Andai jiwa teresak-esak menangis, pastinya itu jiwa saya. Ribut badai yang melanda keluarga kerana perbuatan khianat seseorang membuatkan saya tertekan. Duit pengajian saya ‘dicurinya’.
Esok, saya mungkin dihalang dari meneruskan pengajian kerana masih belum menyelesaikan yuran. Ujian ini saya rasakan terlalu berat. Tangisan seakan mendayu-dayu.
Air mata tidak henti-henti di tubir mata. Mahu diberitakan pada siapa? Pada unit baitulmal yang tidak ingin memberikan sumbangan? Pada pihak MARA yang masih terusan bermesyuarat? Pada pihak YPJ yang hanya ingin memberi RM8000 dari jumlah yuran iaitu RM 50000? Mahu disampaikan pada pihak kolej agar mereka mengerti?
Terasa seram sejuk. Kegerunan melanda. Seakan-akan tidak cukup kekuatan menghadapi ujian yang satu ini.
Saya tidak mengemis mengharapkan biasiswa, saya mengemis hanya inginkan PINJAMAN.
Perjalanan hidup kadangkala merimaskan. Pastinya ada hikmah.
Penyakit pula acapkali menyerang. Ada cyst (ketumbuhan) sekecil 6.9 cm di dalam perut. Bayaran ujian darah dan ‘scan’ sahaja mencecah RM308. Saya terasa seolah-olah membebankan insan yang bernama ayah. Itu zahiriah. Penyakit maknawinya belum mampu saya nukilkan.
Tadi saya belajar mengenai buah pinggang. Ya Allah, adakah itu kelas saya yang terakhir? Jangan Ya Allah. Jangan sekali-kali. Hanya Engkau tempat saya meminta.
Ya Allah, tidak sesekali saya memilih bidang perubatan kerana diri saya sendiri. Saya hanya memilihnya kerana Islam. Banyak bidang lain yang boleh saya ceburi sekiranya berdasarkan minat. Tapi saya memilih mandala ini. Kerana Islam saya melakukannya, meskipun kadangkala saya seakan goyah. Kerana saudara seislam di Palestin dan lainnya saya memilih bidang ini. Permudahkanlah Ya Allah.
Oh ye, mengenai buah pinggang. Terasa kerdil diri ini. Darah yang dipam dari jantung ke seluruh badan memiliki tekanan yang paling tinggi. Darah ini yang akan sampai kepada buah pinggang juga. Tapi darah yang mempunyai tekanan yang tinggi ini perlu melalui seribu satu laluan agar tekanan darahnya berkurangan. Masya Allah, Allah tahu darah yang diperlukan oleh buah pinggang hanya memerlukan tekanan yang rendah. Maka Allah mencipta saluran darah yang banyak untuk dilalui oleh darah tersebut. Masya Allah, sekali lagi Allah menunjukkan kehebatanNya apabila dalam keadaan tekanan darah yang rendah, buah pinggal mempunyai kadar tapisan yang tinggi. Segala bahan toksik mampu ditapis oleh buah pinggang.
Begitu juga dengan ujian yang Allah timpakan. Kadangkala ujian itu besar. Sering melalui ujian yang besar membuatkan kita melihat ujian sebagai sesuatu yang kecil. Telah biasa diuji. Namun di penghujungnya, Allah ingin kita menjadi kuat.
Ya Allah, permudahkan segala ujian yang Engkau berikan.
Maakan saya andai entry ini bercelaru.
No comments:
Post a Comment