Saturday, August 09, 2008

Cacat merba...

Saya sifatkan tindakan Majlis Peguam sebagai terlalu kurang ajar terhadap sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Sakit sekali hati saya melihat kedayusan pemimpin sendiri. Tidak pula digunakan akta ISA untuk menangkap mereka-mereka yang merogol Islam ini. Saya tidak pernah bersetuju dengan akta ISA. Cuma saya tidak berpuas hati dengan sikap double standard kerajaan Malaysia. Majlis Peguam terlalu kurang ajar pada saya. Kononnya tidak mempertikai Artikel 121 (1A) atau mempersoalkan Islam atau statusnya sebagai agama rasmi seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi segala perkara yang hendak dibincangkan di dalam Forum Memeluk Islam menghala ke arah itu.

Sejujurnya saya terlalu beremosi mendengar isu ini. Mungkin kerana sikap mereka yang saya kira terlalu degil meskipun setelah bantahan dibuat. Saya cuba memujuk hati.


Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). ( Surah Attaubah :32)

Dari satu segi ada sesuatu yang membuatkan saya lebih terkilan. Sikap tidak ambil peduli umat Islam. Andai ada yang begitu peka dengan isu Palestin, ambillah jua peduli dengan isu yang berlaku dalam negara sendiri.

Dari sudut realitinya, golongan yang paling tidak sedar mengenai isu-isu sebegini adalah pelajar jurusan sains tulen (Sunnah Kauniyah) seperti perubatan, kejuruteraan, matematik dan lainnya. Majoritinya tidak sedar bahawa mereka akan diperkudakan di masa mendatang seandainya mereka tidak menguasai sains sosial (Sunnah Ijtima’iyyah) seperti politik. Sunnatullah atau peraturan Allah menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa di dunia ini adalah mereka yang menguasai sains sosial. Dari 5 Perdana Menteri Malaysia, hanya satu sahaja yang berkelulusan di dalam sains tulen. Majoriti pemimpin Britain mahupun Amerika Syarikat berkelulusan di dalam bidang sains sosial. Cuba lihat anak-anak manusia berkuasa atau anak-anak raja di seluruh dunia. Majoriti dari mereka juga mengambil jurusan sains sosial.

Salah ke kalau ambil bidang perubatan atau bidang sains tulen lainnya? Tidak salah tapi cubalah juga menguasai sains sosial. Ambil pusing hal-hal sekeliling. Kuasai kedua-dua cabang ilmu.

Cuba imbas sejarah buat seketika. Meskipun British meninggalkan negara dahulu tapi British tetap meninggalkan sistemnya. Dihantarnya pelajar MCKK yang hebat-hebat belaka untuk menuntut di dalam bidang sains sosial di Barat. Lahirlah pemimpin-pemimpin negara yang memimpin dengan sistem British. Tiada Islam dalam pimpinan.

Kemudian datang dasar DEB. Salah satu dasarnya adalah menghantar anak bumiputera yang cemerlang untuk menuntut di dalam bidang sains tulen seperti perubatan dan kejuruteraan. Makin lama, makin pupuslah generasi yang menuntut di dalam bidang sains sosial.

Kesannya dapat dilihat dalam isu Majlis Peguam juga. Suara peguam Muslim tidak kedengaran. Malah mereka memperkotak katikkan sistem perundangan di dalam negara ini.

Siapa yang akan mengubah semua ini? Kitalah yang akan mencorakkannya. Tanggungjawab kita adalah mempelajari ilmu sains sosial berdasarkan AlQuran. Kita akan menapis kesemua ilmu dari kaca mata Islam seperti ulama Islam dahulu yang menapis segala ilmu yang datang dari Greek dan tamadun lain dengan tapisan Islam. Untuk menguasai dunia, kita perlu meletakkan ’sains sosial’ sebagai matlamat. Apa fungsinya sains tulen? Sains tulen adalah alat untuk mencapat matlamat tersebut.

p/s – Tulisan ini saya sifatkan sebagai cacat merba. Saya beremosi. Untuk memahami sunnatullah kauniyah (sains tulen) dan ijtimai’yah (sains sosial), saya kira perlu medan untuk berbicara panjang. Ada sesetengah perkara tidak mampu ditulis sebaliknya memerlukan modal air liur untuk menerangkannya.

Cacat merbanya...

No comments: