Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Lahir..

Hari ini hari jadi seorang insan yang saya sayangi. Hari ini hari jadi ayah saya. Maafkan saya ippah sebab lambat mengucapkannya. Saya memanggil ayah saya dengan panggilan ’ippah’.

10 tahun

Kadangkala saya tidak pernah memahami ayah sendiri. Banyak kebaikan dalam tindakannya tapi saya sering lambat memahaminya. Antaranya adalah semasa dia menghantar saya belajar di Maahad Attarbiyah Al Islamiyah (MATRI), Perlis 10 tahun dahulu. Sejujurnya saya tidak sukakan sekolah tersebut. Saya hanya bertahan di sekolah tersebut selama 6 bulan. Suatu ketika dahulu saya benar-benar jahat. Saya tidak sukakan semua perkara berkaitan Islam. Dan selama 10 tahun ini, saya tidak suka sesiapa pun membangkitkan isu berkenaan sekolah ini di hadapan saya.

Tapi selepas kematian salah seorang guru di sekolah, Al-Marhumah Ummi pada hari Khamis yang lepas, saya bagai tersedar bahawa sebenarnya ayah saya telah menghantar saya ke salah sebuah sekolah yang terbaik.

Berita kematian ummi boleh dibaca di link ini , ini dan ini. Dua catatan ini meninggalkan bekas dalam diri saya. Terima kasih kepada penulisnya!

Satu perkara penting dan teramat penting yang saya pelajari di sekolah tersebut meskipun hanya bertahan selama 6 bulan adalah berkenaan solat. Saya tidak suka solat sebelum itu. Saya hanya solat untuk memuaskan hati ayah dan ibu. Saya hanya berpura-pura. Solat zohor 4 rakaat saya pendekkan menjadi 2 asalkan ayah dan ibu melihat bahawa saya telah bersolat. Saya sungguh jahat saat itu.

Sekolah tersebut yang menanam kepentingan solat dalam hidup saya. Saya tidak meninggalkan solat tanpa uzur syari’e selepas berada di sekolah tersebut.

Perkara kedua yang saya pelajari di sekolah tersebut dan menjadi amalan saya sehingga kini adalah mencatat setiap butir ilmu yang saya perolehi dari majlis-majlis ilmu yang saya hadiri. Suatu kemestian di sekolah tersebut untuk membawa buku catatan ke mana-mana. Minat menulis lahir dari tabiat tersebut.

Perkara ketiga yang saya pelajari di sekolah tersebut adalah berkenaan pergaulan. 6 bulan di sana membuatkan saya bertahan di sekolah biasa tanpa terlibat dengan pergaulan bebas. Saya juga belajar mengenai kesengsaraan umat Islam di negara lain semasa berada di sekolah tersebut. Saya masih mengingati video-video Ambon yang pernah saya tonton di sekolah tersebut.

Terima kasih ippah kerana menghantar saya ke sekolah tersebut. Saya tahu dia risau dengan perangai saya yang teruk semasa di sekolah rendah lantas dia membuat keputusan bahawa sebaiknya saya ditarbiah di sekolah tersebut. Saya tidak pasti siapa saya saat ini andai tidak pernah ditarbiah di sekolah tersebut.

Novel

Pernah baca buku Cinta di Rumah Hassan Al Banna? Di dalam novel tersebut Tsana, puteri Assyahid Hassan Al Banna ada menceritakan - ”Aku ingat ketika saudaraku Saiful Islam yang sangat suka membaca cerita komik. Ketika itu ayah tidak mengatakan kepadanya, agar buku itu tidak dibaca. Tapi ayah pergi dan memberinya kisah-kisah kemuliaan Islam seperti kisah Antarah bin Syadad, Shalahuddin Al Ayyubi dan lainnya. Sampai setelah beberapa waktu kemudian meningalkan sendiri buku Arsin Lobin dan lebih banyak membaca buku dari ayah. Ayah suka mengarahkan kami dengan tidak secara langsung agar apa yang kami lakukan itu tumbuh dari diri sendiri, bukan dari perintah ataupun tekanan siapapun.”

Hal yang sama terjadi pada saya. Dulu semasa jahiliah, saya amat suka membaca novel cinta yang tidak berguna. Saya menghabiskan masa membaca novel cinta seperti novel Ahadiat Akashah, Aisya Sofea dan novel lain yang benar-benar tidak membina.

Ayah saya pernah menggalakkan saya membaca buku fikrah tapi saat itu hati saya tidak menginginkannya. ”Biarlah semua buku fikrah, dakwah dan perjuangan ini berakhir dengan ayah saya. Saya tidak ingin untuk menyambungnya”, begitulah gumam hati saya. Saya tetap mahu membaca novel-novel tersebut dan ayah saya adalah orang yang membelikannya untuk saya. Dia tidak memaksa saya untuk berhenti membaca semua itu, tapi dengan doa dan sentuhan hidayah dari Allah, hari ini saya dengan sendirinya mengambil dan menghadam buku-buku fikrah tersebut dan meninggalkan semua bahan bacaan yang tidak berguna dengan sendirinya.

Terima kasih ippah kerana menyedarkan saya semua itu...

Buku

Ayah saya membelikan buku dan peralatan tulis semenjak saya kecil lagi. Dia orang susah. Semasa saya kecil dia hanyalah pekerja kilang. Dia juga pernah bekerja di gerai bersama ibu saya. Saat itu dia membuat sendiri troli untuk membawa saya. Tapi saya membesar dengan adanya crayon, pensil, pengasah berbentuk hati dan pelbagai buku yang menarik bersama saya. Ayah saya yang mendidik kepentingan ilmu dalam diri saya. Terima kasih sekali lagi!

Yayasan

Ini hal pinjaman pelajaran saya. Yayasan X ada memberi saya pinjaman dalam RM40 000 sebelum saya memperolehi MARA. Apabila saya mendapat MARA, saya terpaksa memberhentikan pinjaman Yayasan X kerana tidak mahu ada masalah di kemudian hari. Tiba-tiba Yayasan X menghantar surat mahukan RM 20 800 dalam masa dua minggu. Tapi ayah saya tidak ceritakan sedikit pun pada saya mengenai masalah tersebut. Saya tahu ayah saya sedang kesempitan kerana beberapa masalah tapi dia tetap cuba merahsiakan semuanya dari saya. Masya Allah, saya menangis saat saya tahu mengenai surat itu dari ibu saya. Allah mengurniakan saya ayah yang terlalu baik yang tidak pernah mahu menyusahkan anak-anaknya.

Ada jutaan perkara yang telah ayah saya ajarkan. Tidak mampu saya menulis semuanya. Terima kasih atas segalanya!

Maaf

Di kesempatan ini, saya memohon maaf pada ippah atas semua kesalahan saya. Saya tahu saya dah banyak susahkan ippah dan saya juga tahu bahawa saya tetap akan menyusahkan ippah selamanya. Maafkan saya...

Moga Allah permudahkan urusan ippah. Moga Allah lepaskan ippah dari segala masalah. Moga Allah mengurnikan keberkatan rezeki pada ippah. Moga Allah mengurniakan kebahagian di dunia dan akhirat buat ippah.

Saya tahu saya tidak akan mampu memberi yang terbaik buat ippah. Saya tahu saya terlalu jauh dari ippah, tapi insya Allah dekat di hati. Sebab saya tahu saya jauh dari ippah, saya serahkan semua urusan ippah pada Allah. Moga Allah menjadi pemelihara ippah buat selamanya. Selamat hari jadi yang ke – 48.

2 comments:

Sanur Sukur said...

pengalaman yang hampir sama dengan saya......semngat yaaa.....


Ayah saya membelikan buku dan peralatan tulis semenjak saya kecil lagi. Dia orang susah. Semasa saya kecil dia hanyalah pekerja kilang. Dia juga pernah bekerja di gerai bersama ibu saya. Saat itu dia membuat sendiri troli untuk membawa saya. Tapi saya membesar dengan adanya crayon, pensil, pengasah berbentuk hati dan pelbagai buku yang menarik bersama saya. Ayah saya yang mendidik kepentingan ilmu dalam diri saya. Terima kasih sekali lagi!

ummuafeera said...

pengalaman yang hampir sama?

There was an error in this gadget