Saturday, December 19, 2009

Sampan...

Nama sebenar

Dulu semasa saya mula menulis blog, tidak banyak yang saya fikirkan. Saya menulis dengan nama sebenar sejak 2006. Saya tidak matang saat itu dan tidak pernah terfikir kesan menulis dengan nama sebenar. Apabila saya tahu bahawa pensyarah saya juga membaca blog ini, teringin sungguh untuk menyembunyikan diri.

Tapi Afeera tetap Afeera. Tidak berubah. Ada sekali saya membantu seorang doktor pakar di kliniknya. Tiba-tiba pesakit doktor tersebut mengatakan bahawa dia mengenali saya. Dia pernah ternampak saya di Hospital Serdang. Saya mula sedar bahawa saya tidak pernah mampu melarikan diri dari manusia. Dan saya mula berpesan pada diri, jadilah diri sendiri. Menulis dengan nama sebenar juga menjadikan saya lebih bertanggungjawab dengan tulisan sendiri.

Satu faktor saya masih tidak mendelete blog ini adalah kerana pembaca. Sukar mencari mad’u di zaman ini. Pembaca di sini adalah mad’u percuma buat saya. Tidak perlu mencari, mereka sendiri yang mencari di sini.

Sebab seterusnya adalah kerana saya bimbang andai saya mendelete blog ini, url blog ini akan digunakan sebagai laman iklan. Tidak berguna dan menjadi sia-sia. Kesimpulannya yang dapat saya ambil, hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya hatta mungkin hanya sedikit kebaikan sahaja yang mampu diberikan dengan menulis. Menulislah walau diri tidak pernah sempurna kerana tulisan yang terhasil adalah renungan buat diri sendiri.

Taksub

Semasa saya belajar usul 20, ada satu kaedah yang dibincangkan di dalam usul yang ke-6. Kenalilah kebenaran, nescaya anda akan mengenali orangnya. Dan janganlah mengenali kebenaran melalui orang.

Pengajarannya adalah baik untuk kita tidak taksub pada sesiapa. Taksub ini kerja hati. Kadangkala kita tidak lahirkan. Tapi hati kita selalu taksub tanpa sedar. Selalu rasa kalau sesuatu itu dari jemaah X, mesti betul. Kalau dari ustaz Y mesti betul. Kesesatan bermula dari hal ini. Pengikut Arqam dulu sesat kerana hal ini. Hatta ulama’ agung keluar dari Arqam pun, pengikut Arqam masih tidak sedar.

Moga Allah memelihara saya dari taksub ini secara lahiriah mahupun batiniah.

Ustaz Tuan Ibrahim

Antara ustaz yang ingin saya kenali ialah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Dulu semasa kekalahan pembangkang yang teruk pada pilihanraya, guru fizik saya pernah bertanyakan pendapat saya. Menurutnya, dia amat mengenali barisan ulama’ dan kekalahan ulama’ benar-benar mengecewakannya. Dia juga ada menyebut nama Ustaz Tuan Ibrahim.

Sejak saat itu, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man adalah antara figur yang ingin saya kenali. Tidak sangka Allah memberi saya peluang untuk mendengar ceramahnya semasa di Kedah. Saya kira mereka yang berpeluang duduk di bawah kepimpinan ulama’ adalah sungguh bertuah. Suasana yang Islami itu amat sukar saya temui di bumi kelahiran saya sendiri.

Banyak yang ustaz tekankan. Bahasa dan olahan ustaz amat sesuai dengan masyarakat tempatan yang datang dari kalangan nelayan.

Statistik

Statistik yang disebut oleh ustaz benar-benar mengejutkan saya. Setiap tahun 300 000 anak luar nikah yang dilahirkan. Anak luar nikah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan sahaja mencecah 100 000 setahun. Dapat bayangkan tak angka 300 000? Adakah zina adalah suatu yang begitu biasa?

Setiap 5 minit akan ada seorang penagih dadah yang baru. 6-7 orang membunuh diri setiap bulan di Malaysia dan orang Melayu menduduki tangga ke-2 selepas orang India. Sebab untuk membunuh diri adalah tidak logik. Di Jerantut misalnya, seorang isteri cuba membunuh diri kerana suami tidak membelikan set pinggan mangkuk. Masyarakat tidak sedar azab Allah bagi mereka yang membunuh diri. Orang yang membunuh diri tidak akan mencium bau syurga.

Keluarga

Menurut ustaz, pembinaan keluarga Muslim itu amatlah penting. Setiap anak yang bermasalah mempunyai keluarga yang juga bermasalah. Itulah sebabnya apabila seseorang itu mahu berkahwin, dia perlu melihat latar belakang keturunan pasangannya.

Ustaz ceritakan tentang Walid Al-Mughirah yang merupakan orang kanan Abu Jahal. Dia memiliki 10 orang anak lelaki dan dia berbangga dengan mereka. Kesemua anak lelakinya begitu hebat melawan Rasulullah SAW. Cucu cicit semua tidak masuk Islam. Keturunan yang ke-7 baru ada yang memeluk Islam. Nauzubillah.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita zuriat yang terbaik.

Punca

Berbicara tentang statistik begitu mudah tapi kita perlu memikirkan puncanya. Ustaz memberikan contoh mengenai doktor. Apabila seorang pesakit demam, doktor bukan mengkaji demam. Doktor mencari punca demam tersebut. Mengenali dan merawat punca sesuatu masalah akan mengubati masalah tersebut.

Punca yang pertama adalah pengabaian institusi keluarga. Ustaz pernah bertemu dengan anak-anak remaja yang menangis kerana tidak solat. Bukan tidak mahu solat tapi ibu bapa tidak solat dan tidak mengajar anak-anak untuk solat.

Ustaz kata pembinaan asas keluarga bermula dengan pemilihan pasangan sendiri. Itu adalah asas yang pertama. Hendak bertemu dengan insan berlainan jantina begitu mudah. Namun ada satu persoalan yang ustaz bangkitkan. Pasangan kita hendaklah bukan setakat suami atau isteri, tapi mereka mampu untuk bergelar ayah atau ibu untuk anak-anak kita kelak. Kalau setakat suami, semua lelaki boleh. Kalau setakat menjadi isteri, semua perempuan boleh. Tapi bolehkah mereka menjadi ayah atau ibu yang baik?

Kelemahan seterusnya yang ada dalam rumah tangga adalah rumah tidak bergema dengan AlQuran. Ustaz kata ibu bapa buta benda lain takpe, tapi jangan sekali-kali buta Quran dan solat. Rumahtangga sekarang hebat muzik berbanding Quran. Solat juga tidak dijaga. Rasulullah SAW tidak pernah memukul anak-anak. Cuma dalam hal solat, ada penegasan, perlu dipukul dengan perlahan di kaki andai anak tidak mendirikan solat.

Faktor seterusnya yang menyumbang kepada masalah sosial yang kronik ialah pengaruh rakan sebaya. Anak kita terpaksa berdepan dengan cabaran yang dahsyat. Menurut ustaz, kawan yang baik bagi anak kita adalah apabila anak kita lupa kepada Allah, kawannya akan mengingatkan.

Ustaz juga memberitahu tips dari Imam Ghazali untuk membaiki diri. Pertamanya, cari guru yang mursyid. Hal ini begitu sukar kerana Imam Ghazali sendiri mengungkapkan bahawa di zamannya sendiri begitu sukar untuk menemui guru yang mursyid.

Keduanya, cari sahabat yang baik.

Ketiganya, bagi mereka yang tidak berhajat kepada guru dan sahabat, berazamlah untuk membuat kebaikan apabila mendengar kebaikan dan berazamlah untuk meninggalkan keburukan apabila mendengar mengenai keburukan.

Parenting skill

Ada juga sedikit sebanyak parenting skill yang saya belajar. Saya ingat kalau ayah marah anak, mak perlu pujuk. Tapi tidak. Menurut ustaz, kalau mak pujuk masa si ayah marah, hal itu tidak membina anak-anak menjadi lebih baik. Ada 3 tahap mendidik anak-anak.

Peringkat pertama adalah saat anak-anak berumur dari 1 hingga 7 tahun. Saat ini adalah saat untuk bermain dengan anak, berkenalan dengan anak sepuas-puasnya.

Peringkat kedua aadalah ketika anak-anak berusia 7 hingga 14 tahun. Saat ini anak-anak perlu diajar dengan adab. Adab dengan orang tua, adab dengan quran, adab keluar masuk tandas, adab makan dan adab lainnya.

Peringkat yang ketiga adalah ketika anak-anak berusia 14-21 tahun. Saat ini adalah saat yang begitu kritikal. Ustaz bawakan contoh mengenai sampan. Mengeluarkan sampan dari muara lebih sukar dari mengemudi sampan di laut kerana adakalanya alur begitu sempit. Begitulah dengan anak-anak. Andai masa yang kritikal ini dapat diatasi, insya Allah anak-anak akan dapat mengemudi bahtera kehidupan yang seterusnya dengan baik.

Insya Allah saya sambung tulisan ini di lain masa…

No comments: