Sunday, August 24, 2008

Kereta dakwah...

Rasa lapar itu menggigitnya. Sudah hampir dua hari dia tidak makan. Air dan kurma sahaja yang menemaninya. Lokasi rumahnya jauh dari tempat makan dan stesen bas. Dia membayangkan sirah Rasulullah SAW. Andai dulu dia menghafaznya semata-mata kerana peperiksaan, kini tidak lagi. Dia cuba memahaminya dari kaca mata hati.

Dulu dia pernah menghafaz bahawa Rasulullah SAW dan umat Islam pernah diboikot selama 3 tahun di Mekah. Dia tidak merasa apa-apa saat itu. Tapi setelah dia memahami Islam dari kaca mata hati, peristiwa tersebut disorotnya dengan nurani yang cuba memahami. Pengepungan yang tersangat ketat, makanan dan bekalan yang terputus menyebabkan kaum muslimin terpaksa memakan daun-daun dan tulang belulang yang kering. Kanak-kanak menangis dan menjerit kelaparan di saat itu.

Soalan ukhti Sofi menyengatnya. Siapakah insan yang paling lapar, paling gering dan paling sakit di antara semua? Dialah Rasulullah SAW. Digambarkan bahawa di saat kemuncak penderitaan Rasulullah SAW, di saat Rasullah SAW sudah tidak lagi berkemampuan itulah anai-anai menggarit lembaran piagam. Lafaz yang menyebut nama Allah sahaja yang tidak dimakan oleh anai-anai. Rasulullah SAW mengorbankan segala hartanya untuk kelangsungan dakwah di dalam tempoh pemboikotan itu.

Perasaan lapar itu cuba untuk tidak dilayan. Belum betul-betul lapar lagi bisiknya. Dia cuba memasang impian. Memiliki kereta dakwah sendiri yang akan memecutnya ke tempat dakwah. Saban waktu dia meminta ayahnya memberikan kereta cilik di rumah buatnya. Namun keyakinan si ayah belum lagi mantap terhadap dirinya. Dia telah melakukan kesalahan yang begitu banyak semasa memandu kereta cilik tersebut.

Dia cuba meminta lagi dengan pelbagai alasan. Dia cuba menceritakan kelaparannya dan cita-citanya untuk menjadi pelajar yang berjaya dengan adanya kemudahan kereta. Tapi hati si ayah belum lagi terbuka.

Hakikat yang lebih besar di sebalik permintaan kereta tersebut bukanlah untuk dirinya semata. Dia mahu menggunakan kereta tersebut untuk dakwah. Dia mahu tayar kereta tersebut menjadi licin demi dakwah. Permintaan adik-adik yang ingin diusrahkan kadangkala menyentuh hatinya. Dia tidak tahu cara terbaik untuk ke sana. Cemburu melihat akhawatnya yang lain. Hujung minggu mereka diisi dengan dakwah. Dia pula termangu sendiri di rumah.

Adik-adik tersebut boleh sahaja diusrahkan oleh makcik-makcik. Tapi hatinya tidak bersetuju. Bukankah dia ghulam? Pemudi yang tulang empat keratnya perlu digunakan demi dakwah. Dialah yang perlu memegang adik-adik itu. Dia perlu memercu adik-adik tersebut untuk memahami tuntutan Syahadatul Haq.

Dia berbisik lagi. Andai esok lusa dia dikurniakan zuriat, dia akan menghadiahkan zuriatnya dengan segala kelengkapan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dia tidak kisah andai zuriatnya meninggal dunia dalam kemalangan. Dia tidak akan kisah kerana zuriatnya bukan miliknya. Zuriatnya milik Allah semata.

Alangkah indahnya hidup seandainya insan di sekelilingnya adalah mereka yang memahami tanggungjawab dakwah. Hatinya cuba berbahasa arab. ’Lahm’ itu daging. ’Talahum’ pula adalah mendarah daging. Pasti bahagia seandainya semua manusia menjadikan dakwah itu sebagai ’talahum’ mereka. ”Talahum’ yang akan membuatkan mereka mengorbankan duit mereka untuk mengisi minyak. ”Talahum’ yang menjadikan mereka mengorbankan cuti hujung minggu mereka demi dakwah. ”Talahum’ yang akan menjadikan mereka memikirkan persoalan dakwah selama 24 jam sehari. ”Talahum’ yang akan menjadikan mereka menginfaqkan segalanya yang ada pada dirinya demi kelangsungan dakwah. Rumah mereka adalah rumah dakwah. Kereta mereka adalah kereta dakwah. Segalanya yang ada pada mereka adalah dakwah. Alangkah seronoknya.

Tercatit di dalam Sahih AlBukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Tidak beriman seseorang kamu sehingga segala nafsunya menurut apa yang kubawakan”.

Bisikan surah Saff membawa bayu ke telinganya yang menggentarkan hatinya. ”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Saff ayat 10-11)

Allah menyebut ’harta benda’ sebelum ’diri’ kerana sekiranya ’harta benda’ sahaja tidak mampu dikorbankan, adakah mereka akan mampu mengorbankan diri mereka pula pada jalan dakwah ini? Dia bertanyakan soalan itu pada dirinya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah Attaubah: 24)

Dia berdoa agar apabila tiba saat dan ketika dia memiliki kereta sendiri, kereta tersebut dapat digunakan dengan sebenarnya pada jalan dakwah.

6 comments:

azzahra said...

i hope u get that car. inshaAllah if u believe with all ur heart that u'll get the car, u will.

in the mean time, be tough. i know u as a strong individual who writes beautifully.

may Allah answer ur prayers :)

azzahra said...

the previous comment was by kak awla. lupe plak i'm using my friend's account :)

Ummu Afeera said...

kak awla, thanks a lot...alhamdulillah Allah had answered my prayers...

Anonymous said...

alhamdulillah...semoga ummuafeera sentiase dlm Rahmat Ilahi...iatiqamah dalam perjuangan

Ummu Afeera said...

terima kasih linda...moga linda juga istiqamah...teringin rasanya nak berkenalan dengan linda...

Anonymous said...

insyaALLAH..ade kesempatan kenal lah kita nnt ummuafeera...teruskan berkarya...