihatlah ayat-ayat Allah sedalamnya. Cuba bayangkan kita ada sekotak limau. Selalunya kita cakap macam ini – “Semua limau ini baik kecuali satu dua sahaja”. Jarang kita sebut, “Semua limau rosak kecuali satu dua sahaja”.

Tapi dalam ayat Allah, Allah tidak sebut semua orang beruntung. Allah sebut SEMUA orang rugi kecuali orang-orang yang disebutkan ciri-cirinya dalam ayat ketiga. Dahsyat ayat-ayat Allah!

Kembali kepada contoh tadi itu, “Semua limau rosak kecuali satu dua sahaja”. Apabila kita guna perkataan ‘kecuali’ maksudnya sedikit sangatlah yang elok kan? Begitulah ayat-ayat Allah. Sedikit sangat orang yang beruntung.

Apabila kita melihat ayat yang ketiga pula, Allah tidak menggunakan kalimah ‘aw’ dalam bahasa arab yang bermakna ‘atau’ tapi Allah menggunakan kalimah ‘wa’ yang membawa maksud ‘dan’. Maksudnya kita ini semua rugi juga kalau satu sahaja sifat yang Allah sebutkan itu ada dalam diri kita. Sepatutnya keempat-empat sifat itu kena ada dalam diri kita.

Dan Allah menggunakan kalimah ‘watawaasaw’, bukan ‘watawasaw’, panjang bila sebut waa kan? Sebabnya kalau ‘watawasaw’ sahaja bermaksud berpesan, tapi bila ‘watawaasaw’ bermaksud saling berpesan. Maksudnya kerja dakwah ini perlu buat bersama-sama. Perlu ada sikap saling mengingatkan.

Menghayati penggunaan kalimah-kalimah yang Allah gunakan sahaja sudah menimbulkan satu perasaan yang begitu kerdil dalam lubuk hati apatah lagi andai kita menyelak tafsirnya pula.

Lihatlah tafsir Fi Zilalil Quran:

“Dalam surah yang kecil, yang mengandungi tiga ayat ini tergambar satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Sifat-sifat pokok kefahaman keimanan serta hakikatnya yang agung dan syumul adalah tergambar begitu jelas dalam surah ini. Ia meletakkan seluruh perlembagaan Islam dalam beberapa ungkapan yang pendek dan mensifatkan hakikat dan fungsi umat Islam hanya dalam satu ayat sahaja iaitu ayat yang ketiga dari surah ini. Inilah pengungkapan yang mengkagumkan yang hanya dapat dilakukan oleh Allah 'Azzawajalla sahaja.”

Hebat sungguh kehebatan surah ini!

Semasa program yang lepas, Makcik Zah ada memberitahu bahawa iman ini sifatnya meluap-luap, tidak mungkin tersembunyi. Kita ingin sekali menyampaikan perihal iman ini kepada semua manusia. Tidak kisah dengan apa jua cara sekalipun. Dan inilah juga yang ditegaskan oleh Assyahid Syed Qutb dalam tafsiran surah ini.

“Amalan yang soleh itu merupakan buah yang tabi'i dan iman, juga merupakan gerakan automatik yang bermula pada saat bertapaknya hakikat iman di dalam hati manusia. Kerana itu iman merupakan satu hakikat positif yang dinamis. “

“Sebaik sahaja ia bertapak dalam hati manusia ia terus bergerak menonjolkan zatnya keluar dalam bentuk amalan yang soleh. Inilah iman dalam Islam. Ia tidak tinggal begitu beku tanpa bergerak, tidak tinggal tersembunyi tanpa menjelma dalam satu bentuk harakat yang hidup di luar tubuh seseorang Mu'min.”

“Andainya iman itu tidak bergerak seperti ini, maka ia adalah suatu iman yang palsu atau suatu iman yang mati. Ia sama dengan bunga yang tidak berbau. Oleh itu amalan yang soleh harus tercetus dari keimanan itu secara tabi'i jika tidak maka keimanan itu tidak wujud. Di sinilah letaknya nilai iman, iaitu iman adalah gerakan, tindakan, amalan, pembinaan dan pembangunan yang menjurus kepada Allah.

”Iman bukannya penguncupan diri bukannya bersifat negatif, bukannya penyorokan diri dalam isi dada dan bukannya semata-mata niat baik yang tidak menjelma dalam gerakan dan tindakan. Inilah sifat utama Islam dan sifat inilah yang menjadikan Islam suatu kekuatan pembangunan yang amat besar dalam kehidupan.”

Allahu A’lam.

No comments: