Thursday, January 31, 2008

Resah dan gelisah..

Siapa yang mampu hidup tanpa tarbiah? Saya kira saya tidak mampu hidup tanpanya. Seakan saya berada dalam kesakitan yang amat. Seolah-olah sesuatu yang paling berharga hilang dari atma jiwa. Keresahan yang sukar dimengerti. Saya terseksa. Saya tidak kuat. Saya inginkan daurah. Saya inginkan pengisian bagi jiwa saya sendiri. Jiwa yang seolah-olah lapar hingga mahu menerkam segala macam karat jahiliah yang membara di sekelilingnya. Jiwa ini begitu lemah. Jiwa ini lalai. Bilakah keresahan ini akan berakhir?

Adakah saya mengingati Palestin dengan seluruh jiwa saya? Atau ia hanya ungkapan di bibir semata? Adakah saya mengingati mereka saat saya begitu bahagia di samping keluarga? Adakah saya memahami keperitan mereka di saat saya hanyut dengan karat jahiliah yang ada? Adakah saya mengingati mereka di saat saya tidur di atas katil yang empuk? Maafkan saya, Palestina. Di saat kalian bersusah payah inginkan oksigen, saya tiada di sisi kalian. Di saat kalian dibantai, saya bahagia di sini. Ke mana perginya saya, diri yang begitu hina dengan bertan-tan dosa ini. Ya Allah, di manakah saya tika itu?

Saya seakan sukar menulis. Saya tidak ingin menulis di saat jiwa saya sendiri begitu lemah. Saya tidak ingin menulis bait-bait yang lahir dari hati yang kotor. Saya kehilangan diri saya sendiri saat ini.

Kadangkala bila saya fikirkan kembali, bukan tiada insan yang mendamba tentang Islam. Yahoogroup generasi juga mencecah 189 orang yang inginkan pengisian tentang Islam. Tapi di sana tiada daie. Tiada yang ingin menulis. Tiada yang ingin memberi. Malah saya sendiri dalam konflik sendiri. Saya rasa bersalah sekali. Lebih-lebih lagi memikirkan tentang Syahadatul Haq, penyaksian saya. Ya Allah, dosa hambaMu ini tidak mampu dinukilkan, tidak mampu difikirkan. Bilakah semua ini akan berakhir??

Thursday, January 10, 2008

Palestina..


Di mana dirimu, Fira? Apa perasaanmu saat menyaksikan semua ini? Masih terasa ujian dirimu adalah berat? Ingin kematian tanpa berusaha di dunia?? Maafkan diriku, Ya Rabb..

Buat akhawat Brunei, moga tabah menghadapi segalanya..

Salam Maal Hijrah..

Salam Maal Hijrah buat semua. Hari ini mengingatkan kita bahawa usia kita telah pun berkurang sehari. Hari ini mengingatkan kita bahawa kematian itu begitu hampir. Adakah kita bersedia melaluinya pada bila-bila masa?

Sekadar untuk berkongsi cerita. Semalam Allah memberi saya peluang untuk mendengar pengisian berkenaan Maal Hijrah. Saya tidak mengenali penceramah dan tidak dapat menatap wajahnya kerana tirai yang memisahkan di antara lelaki dan perempuan. Namun, cukuplah untuk saya katakan bahawa peringatan tersebut amat bermanfaat untuk diri saya dan begitu terkesan di hati.

Penceramah tersebut bercerita mengenai pengalamannya sewaktu belajar di UK. Beliau bertemu dengan seorang pakar psikiatri terkenal di sana. Saya tidak pasti nama sebenar doktor tersebut. Samar-samar kedengaran namanya seperti Dr Mubayyan. Dr Mubayyan ini begitu fasih berbicara dalam bahasa Inggeris dan Arab. Dia pernah dihantar untuk mengetuai misi di Palestin bagi membantu mangsa-mangsa yang saban hari melalui keperitan peperangan.

Setibanya Dr Mubayyan di Palestin, dia ingin berehat di hotel. Saat dia melelapkan mata, kedengaran suara mengatakan, “Adakah kamu ke Palestin sejauh ini hanya untuk tidur?”. Lantas Dr Mubayyan ini bangun dari tidurnya dan pergi bersolat di Masjidil Aqsa.

Di Masjidil Aqsa, seusai solat, dia melihat segolongan manusia sedang berkerumun di satu tempat. Hatinya tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Rupa-rupanya mereka sedang mendengar ucapan dari Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dr Mubayyan memasang azam untuk bertemu dengan Sheikh Ahmad Yassin keesokan harinya.

Siapa Assyahid Sheikh Ahmad Yassin ini? Dia adalah seorang insan yang mana imannya begitu digeruni oleh Israel. Dia seorang yang lumpuh, tak mampu untuk menggerakkan dirinya sendiri tapi jasadnya ini begitu ingin dimamah oleh peluru berpandu Israel. Dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan kerusi roda yang perlu ditolak oleh pengikut ataupun anaknya. Tapi insan ini, namanya sahaja sudah cukup untuk menggentarkan kawan dan lawan.

Dia membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dari Mesir ke Palestin dan mengasaskan HAMAS. Dia mengetuai semangat jihad Palestin. Dia mengobarkan semangat pemuda-pemuda Palestin.


Keesokan harinya Dr Mubayyan dapat bertemu dengan Syeikh. Setelah memperkenalkan diri, Syeikh memintanya datang ke rumahnya selepas solat Subuh. Mereka akhirnya bertemu dan berdiskusi. Kata-kata Sheikh yang tidak dapat dilupakan oleh Dr Mubayyan adalah, “Aku bersedia untuk mati pada bila-bila masa sahaja. Aku bersedia untuk kematian”. Masya Allah, imannya membuatkan dirinya mengungkapkan kata-kata tersebut.

Dan pada 22 Mac 2004, seperti kebiasaannya sehari-hari, di hujung malam menjelang Subuh, Sheikh Ahmad Yassin khusyuk bermunajat untuk kemerdekaan Palestin. Dia tidak pernah membayangkan hari itu adalah hari yang telah lama diimpikan dan dirinduinya. Dalam keadaan bersih dan berwudhu’ itu, dia membaca beberapa lembar ayat Al Quran dan bermunajat kepada Allah untuk pembebasan Palestin dari cengkaman Israel.

Setelah itu, pemimpin Hamas yang lumpuh ini, dibantu oleh dua pembantunya menuju Masjid Mujamah Al Islami, sejauh 200 meter dari rumahnya.

Di masjid itu, Sheikh Yassin menunggu hingga azan subuh. Seusai menunaikan solatnya, para jama’ah seperti biasa, berkerumun untuk menyalaminya. Kemudian menanyakan tentang kesihatan beliau, seakan para jama’ah ingin mengucapkan salam perpisahan kepada pemuda yang tak pernah kenal menyerah kepada penjajah Zionis itu.

Ketika dua pembantunya menolong mendorong kerusi rodanya keluar, lalu kira-kira hanya berjarak 40 meter dari pintu masjid, sebuah helikopter Apache buatan AS menghujamkan 3 pelurunya ke arah tubuh yang lumpuh itu. Salah satunya tepat menimpa langsung ke tubuh Sheikh Yasin. Seketika itu juga Yasin menemui syahidnya, suatu momentum yang sesungguhnya telah lama dinanti-nanti oleh pemuda yang lumpuh seluruh tubuh itu.

Segera setelah pengeboman itu, sejumlah ambulans menghambur ke lokasi kejadian dengan membunyikan sirennya. Bunyi raungan siren lalu ditingkahi kesibukan para jama’ah masjid, semuanya menyatu di lokasi pengeboman. Tubuh Sheikh Yassin dan 8 jasad lainnya, serta cairan putih otak pemimpin spiritual Hamas itu, kelihatan tercecer di jalan.

Walaupun menderita lumpuh total seumur hidup (akibat kemalangan yang dialami pada masa kanak-kanaknya), Sheikh Yasin telah mencurahkan seluruh hidupnya untuk membangkitkan perlawanan bangsa Palestin terhadap penjajah Zionis.

Dia memang tinggal jauh di Palestin, bahkan kini lebih jauh lagi (setelah dia menemui syahid), Sheikh Yasin sesungguhnya sangat dekat di hati seluruh kaum Muslimin dan Arab, serta para pejuang kebebasan di seluruh dunia. Selamat jalan wahai mujahid agung nan perkasa!

Masih terbayang-bayang detik-detik pemergian Assyahid. Saat itu, di Malaysia baru sahaja diumumkan keputusan pilihanraya. Keputusan yang menggoncang jiwa mereka yang berjuang di jalannya. Dan kesyahidan Assyahid seolah-olah memujuk hati, bahawa itulah Sunnah orang yang berjuang. Perjuangan Hamas tidak pernah padam dengan pemergian Assyahid malah semakin harum. Sewajarnya kita juga begitu.




Dan saat ini, kisah ini seolah-oleh menjadi peringatan yang bermanfaat buat saya. Bila Allah uji dengan sakit yang terlalu kecil, lebih kecil dari sebutir debu ujian yang pernah ditimpakan kepada Nabi Ayub, saya sudah mengeluh. Tidak mampu sabar menunggu doktor selama 5 jam. Tertinggal dua kelas sudah tertekan. Apabila terasa berat melakukan sesuatu, begitu mudah saya berputus asa. Tapi Assyahid, beliau begitu tabah mengharungi kehidupan meskipun dalam keadaan lumpuh. Beliau mampu mengobarkan semangat jihad insan lain. Mampu mengasaskan HAMAS dan mengukuhkannya. Dan dia menjadi insan yang dirindui oleh Rasulullah SAW.

Terharu rasanya mendengar kisah ini yang juga diceritakan oleh penceramah. Saya jumpai tulisan ini lewat maya. Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-sauadaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.


"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.


"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas

Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.

Salam Maal Hijrah. Moga hari ini lebih baik dari semalam.

Sunday, January 06, 2008

Sel darah merah...

Ya Allah, mampukah aku menjadi seperti sel darah merah itu? Aku kagum dengannya. Aku kagum dengan ciptaanMu yang unik itu.

Ya Allah, sel darah merah itu hanya hidup selama 120 hari sahaja, tapi dia telah berjalan sejauh 480 km untuk mengangkut hemoglobin dan memastikan proses pertukaran gas berlaku dengan baik. Dia telah berusaha sebaiknya semasa hayatnya. Dia telah berjihad dan berjuang sehingga saat-saat penghabisan. Sukar untuk aku bayangkan bagaimana dia sanggup meredah 480 km untuk memastikan tugasnya dilaksanakan dengan baik.

Ya Allah, adakah aku mampu menjadi seperti sel darah merah itu? Mampukah aku untuk hidup berjuang dan berjihad sepertinya selama hayatku? Mampukah aku mengangkut beban dakwah ini seperti mana dia telah mengangkut hemoglobin? Mampukah aku memastikan manusia lain menerima sentuhan iman sepertimana dia telah memastikan sel-sel di dalam tubuhku menerima sentuhan oksigen? Mampukah aku berjalan jauh seperti dirinya untuk memastikan proses dakwah dan tarbiah berjalan?

Ya Allah, saiznya begitu kecil. Diameternya hanya 8 mikrometer. Tapi dia mampu melalui dan meredah laluan-laluan sempit sekecil 3.5 mikrometer untuk memastikan keseimbangan hemoglobin. Bagaimana mungkin dia melakukannya? Ya Allah, rupanya Kau tidak menjadikannya bersaiz bulat dan ‘cute’ seperti bola. Kau memberikannya kelebihan. Kau menciptanya dengan bentuk ‘biconcave disc’, sempit dan leper di tengah agar dia mampu menjadi fleksibel seperti ‘transformer’ untuk melalui laluan yang begitu kecil. Masya Allah, sungguh agung ciptaanMu.

Ya Allah, bagaimana dengan diriku? Aku tidak sekecilnya. Tapi apa yang telah aku lakukan? Kau juga telah memberikan aku kelebihan. Tapi apa yang telah aku lakukan dengan kelebihan itu? Mampukah aku merentasi jalan dakwah yang penuh onak dan duri ini seperti dirinya yang sanggup melalui laluan yang begitu sempit? Mampukah aku melaluinya agar keseimbangan dakwah dan tarbiah menyinari hati manusia sepertimana dia telah memastikan keseimbangan hemoglobin di dalam badanku?

Ya Allah, mampukah aku menjadi fleksibel dengan mad’uku seperti dirinya? Ya Allah, aku malu dengan dirinya. Dan aku bertambah malu padaMu yang mencipta diriku dengan seribu satu kelebihan. Aku punya tangan, tapi aku malas menulis untuk agamaMu. Aku punya kaki, tapi kakiku ini malas berjalan untuk menyebarkan dakwah. Aku punya mulut, tapi jarang sekali aku bercerita tentang deenMu. Aku malu, Ya Allah..Ampunkan diriku yang lemah ini, wahai Rabb yang Agung..

"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (QS. Ali 'Imran:191)