"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman." (Surah Adz-Dzariyat, ayat 55)
Kadang kita rasa bosan sangat dengan seseorang penceramah. Ataupun kita rasa bosan dengan sesuatu tulisan. Kita rasa bosan bila orang lain menyampaikan kepada kita apa yang telah kita ketahui. Tapi ingatlah bahawa kita tidak boleh merasai semua ini apabila ada yang memberikan peringatan kepada kita? Kenapa? Sebab peringatan tu bermanfaat bagi orang Mukmin meskipun dia mendengarnya buat kali yang ke-100. Dia sentiasa memuhasabah dirinya.
Hadis: Kebaikan bagi mereka yang faham
“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din”
Hari ini kita bincang satu lagi hadis. Hadis yang menceritakan kebaikan bagi mereka yang faham. Faham apa? Faham Islam. Faham Addin. Pernah bersyukur tak dengan Allah bila Allah berikan kita peluang untuk menerima hidayahNya? Kita kena rasa betul-betul bersyukur. Hari ini Allah pilih kita. Kita merasai segenap jiwa bahawa nikmat iman dan islam itu adalah nikmat yang paling besar. Kita selami makna syukur bila ada sahabat-sahabat kita yang berbicara mengenai Islam kepada kita. Kita ucapkan terima kasih bila ada yang menegur kita kerana Allah.
Ingatlah bahawa kefahaman yang membawa kebaikan kepada seseorang ialah kefahaman mengenai Ad-Din. Bukan dapat beratus A dalam exam. Kadang kita rasa sedih sebab Allah tak beri kita A lagi. Kita rasa sedih bila kita tak kaya-kaya lagi. Kita rasa sedih sebab ada yang meninggalkan kita. Kita lupa bahawa Allah sentiasa menjanjikan kita dengan sesuatu yang baik.Bila tak dapat A, kita rasa kita dah kehilangan sesuatu. Kita rasa kita dah hilang sesuatu yang paling baik. Hmm..ada masalah aqidah dalam perkara tu. Orang mukmin adalah mereka yang sentiasa merasakan segalanya yang Allah beri adalah yang terbaik. Kita sebagai manusia pastinya tidak pernah mengetahui mana yang lebih baik bagi kita. Mungkin kalau kita dapat A dalam exam, kita jadi jahat ke. Kita riya’ ke. Siapa tahu? Mungkin kalau dengan kegagalan tu kita jadi lebih baik, bukankah itu yang lebih bagi kita? Bila nak dekat exam, banyak sahaja masjid-masjid, sekolah-sekolah yang mengadakan solat hajat. Berdoa agar Allah memberikan kejayaan buat pelajar. Sewajarnya kita berdoa – Ya Allah, sekiranya kejayaan itu baik bagi pelajar, berikanlah. Tetapi sekiranya kegagalan itu lebih baik, maka berikanlah Ya Allah.
Tapi tak bermaksud kita tak berusaha. Allah minta kita berusaha dalam banyak ayat-ayatnya. Tapi urusan selepas itu adalah rahsia dan ketentuanNya. Tak pernah dalam mana-mana ayat, Allah katakan bahawa kamu mesti berusaha agar kamu mencapai ini..ini..dan ini… Tak pernah.. Allah yang menjadikan kita pastinya lebih tahu mana yang lebih baik bagi kita. Kena redha.
Kita tengok dalam realiti masyarakat pula. Dalam rancangan Bersamamu misalnya. Kadang kita pun terucap ‘kesian’. Sememangnya perkara tersebut adalah baik. Merasai kesusahan orang lain. Tapi kita kena rasa bahawa perkara tersebut adalah perkara paling baik buat individu tersebut. Manalah tahu kalau dia jadi kaya raya, dia akan jadi jahat. Akan menyalahgunakan kekayaan yang Allah beri padanya. Mungkin juga kita ni miskin. Kita pun rasa sedih. Sewajarnya kita ingat bahawa itu adalah yang terbaik buat kita. Kalau kita nak berdoa, berdoalah- Ya Allah, sekiranya kekayaan tersebut baik bagiku, maka berikanlah Ya Allah. Tetapi sekiranya kekayaan itu membawa keburukan padaku, maka jauhkanlah Ya Allah.
Ada sahaja adik-adik yang bersedih, saban hari menagis sebab JPA tak hantar pergi luar negara.
Maafkan saya kalau saya lari jauh dari topik. Tapi merasai segalanya yang berlaku pada kita adalah yang terbaik yang Allah tentukan adalah perkara yang amat penting untuk dititikberatkan. Sebab apa? Kerana kita tidak akan sesekali merasakan tekanan dalam hidup bila kita berpegang dengan perkara ini. Pesanan buat diri ini juga.
Berbalik kepada topik, kita kena rasa bersyukur bila kita dingatkan mengenai nikmatNya. Ingatlah selalu dan lahirkan rasa syukur itu pada pemilikNya.
“Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam…” (Surah Al-An’am 6: 125)
Ok, apa kita nak buat bila kita dah faham Islam. Adakah kita nak rasa nikmat Islam dan iman ni seorang diri sahaja ke? Atau kita nak kongsikan pada oarng lain? Kalau benar kita menyayangi seseorang, kongsikan padanya mengenai Addin. Khabarkan padanya ketenangan hati yang kalian perolehi dari Addin ini. Biarkan mereka yang kita sayangi juga merasai tempias iman dan Islam ini.
AlQuran: Memahami dengan hati (Surah Al A’raf 7:179)
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Ok, seterusnya kita nak bincang mengenai satu ayat AlQuran yang amat penting. Memahami dengan hati.Hati yang menentukan kefahaman seseorang bukannya ‘otak’ manusia. Sebagai contoh, mereka yang membaca novel akan menghayati kandungan buku itu dengan menggunakan hati. Sebaliknya, sekiranya kita membaca buku-buku akademik (Medic atau Physics), kita akan menggunakan akal untuk memahami. Apa yang difahami oleh hati akan pasti mempengaruhi kehidupan seseorang tetapi kefahaman daripada akal belum tentu akan mengubah kehidupan seseorang. Filem-filem romantik pasti menyentuh jiwa, menyebabkan manusia sedih dan gembira. Filem-filem dokumentari belum pasti dapat menembusi jiwa manusia.
Perkara yang paling penting kita lakukan adalah memahami sesuatu perkara dengan hati. Kadang kita jumpa kawan-kawan kita yang datang dari sekolah agama tapi akhlaknya tidak melambangkan bahawa dia berpengetahuan agama. Kenapa? Kerana dia memahami deen dengan akal bukan dengan hati. Apa tanggungjawab kita? Mengajarnya dan memahamkannya kepada Islam dengan hati. Jangan salahkan dia terus-terusan.
Penting ke kalau nak faham mesti guna hati? Penting sangat. Sebab hati yang menetukan perilaku manusia.
“Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”(Hadith ke-6, Hadith 40 An-Nawawi)
No comments:
Post a Comment