Friday, January 08, 2010

Monolog...

Bukan tidak mahu menulis, hati meronta-ronta untuk menukilkan segalanya di sini. Tapi sukar kerana permasalahan dalam seminggu ini. Lama saya tidak menangis sehingga merasakan bahawa hormone endorphin terlalu berlebihan tetapi minggu ini butir-butir air mata gugur.

Jujur saya merasakan bahawa bidang perubatan ini bukan untuk saya dalam seminggu ini. Rasa putus asa melanda. Bidang perubatan itu menarik cuma sistem, korupsi, ‘politik’, dan orang-orangnya membuat saya sakit. Andai saya boleh mengatakan bahawa dunia politik perubatan adalah bangkai, maka saya akan mengatakannya. Sakit!

Kalau saya punya anak, maka saya berani untuk mengatakan bahawa saya tidak akan sesekali menggalakkannya untuk memilih bidang ini. Rosak! Sakit! Hipokrit! Saya setuju dengan kata-kata Dr H, “Mereka yang merasakan bahawa bidang perubatan adalah satu bidang yang terbaik untuk diterokai adalah mereka yang mempunyai mentaliti kelas ketiga”.

Sudah Afeera! Sudah. Tuliskan sahaja noktah pada tulisan ini. Apa sudah tiada lagi sifat sabar dalam diri?

Entahlah. Lama saya berbual dengan mak tadi. Saya luahkan rasa hati. Saya rasa macam dah bosan dengan bidang ini. Rasa seperti telah tersilap memilih percaturan kehidupan. Saya rasa macam nak pergi jauh. Jauh ke satu tempat yang mana tiada siapapun yang mengenali saya.

Mak kata saya yang kenalkan dia dengan Palestina dan hari ini biar dia mengingatkan saya kembali dengan Palestina. Adakah insan-insan di Palestina pernah terfikir untuk pergi jauh dari negeri mereka? Tidak sesekali walau pada hakikatnya mereka terlalu menderita. Kenapa saya perlu lari dari jalan yang saya pilih? Lupakah saya Palestina adalah satu sebab saya memilih bidang ini?

Mak yang tidak menghafal hadis Palestina berbicara dengan mafhum seakan-akan sama dengan hadis yang selalu saya dengar. Jihad di bumi itu tidak pernah berkesedahan. Lantas mengapa saya perlu menamatkan jihad yang telah saya mulakan?

Insan-insan di Palestina terus-terusan meneruskan kehidupan walau dalam suasana perang. Usrah tetap berjalan walau dalam peperangan. Berkahwin, melahirkan anak, mentarbiah anak dan generasi pemuda seterusnya tetap diteruskan. Mengapa saya perlu menangis dengan apa yang terjadi? Mengapa saya perlu memilih untuk menghentikan segalanya yang saya suka hanya kerana satu peristiwa?

Afeera lupakah dengan games semasa mukhayyam kharaji yang lepas? Saat itu Afeera dipakaikan dengan sarung sehingga tidak boleh melihat. Dan tangan Afeera juga diikat. Ya, Afeera adalah tahanan musuh-musuh Islam. Tiba-tiba Afeera dilepaskan. Afeera kembali kepada sahabat-sahabat yang lain, mencari sahabat-sahabat yang ditahan. Ada satu tembok besar yang perlu dihadapi. Ada dua 'musuh Islam' yang menunggu. Peluru yang hanya menggunakan lipatan surat khabar dilastik ke arah musuh Islam. Mereka juga menyerang. Saat itu Afeera cuba mengelak. Dan tiba-tiba seorang ukhti bersuara. ”Inikah dia pejuang Islam? Tidak berdepan dengan perjuangan? Cuba mengelak?” Kata-kata itu begitu membekas di hati kan? Lantas mengapa Afeera tidak cuba menghadapi ujian ini?

Lupakah Afeera saat seorang ukhti yang lain meluahkan perasaannya. Dia tidak berjaya diselamatkan sehingga akhir permainan. Dia terfikir di manakah sahabat-sahabatnya. Dia menanti dan terus menanti akan kehadiran sahabatnya. Dan sehingga akhirnya tiada siapa yang menyelamatkan. Kata ukhti tersebut lagi, barangkali inilah dia perasaan saudara-saudara seislam kita di Palestina. Mereka menanti saudara-saudara seislamnya. Tapi sayang, saudara seislam mereka terlupa tentang mereka. Dan mereka terus-terusan menunggu sehingga saat akhir ajal mereka. Afeera, adakah Afeera mahu melayan rasa sehingga terlupa dengan mereka yang terusan menanti? Afeera perlu terus melangkah walau terusan terluka di jalan ini. Siapa tahu jalan ini bakal membawa Afeera ke sana atau barangkali Afeera mampu memberi sumbangan dari aspek yang lain buat mereka.

Malu dengan semua? Bukan mak sudah mengatakan bahawa kita semua hanyalah berasal dari tanah. Kita akan menjadi bangkai yang akan dimakan oleh tanah. Tidak kisahlah walau setinggi mana pun kedudukan kita di dunia ini. Pulangnya hanya dengan sehelai kain kafan dan akan tetap dimakan ulat. Tidak perlu malu andai diri benar.

Tidak mampu sabar? Bukan pakcik pernah mengatakan sesuatu tentang sabar. Orang yang mengatakan bahawa dia telah berhabis sabar adalah orang yang hanya mencabar kesabaran Allah SWT. Di saat Allah bersabar dengan setiap hambaNya yang melakukan maksiat, adakah kita tidak mampu bersabar dengan sedikit ujian yang Allah berikan? Belajar untuk bersabar, Afeera! Dan belajarlah makna sabar dari saudara-saudara di Palestina.

Terima kasih Palestina kerana mengajar saya untuk terus melangkah walaupun segalanya begitu menyakitkan.

No comments: