Wednesday, October 14, 2009

Banyaknya...

Apabila saya belajar di dalam bidang perubatan, saya bagai baru tersedar ada jutaan penyakit rupanya di dunia ini. Kalau sedang menyoal siasat pesakit, paling kurang dalam kepala kena ada differential diagnosis. Lepas itu buat diagnosis dan rawat pesakit.

Saya kena siapkan tugasan untuk presentation esok tentang sakit sendi. Ada banyak rupanya sakit sendi ini. Rheumatoid Arthritis, Osteoarthritis, Ankylosing Spondylitis, Psoriatic Arthritis, Reiter’s Disease, Reactive Arthritis dan banyak lagi. Dalam Rheumatoid Arthritis pun banyak pula sindrom yang perlu diingati seperti Caplan’s Syndrome, Felty’s Syndrome dan yang lainnya. Alahai banyaknya. Hebatkan Allah yang mencipta penyakit-penyakit ini.

Entahlah, sebenarnya tiba-tiba teringat kat hati. Kalau sibuk sangat belajar tentang benda-benda fizikal ini, kadangkala terlupa tentang hati sendiri. Merawat benda fizikal tidak sesukar merawat hati.

Hati pun ada banyak penyakit. Kalau nak tahu diagnosis sesuatu penyakit fizikal, kenalah jadi doktor. Tentang penyakit hati pula, ada satu kata-kata yang menyentuh hati saya. Seorang ulama’ pernah berpesan, hanya orang beriman dan pernah merasai kemanisan iman sahaja yang tahu bahawa hatinya sakit. Macam terasa something wrong somewhere la..

Kamu pernah terasa tak bahawa hati kamu sakit? Sebab iman orang akhir zaman ini imannya naik dan kadangkala turun. Kamu pernah teruji dengan hati tak? Apa yang kamu lakukan? Masalah hati banyak kan? Riya’, ujub, hasad dengki, suka sangat orang, benci sangat orang dan macam-macam lagi. Teringin saya untuk belajar men’diagnose’ penyakit hati dan merawatnya.

Pernah dalam hidup ini, saya teruji sangat dengan masalah hati. Masalah tersebut secara spesifiknya saya tidak mahu beritahu. Puaslah saya menangis. Kerana masalah tersebut, saya menarik nafas seketika dari dakwah dan perjuangan. Allah mahu menyucikan saya pastinya. Sampai satu masa kerana tidak mampu menanggung lagi masalah dan mahu kembali dengan benar dalam perjuangan, saya memohon doa seperti yang diajarkan oleh naqibah.

Ya Allah, kau ambil sahaja hati aku ini. Hati ini bukan milikku ya Allah. Kau yang menciptakan hati ini dan sesungguhnya aku tidak mampu menanggung beban hati ini lagi. Ambillah hati ini ya Allah..

Saya rasa lega sangat selepas itu. Tapi saya bagai inginkan kembali hati yang sakit itu. Kenapa? Kerana hati yang sakit itu lebih membuatkan saya dekat dengan Allah. Kita lebih mengingati Allah andai diuji dengan kesusahan meskipun kesenangan juga adalah suatu ujian.

Entahlah, sayu sebenarnya meluahkan rasa hati ini di sini. Allah lebih mengetahui. Terasa Allah dekat saat mengamati kalamNya dan Dia maha mengetahui rahsia hati. Akhirul kala, berbahagialah andai diuji.

Katakanlah: "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya. Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya. Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (Surah AlKahfi: 26-28)

No comments: